Selamba jual nombor ekor tepi semak
Kelihatan pelangan membeli tiket nombor ekor dengan tauke yang menjual tiket berkenaan di tepi semak berdekatan simpang tiga utama masuk ke Bandar Cheneh Baru, Kemaman.

KEMAMAN – Demi mahu kaya cepat tanpa mengenal halal dan haram, segelintir orang Islam di sekitar Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 1, dekat sini, sanggup membeli tiket nombor ekor dengan seorang tauke yang menjualnya di tepi semak berdekatan deretan kedai di simpang tiga utama masuk ke Bandar Baru Cheneh.

Hanya berbekalkan sebuah kerusi dan payung, tauke berusia dalam lingkungan 50-an itu selamba menjual tiket loteri tanpa lesen di situ setiap Rabu, Sabtu dan Ahad bermula jam 10 pagi hingga jam 5.30 petang.

Seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan berkata, tauke terbabit mula menjual nombor ekor di situ sejak 2000 lagi, dan biarpun banyak kali ditangkap polis, namun dia masih berani mengulangi kesalahan sama.

Menurutnya, lebih memalukan, majoriti pembeli terdiri daripada orang Melayu dan Indonesia yang merupakan peneroka serta pekerja ladang sawit beragama Islam berusia belasan tahun, sehinggalah yang sudah masuk fasa warga emas.

Selain itu, Orang Asli Sungai Pergam yang tinggal berdekatan dan golongan pekerja ladang wanita warga Indonesia juga antara pelanggan yang sering mengunjungi port jualan judi nombor ekor tidak berlesen itu.

“Dengan harga tiket serendah RM1, ramai penduduk sekitar datang membeli tiket nombor ekor ini.

Apa yang saya dengar ada yang pernah mendapat sehingga RM60,000 selepas tiket nombor yang dibeli mengena. Ramai juga yang menang sebanyak RM12,000.

“Namun, itu semua tidak halal. Bukan sahaja pada bulan biasa, pada bulan puasa juga aktiviti ini berterusan.

Kebiasaannya paling ramai pembeli pada jam 4 dan 5 petang kerana ramai yang baru keluar dari ladang sawit,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, disebabkan tidak berlesen, pembeli yang membeli tiket nombor ekor terbabit boleh menang dengan hadiah lebih lumayan berbanding jika membeli tiket di kedai-kedai judi nombor ekor berlesen, memandangkan hadiah yang dimenangi tidak dikenakan cukai pendapatan.

“Kerana sudah ada di depan mata (mudah untuk dibeli), ramai orang Islam datang beli tiket nombor ekor ini untuk mencuba nasib. Kalau tempat jualan haram ini tiada, saya rasa pembeli tidak akan pergi membelinya di bandar Kuantan atau bandar Kemaman,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas dalam membendung kegiatan itu termasuk mengambil tindakan kepada pembeli yang beragama Islam untuk menyedarkan mereka.