Tuesday, July 3, 2012

Latihan kesediaan kru feri

PARA petugas yang terlibat dalam siri latihan kecemasan bagi feri Pulau Angsa di Pengkalan Sultan Abdul Halim Butterworth baru-baru ini.


LOCENG kecemasan yang berbunyi berulang-ulang kali menyebabkan puluhan penumpang feri Pulau Angsa yang sedang menuju ke Jeti Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay, George Town terpinga-pinga.

Kegusaran mereka yang berpandangan sesama sendiri bagaimanapun terjawab apabila melihat api menjulang dari ruang anjungan feri yang turut membawa bersama kira-kira 20 kenderaan itu.

Menerusi corong pembesar suara, kapten feri meminta para penumpang tidak cemas kerana berlaku kebakaran di salah satu bahagian anjungan serta meminta mereka mengikut arahan daripada kru feri.

Beberapa kru feri pantas mengagihkan jaket keselamatan kepada para penumpang selain bersedia menurunkan bot getah untuk menyelamatkan penumpang sekiranya keadaan bertukar buruk.

Pada masa sama, empat kru feri bergegas naik ke anjungan bersama hos pemadam api untuk memadamkan kebakaran yang mula mengeluarkan asap hitam. Api yang marak menyukarkan mereka untuk melawan kebakaran.

Kira-kira dua minit kemudian, sebuah bot pemadam api milik Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) merapati feri lalu memuntahkan buih-buih putih manakala sebuah lagi bot bersiap untuk memindahkan para penumpang.

Situasi cemas tersebut adalah sebahagian daripada Demonstrasi Latihan Kecemasan Feri Pulau Pinang yang diadakan di Pangkalan Sultan Abdul Halim baru-baru ini di atas feri Pulau Angsa.

Mengawal situasi

Latihan tersebut meliputi cara-cara menyelamatkan penumpang yang terjatuh dari feri, memadam kebakaran menggunakan hos air dan bantuan bot tunda selain menurun serta menaikkan sauh feri.

Selain kru feri, latihan bersepadu itu turut melibatkan anggota dari Balai Bomba Pelabuhan dan pegawai dari jabatan-jabatan berkaitan seperti keselamatan dan perubatan PPSB.

Ketua Unit Perkhidmatan Feri, Fisnol Ainon Mahmud berkata, latihan menghadapi situasi cemas yang dilakukan secara berkala perlu bagi memastikan mereka mahir mengendalikan kelengkapan yang disediakan.




Tambah beliau, semua kru feri Pulau Pinang dilatih supaya bersedia dengan langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran dalam pelayaran.

“Walaupun kita sentiasa memastikan feri dalam keadaan baik untuk kegunaan setiap hari, tetapi kemungkinan berlaku kejadian tidak diduga misalnya kebocoran atau kebakaran tidak boleh diduga sama sekali.

“Justeru, kemahiran serta kesiapsiagaan yang tinggi hanya boleh dipastikan sekiranya kru feri sentiasa dilatih berulang-ulang di samping mengikut prosedur standard operasi,” ujarnya.

Latihan yang mula dijalankan sejak 2008 itu merangkumi aspek keselamatan penumpang semasa naik dan turun serta ketika berada di atas feri.

Feri tertua

Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia yang menghubungkan terminal feri di Butterworth ke Jeti Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay, George Town.

Setiap hari, perkhidmatan feri bermula pukul 5.30 pagi sehingga 1 pagi bagi perjalanan yang mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk menyeberang selat sepanjang 3.2 kilometer.

Dalam pada itu, Fisnol Ainon memberitahu, latihan sedemikian perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa kerana ia dapat meningkatkan kecekapan dan ketangkasan petugas feri selain dapat mengenal pasti kelemahan-kelemahan untuk diperbaiki.


SEORANG kakitangan menyempurnakan cara menurun dan menaikan sauh dalam siri latihan kecemasan bagi penumpang feri Pulau Angsa.


“Perkara ini penting bagi memberi keyakinan kepada penumpang supaya merasakan diri mereka sentiasa di bawah pemantauan kakitangan PPSB terutama kru feri.

“Di samping latihan, baru-baru ini kami turut mengedarkan 1,000 risalah kepada pengguna perkhidmatan feri bagi meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan.

“Ia bagi menyedarkan pengguna feri tentang larangan di kawasan operasi feri seperti jangan merokok, memancing, membuang sampah dan perlu mematikan enjin kenderaan.

“Pengguna feri yang disabit kesalahan itu boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, seorang kru feri, Muzameer Khan Abdul Majid Khan, 35, berkata, latihan itu merupakan satu langkah terbaik mendedahkan latihan praktikal kepada semua kakitangan yang bertugas di atas feri.

Katanya, kecekapan itu dapat digunakan serta membantu lain-lain kakitangan PPSB jika berlaku kecemasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: