SEPANG - "Saya hanya boleh berdoa ketika melihat roket tentera berterbangan di ruang udara atas rumah kami pada waktu malam."
Itulah antara detik mencemaskan yang dialami pelajar Malaysia di Syria, Mohd. Luqman Saidin, 23, ketika dia berada di negara yang sedang bergolak itu minggu lalu.
Menurut pelajar Ma'had Dauli itu, situasi tersebut menyebabkan dia serta rakan-rakan pelajar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyelamatkan diri.
"Bunyi tembakan dapat didengari dengan jelas dari tempat tinggal saya di kota Damsyik dan malah ia juga kerap berlaku.
"Paling menakutkan, ia bagaikan tidak putus-putus terutamanya pada waktu petang selepas Isyak dan berterusan sehingga tengah malam," kata pelajar dari Kedah itu kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Luqman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bertindak pantas membawa dia dan rakan-rakannya pulang ke tanah air.
Dia bersama enam lagi pelajar menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam dengan menaiki pesawat Emirates EK346 dari Damsyik, Syria.
Pelajar lain yang selamat tiba ialah Abdul Halim Mohammad Ghazali, 21; Muhammad Afifuddin Md. Tahir, 23; Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21; Muhammad Othman Zawawi, 23; Muhammad Rusydi Ilhami Ahmad Fahmi, 22, dan Syed Abdul Rahman Syed Ramli, 14.
Luqman menceritakan, dia yang tinggal bersama tiga lagi pelajar Malaysia di rumah sewa mereka bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat serta tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan.
Seorang lagi pelajar Ma'had Dauli, Muhammad Afifuddin berkata, pergolakan itu menjadikan masjid di Syria sunyi kerana tidak ramai yang berani mengunjunginya untuk beribadat.
Malah, katanya, solat tarawih juga dihadkan kepada lapan rakaat dan bukan 20 rakaat bagi mengelak ada jemaah menjadi mangsa serangan.
"Selepas solat, kami terpaksa pulang segera ke rumah atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi kawasan kejiranan cuma satu kilometer dari medan pertempuran," katanya.
Sementara itu, bagi Muhammad Hasan, keadaan menjadi semakin tidak terkawal pada minggu lalu terutamanya pada hari Rabu dan Khamis.
Menurutnya, bunyi tembakan dapat didengari pada bila-bila masa manakala kelibat tentera yang ramai cukup membimbangkan.
"Alhamdulillah, Persatuan Pelajar Malaysia Syria dan kerajaan telah membuat keputusan yang tepat untuk menghantar kami pulang," katanya yang belajar di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: