Sunday, August 5, 2012

Maznah berbuka dengan sardin


KATA Maznah, tiada istilah rugi dalam perniagaan makanan kecuali jika tersalah urus kewangan.


KENANGAN berpuasa dan menyambut lebaran semasa kecil masih segar dalam ingatan Maznah Muhammad, 40. Berbuka dengan sambal tumis sardin masakan ibu menjadi peristiwa manis yang dijalaninya sejak mula belajar berpuasa.

Desakan hidup ketika itu membuatkan Maznah tiada pilihan apatah lagi dia hanya bergantung hidup pada ibu, Zainab Abdullah, 63, setelah kehilangan ayah ketika Maznah masih dalam kandungan.

“Keluarga saya amat menitikberatkan soal agama, jadi saya dilatih berpuasa sejak berumur lapan tahun lagi.

“Disebabkan faktor kemiskinan, juadah berbuka puasa juga sekadar yang termampu dan selalunya masakan berasaskan sardin kerana harganya yang murah.

“Pengalaman pahit pula ialah apabila saya terpaksa menahan kesakitan akibat penyakit gastrik tetapi saya tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak berpuasa,” jelas wanita yang mesra disapa Maz oleh rakan-rakannya ini.

Berbeza

Dia yang menggemari baju kurung moden untuk digayakan pada lebaran memberitahu, kehidupan berpuasa dan berhari raya pada zaman dahulu berbeza daripada sekarang.

Jika dahulu Maznah pasti akan berbuka puasa bersama keluarga dan hanya mempunyai sepasang baju raya tetapi keadaan berubah selepas dia berjinak-jinak dalam bidang francais kios burger sejak tahun 2007.

Ini kerana banyak masanya dihabiskan untuk memenuhi undangan ke majlis berbuka puasa anjuran agensi kerajaan, persatuan, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Ujarnya, setiap kali tiba lebaran pula, pasti ada sahaja destinasi pelancongan yang dikunjungi seperti Indonesia, Thailand, Sabah dan Sarawak bersama anaknya, Nazirul Haziq Azhar, 19, kerana pada masa itu sahaja dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Kami sekeluarga akan pulang ke kampung di Banting, Selangor dua hari sebelum lebaran untuk membuat persiapan dan sembahyang raya di sana diikuti aktiviti mengunjungi rumah saudara terdekat.

“Setiap tahun saya akan memperuntukkan perbelanjaan untuk menyambut lebaran sebanyak RM5,000 termasuk pemberian duit raya kepada 13 orang anak saudara dengan RM150 seorang,” jelasnya yang menyambut lebaran pada tahun ini di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan umrah.

Tambah Maznah, dia masih mengingati bagaimana susahnya ibu membesarkannya empat beradik dengan menjual kuih-muih dan nasi lemak di Pasar Besar Banting, Selangor.

“Berkat pengalaman yang ada saya memberanikan diri membuka perniagaan yang pada mulanya difokuskan kepada golongan belia tetapi kini turut memberi peluang kepada ibu tunggal dan pesara,” ujarnya yang pernah diberhentikan kerja ketika menjawat jawatan pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta akibat tekanan kehilangan anak kedua.

Nama kampung


JENAMA Mat Salai kini mempunyai 1,500 kios di seluruh negara.


Selaku Pengarah Urusan Mat Salai Sdn. Bhd., Maznah memberitahu, dia pernah diperlekehkan apabila menggunakan jenama yang agak kekampungan tetapi kini syarikatnya semakin gah mencipta nama.

Sekarang ia mempunyai 25 kakitangan dan 1,500 kios di seluruh Malaysia yang menawarkan lima produk makanan dan sembilan jenis minuman.

Tuturnya, risiko menjalankan perniagaan makanan dan minuman lebih rendah berbanding jenis perniagaan lain.

“Tiada istilah rugi dalam perniagaan berasaskan makanan dan minuman kecuali jika tersalah menguruskan kewangan. Apa pun terjadi, manusia tetap akan mencari makanan kerana ia keperluan asas untuk hidup.

“Selama hampir empat tahun di pasaran, saya pernah berdepan dengan situasi di mana nama syarikat, logo dan produk keluaran syarikat saya ditiru oleh sebuah syarikat bukan Bumiputera yang menyewa berhampiran premis saya,” tambahnya yang aktif memberikan ceramah motivasi.

Maznah tersipu-sipu apabila mengakui pada usianya itu, dia baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan daripada Universiti Centre State of New York di samping tercalon bagi kategori Usahawan Wanita dalam Anugerah Perdana Menteri 2011.

Maznah mendirikan rumah tangga pada tahun 1992. Apabila ada waktu terluang, dia sering melakukan aktiviti seperti melancong, membeli-belah dan menonton wayang bersama anaknya.

Ketika ditanya adakah dia merasakan dirinya sudah berjaya, Maznah menjawab dia masih meneroka bidang perniagaan dan merancang untuk membuka Kafe Mat Salai. Dia juga mahu terlibat dalam kilang pembuatan kios dan roti.

Maznah turut memasang impian untuk memiliki bangunan sendiri yang bakal diberi nama Wisma Mat Salai serta membangunkan Yayasan Mat Salai untuk anak-anak yatim.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan pekerja yang amat memahami, rajin dan bertolak ansur.

“Bagi menghargai usaha mereka, saya akan mengadakan hari keluarga selain membuat ‘portluck’ dan bacaan tahlil sebulan sekali di pejabat,” beritahu Maznah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: