Monday, July 2, 2012

Kisah hikayat dari kaca mata Zalina

ZALINA banyak membuat kajian dan rujukan daripada cerita-cerita lama sebelum menghasilkan buku kisah hikayat Melayu ini.


PADA zaman ini cerita epik percintaan pahlawan dan srikandi Tanah Melayu sudah jarang dikisahkan buat anak-anak muda milenium baharu.

Sedangkan suatu ketika dahulu, kisah-kisah itulah yang menjadi kegemaran bukan sahaja kanak-kanak, bahkan orang dewasa.

Inilah yang dirasai penulis buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms, Zalina Abdul Aziz, 47, sehingga mendorongnya membuat keputusan untuk mengumpulkan cerita-cerita tersebut dan menghimpunkannya semula dalam sebuah buku.

Dibesarkan dengan buku-buku hikayat milik datuk dan neneknya pada zaman kanak-kanak, Zalina tidak pernah bosan kerana adanya buku-buku hikayat yang menjadi bacaan hariannya.

“Buku hikayat pertama yang saya baca ialah Puteri Hijau. Ketika itu saya masih di sekolah rendah, tetapi buku kegemaran saya berjudul Panji Semerah.

“Selepas itulah, minat terhadap buku-buku hikayat semakin mendalam dan saya mula membaca lebih banyak buku tersebut yang dikumpul dari arwah datuk di sebelah ibu saya, Jaafar Awang Pekan yang juga bekas guru besar. Antaranya Puteri Gunung Ledang dan Mayang Sari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor minggu lalu.

Zalina yang menggunakan nama pena Ninotaziz berkata, buku nukilannya itu memaparkan pelbagai kisah hikayat termasuk kisah-kisah paling popular seperti Awang Sulong Merah Muda dan Hikayat Malim Deman serta kisah puteri-puteri mitos dalam legenda wayang kulit dan makyung.

“Kisah-kisah ini turut memuatkan puisi-puisi dan prosa selain lagu-lagu rakyat lama, pantun dan gurindam yang diturunkan dari generasi ke generasi.

“Melalui buku ini, saya berharap lebih ramai pembaca termasuk orang luar dapat menghayati kisah-kisah tersebut kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris,” katanya yang merupakan bekas graduan sains komputer daripada Universiti Carleton, Kanada.

Penulis yang dilahirkan di Hobart, Tasmania, Australia itu memberitahu, selain kisah-kisah hikayat, keistimewaan buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms juga terletak kepada ilustrasinya yang dijelmakan oleh pelukis Malek Rahim. Lukisan pada kulit buku pula diilhamkan oleh Raduan Man.

“Buku ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan memandangkan saya perlu membuat banyak kajian mengenai kisah-kisah legenda dan hikayat sebelum menterjemahkan dan menyampaikannya semula dalam bahasa Inggeris,” jelasnya yang juga merupakan Pengarah Eksekutif TiE Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang mempromosikan bidang keusahawanan di Asia Tenggara dan negara ini.

Tambah Zalina, buku tersebut sangat bermakna bagi beliau kerana ibunya, Kamariah Jaafar juga bertindak sebagai salah seorang penyunting.

“Minat yang mendalam terhadap kisah-kisah pahlawan dan srikandi Melayu lama sudah sebati dalam keluarga saya memandangkan ia diturunkan dari generasi ke generasi.

“Saya harap melalui buku ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan menghargai hikayat Melayu lama kerana kisah-kisah ini turut mendapat sambutan dalam kalangan kenalan saya yang berbangsa asing terutamanya dari Perancis,” ujar Zalina.

Buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms kini boleh didapati di kedai-kedai buku utama dan boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.mybooks.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: