|
BOLEH dikatakan setiap negara mempunyai jenama dan produk fesyen hasil kreativiti anak tempatan. Misalnya, di Perancis, masyarakat di sana berbangga dengan populariti jenama seperti Christian Dior dan Chanel, manakala di India pula terkenal dengan jenama fesyen Farah Khan Ali.
Negara Indonesia juga tidak terkecuali memiliki jenama yang diasaskan anak tempatan iaitu Dian Pelangi.
Ia merupakan sebuah gedung tekstil dan pakaian yang diusahakan oleh Ir. Djamaloedin dan isterinya, Hernani Djamal sejak tahun 1991 di Palembang.
“Penggunaan nama Dian diambil sempena nama saya yang kebetulan lahir pada saat ibu dan ayah bercadang membuka butik yang bergerak secara profesional. Sementara itu, nama Pelangi pula merujuk pada koleksi fabrik corak ikat dan celup yang kami gunakan.
“Ini bermakna pelanggan akan sedia maklum bahawa di gedung Dian Pelangi koleksi pakaian yang kami tawarkan berkonsepkan warna-warni dan ceria. Saya fikir sudah tiba masanya orang ramai tampil berani menyarungkan pakaian warna terang atau lembut berbanding rona gelap,” jelas pereka Dian Pelangi, Dian Wahyu Utami Djamaloedin, 21, ketika berkunjung ke Malaysia semasa melancarkan busana Aidilfitri untuk tahun ini.
Keistimewaan produk Dian Pelangi yang kini mula dipasarkan di Malaysia dan Melbourne, Australia terletak pada fabrik yang terdiri antara dua dan tiga warna berbeza bagi menghasilkan motif ala pelangi.
Jelas Dian yang merupakan pereka termuda dalam Asosiasi Perancang Pengusaha Muda Indonesia (APPMI), lazimnya sebelum mencetak motif pada fabrik, dia akan melakukan proses padanan warna sebaik-baiknya.
Jika kombinasi warna-warna pilihan itu tampak janggal dan kurang menyerlah dia akan menukarkan kepada warna lain. Ketelitian memilih warna ideal penting supaya motif ikat dan celup yang dilakukan menghasilkan fabrik cantik dan elegan.
“Keindahan sehelai pakaian itu tidak terletak kepada rekaan, potongan mahupun perincian semata-mata. Penggunaan fabrik yang betul dari segi warna dan corak turut memainkan peranan yang penting. Barulah si pemakai kelihatan menawan dan melangkah dengan penuh yakin.
“Selesai proses paduan palet warna, saya akan melakukan sesi lakaran dan rekaan mengikut cita rasa pelanggan serta trend fesyen semasa. Setakat ini produk Dian Pelangi sememangnya menyasarkan kepada kelompok wanita yang berhijab. Saya sentiasa berusaha menghasilkan pakaian yang cantik bagi menolak persepsi bahawa kami yang bertudung hanya sesuai imej kekampungan dan ketinggalan zaman,” tutur bekas pelajar SMK 1, Jurusan Tata Busana di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia dan mendalami ilmu fesyen di Ecole de Superieure des Arts et Technique de la Mode (ESMOD) di Jakarta.
Dian antara pereka kelahiran Indonesia yang berjaya menghasilkan busana menggunakan fabrik corak pelangi. Kreativiti dan inovasinya telah melonjakkan nama Dian Pelangi sehingga jenama itu dijemput melakukan pertunjukan fesyen dan pameran fesyen di Jordan, Australia dan Perancis.
Dian Pelangi Malaysia
Melihat sambutan jenama Dian Pelangi yang pada mulanya beroperasi di Palembang sebelum berkembang ke Jakarta, Jawa Tengah, Medan dan Surabaya, telah mendorong Datin Ana Zakaria bersama Khadijah Abu Bakar memperkenalkan jenama tersebut di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Tyana merangkap pemilik butik Dian Pelangi Malaysia, Ana, beliau dan rakan kongsinya itu langsung tidak teragak-agak untuk membuka butik jenama yang berusia dua dekad itu di Bangsar, Kuala Lumpur.
“Percaya atau tidak, populariti Dian Pelangi bukan saja memuncak di Indonesia, malah memiliki para peminatnya yang tersendiri terutama dalam kalangan wanita berhijab. Semuanya kerana pengaruh personaliti dan corak pemakaian yang ditampilkan oleh Dian sendiri.
“Walaupun memakai tudung tetapi Dian bijak dalam bab berfesyen. Dia mahir mempraktikkan konsep suai padan sehingga mencetuskan seleksi fesyen yang menarik. Apa yang pasti tarikan utama di butik Dian Pelangi ialah koleksi pakaian berasaskan teknik ikat dan celup,” ujar Ana ketika ditemui Stailo pada pertunjukan fesyen Dian Pelangi 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Etnik Rico Rinaldi
Sementara itu, pereka fesyen kelahiran Kajang, Selangor, Rico Rinaldi Tono, turut menyuntik pembaharuan dalam menghasilkan busana bagi koleksinya Summeraya 2012. Jika sebelum ini, kecenderungan Rico tertumpu kepada kain kapas yang bermotif flora dan kain polos pelbagai warna lembut serta terang, kini sebaliknya.
Pereka muda berusia 25 tahun itu, bereksperimen mereka pakaian menggunakan fabrik konsep ikat dan celup. Ternyata percubaannya itu membuahkan hasil yang mempesonakan sehingga mendapat tepukan dan perhatian para hadirin yang hadir menyaksikan pertunjukan fesyen Summeraya 2012, di Universiti Limkokwing cawangan Kuala Lumpur pada minggu lalu.
“Koleksi Summeraya 2012 menawarkan 25 pasang busana yang mengambil inspirasi daripada corak batik dan kombinasi motif pelbagai etnik. Penggunaan warna merah, jingga dan biru jelas menggambarkan impak etnik. Konsep ini bersesuaian dengan tema Back to Tribal and Fashion to Nature yang menjadi pilihan jenama Rico Rinaldi pada tahun ini.
“Ramai yang bertanya mengapa memilih fabrik konsep ikat dan celup? Bagi saya, teknik ikat dan celup yang menampilkan motif bak pelangi serta berwarna-warni menyuntik mood ceria kepada si pemakai. Lagipun fabrik ini ideal dijadikan dres labuh, kaftan, blaus mahupun kain,” jelas graduan Diploma Fesyen dan Rekaan lulusan Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor itu kepada Stailo.
Dalam pada itu, Rico turut menyifatkan fabrik motif ikat dan celup tidak memerlukan teknik perincian yang terlalu sarat memandangkan coraknya yang bersaiz besar sudah memenuhi hampir keseluruhan kain. Atas faktor tersebut tatahan butiran manik, batu pertama ataupun labuci hanya digunakan pada kadar minimum.
Berbicara lanjut, juara Pertandingan Piala Seri Endon 2009 kategori fesyen menyatakan fabrik corak ikat dan celup sesuai dipakai dalam apa jua acara sama ada majlis formal, majlis minum petang, kasual, ranggi dan musim perayaan.
“Dari segi rekaan dan potongan, koleksi Summeraya 2012 terdiri daripada busana kaftan, dres labuh dan blaus berpotongan longgar yang digayakan bersama kain potongan sendat. Pengguna juga berpeluang melakukan konsep suai dan padan. Sebagai contoh memadankan blaus polos bersama kain corak ikat dan celup,” terang Rico berdarah campuran Melayu-Indonesia mengenai koleksi sedia pakai Summeraya 2012 yang dijual di butiknya di Kajang, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: