Wednesday, July 25, 2012

Lagu Ketuhanan Najwa Latif Sempena Ramadan

Najwa Latif

PETALING JAYA: Pelancaran lagu terbaru penyanyi remaja Najwa Latif berjudul Ada Mu bersempena bulan Ramadan ini adalah sebagai pengubat kerinduannya terhadap para peminat.

Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 17, berkata, lagu berkonsepkan ketuhanan itu dihasilkan buat peminat sejak dia berehat panjang bagi persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal November depan.

"Lagu ini adalah sebagai pengubat kerinduan kepada peminat sejak saya berehat panjang daripada industri. Kali terakhir saya mengeluarkan lagu adalah menerusi Untuk Dia bersama Sleeq beberapa bulan lalu.

"Secara kebetulan, label NAR Records membuat keputusan untuk mengeluarkan lagu ini bagi meraikan kedatangan Ramadan kali ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Najwa berkata, pada asalnya lagu yang dicipta bersama kakaknya Ika Latif kira-kira setahun yang lalu itu, dihasilkan untuk tema Hari Raya.

"Ketika lagu Ada Mu dihasilkan kira-kira setahun yang lalu, saya dan kakak merancang untuk buat lagu Hari Raya sebenarnya tetapi apabila kakak dengar muziknya, kami dapati lebih sesuai untuk tema Ramadan.

"Kami mengambil masa sekitar dua minggu untuk menghasilkan lagu itu dan proses rakaman dilakukan pada bulan lalu," jelasnya.

Mengenai kehidupannya sejak berehat daripada aktiviti seni, Najwa berasa lebih tenteram kerana dapat memberikan tumpuan penuh pada pelajaran.

"Saya agak lemah dalam subjek Matematik Tambahan dan Biologi, jadi tumpuan lebih harus saya berikan pada pelajaran. Saya lebih fokus sejak berehat daripada nyanyian.

"Sebelum ini, peminat berasa pelik mengapa saya mendiamkan diri secara tiba-tiba tetapi kakak bertindak sebagai pengurus akaun laman sosial memberikan penjelasan bagi pihak saya," luahnya.

Penyanyi yang mencipta nama menerusi Cinta Muka Buku ini berkata, walaupun berehat daripada nyanyian dia masih diberikan ruang oleh ibu bapanya untuk menghabiskan masa selama setengah jam pada setiap Sabtu bagi bermain muzik.

"Saya lepaskan kerinduan pada muzik pada setiap Sabtu menerusi kelas gitar. Ibu bapa saya beri kelonggaran tetapi tiada komitmen nyanyian buat masa ini," katanya.

Lagu Ada Mu yang dilancarkan sejak 21 Julai kini mula berkumandang di radio. Klip video rasminya boleh ditonton dengan melayari http://www.youtube.com/watch?v=bHPGPb0ZpKI&feature=youtube_gdata_player.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: