DALAM kita bergembira menyambut kehadiran Ramadan, terdapat golongan yang terpaksa mengorbankan perasaan itu demi menjalankan tanggungjawab kepada negara tanpa mengira masa dan tempat.
Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kedatangan bulan Ramadan tidak pernah menghalang mereka untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dengan penuh dedikasi.
Bagi mereka, sebagai anggota tentera, selain perlu mempersiapkan diri dari aspek mental dan fizikal.
Mereka juga perlu berhadapan dengan situasi termasuk pelbagai perkara perlu dikorbankan bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.
Begitulah yang dialami oleh 159 anak kapal sokongan KD Sri Indera Sakti yang terus komited menjalankan tugas sambil berpuasa walaupun berada di bawah terik matahari dan ribut petir di tengah-tengah samudera.
Kapal yang ditauliahkan pada 7 November 1980 itu dibina berdasarkan dua peranan utama iaitu sebagai platform pemerintah dan kapal sokongan yang mengandungi stor, kontena dan bengkel yang membolehkan bantuan diberikan secepat mungkin kepada kapal lain di tengah lautan.
Pegawai Memerintah KD Sri Indera Sakti, Kapten Ahmad Asri Yaacob berkata, berpuasa dan menyambut kedatangan Syawal di atas kapal adalah perkara biasa baginya yang telah berkhidmat sebagai tentera sejak 29 tahun lalu.
Katanya, sebagai anak kapal, mereka sentiasa terdidik untuk bersedia dalam apa jua keadaan sekiranya diperlukan berlayar kerana tugas kepada negara merupakan keutamaan yang perlu diberi perhatian.
''Sebenarnya puasa di kapal lebih seronok kerana apabila kita sibuk dengan tugas, kita tidak sedar hari sudah beralih dan sedar-sedar Syawal pula menjelma.
''Memang ada kurangnya apabila berpuasa di kapal kerana tiada keluarga tetapi apabila menjadi anak kapal, rakan-rakan adalah keluarga kita dan ia juga sebenarnya menyeronokkan," katanya yang berasal dari Langgar, Kedah.
Menurut Ahmad Asri yang lebih 12 kali berpuasa di atas kapal, perasaan sedih kebiasaannya dialami oleh anak kapal baru berbanding anak kapal senior yang telah terbiasa dengan keadaan itu.
''Jika di luar ada tarawih, di sini juga ada. Kesemua anak kapal yang tidak bertugas akan sama-sama mengerjakan solat tarawih selepas berbuka puasa.
''Hidangan berbuka puasa dan bersahur juga sama seperti di luar kerana chef di atas kapal ini sentiasa menyediakan makanan yang menepati cita rasa agar anak kapal berasakan mereka seperti berada di rumah sendiri,'' ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Waran 1 Ahmad Othman, 40, berkata, bertugas semasa kedatangan Ramadan bukanlah satu masalah besar baginya bahkan berbangga kerana dapat berbakti kepada negara.
Dia yang berasal dari Sungkai, Trolak telah tiga kali berpuasa di atas kapal sejak memulakan khidmat 20 tahun lalu.
''Memang ada masa, hati terasa sayu tambah-tambah lagi apabila mengenangkan keluarga. Tetapi apabila bersama rakan-rakan, kesunyian itu hilang kerana di sini merekalah yang menjadi keluarga kita.
''Tentang makanan pula tiada masalah kerana masakan yang disediakan chef sedap dan tiada kurangnya," katanya.
Bagi Bintara Kanan Seksyen Kuasa Tinggi, Tajri Ahmad, 37, sikap memahami oleh anak dan isteri menyebabkan dia tidak sukar membiasakan diri menjalani ibadah puasa di tengah lautan.
''Isteri dan anak sangat faham dengan tugas saya. Walaupun ada rasa rindu apabila teringatkan mereka, ia diubati dengan kehadiran rakan-rakan," katanya.
Dalam pada itu, Bintara Kanan Peperangan Atas Permukaan, Azizan Osman, 39, berkata, belayar pada bulan puasa mendatangkan sedikit keletihan namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sekiranya diperlukan.
''Alah bisa, tegar biasa. Ini semua cabaran bagi kami sebagai anak kapal TLDM dan ia selaras dengan prinsip TLDM sendiri iaitu 'Sedia Berkorban," katanya.
Sementara itu, bagi guru agama Tentera Darat, Koperal Abdul Aziz Muhamad, 35, panggilan telefon menjadi nadi penghubung baginya untuk melepaskan rindu kepada keluarga.
Dia yang mesra disapa ustaz dalam kalangan anak kapal juga merupakan 'imam' semasa mengerjakan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.
''Perasaan berjauhan daripada keluarga memang tidak dapat digambarkan tetapi seperti kata-kata rakan, di sini kami adalah keluarga dan ikatan itu menyebabkan kami tidak berasa sunyi dan keseorangan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: