Thursday, July 26, 2012

Kahwin pada usia 32 tahun

SHAHEIZY SAM mengaku belum mempunyai kekasih. Dia berharap untuk menamatkan zaman bujang pada usia 32 tahun.


DALAM industri perfileman tempatan, nama pelakon popular Shaheizy Sam bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan peminat dan antara pelakon yang memang kerap tampil di layar perak.

Merupakan seorang yang berpendirian untuk tidak terlalu memilih tawaran lakonan yang diterima, Sam juga dianggap seorang pelakon yang versatil serta mampu membawakan apa sajak watak yang diberikan seperti watak hero, antagonis, komedi atau lelaki psiko.

Biarpun dilihat acap kali tampil dengan filem yang pelbagai genre, ternyata setiap karya yang diterbitkan dengan menampilkan dirinya ternyata jarang mengecewakan daripada segi kutipan dan sambutan penonton.

Melihat kepada tawaran lakonan yang tidak putus-putus serta populariti yang diraih sepanjang bergelar anak seni, pelakon berkenaan turut diajukan tentang pasangan hidup memandangkan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada bulan September ini.

Apatah lagi sebelum ini pelakon yang baru muncul dengan filem 8 Jam itu juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa pelakon wanita seperti Yana Samsuddin, Wawa Zainal dan Sara Ali.

"Bukan saya mahu mengelak untuk mendirikan rumah tangga, tetapi semuanya saya serahkan pada jodoh dan tidak terlalu mencari sangat kerana lebih menumpukan kepada kerjaya.

"Lagipun sehingga kini saya masih lagi belum memiliki teman wanita dan saya sasarkan akan berkahwin paling awal semasa usia 32 tahun," ujarnya ketika ditemui pada majlis tahlil anjurannya di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang baru-baru ini.

Ditanya mengenai faktor-faktor yang menyebabkan dirinya masih belum terbuka hati untuk memiliki teman hidup sehingga sekarang, Sam menjelaskan jadual lakonan yang sentiasa padat menyebabkan dia lebih gemar untuk memberikan tumpuan kepada kerjayanya.

Ujarnya, dia sangat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh menerusi tawaran lakonan yang sentiasa mencurah-curah, malah menyatakan pada masa inilah dia perlu berusaha mengumpul harta sebanyak mungkin.

"Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan sejujurnya saya masih belum bersedia untuk mempunyai komitmen dalam berumah tangga. Jadi, sebagai persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan, saya perlu kumpul aset dan wang ringgit terlebih dahulu," ujarnya.

Pada masa yang sama, anak kepada pelakon Khathy Fauziah itu juga meluahkan rasa gembira kerana memiliki seorang ibu yang sangat memahami kehendak hatinya dan tidak pernah memaksa untuk berkahwin secepat mungkin.

Jelasnya lagi, ibunya juga tidak pernah memperkenalkan mana-mana wanita untuk dijadikan sebagai isteri dan memberikan sepenuh kebebasan buat dirinya untuk memilih sendiri calon isteri.

"Mummy sendiri tidak pernah mendesak saya supaya mendirikan rumah tangga segera kerana dia tahu buat masa sekarang saya lebih gemar memberikan tumpuan kepada kerjaya," ujarnya.

Berbuka dengan peminat


SAM bersama ibu tercinta, Mummy Khaty dan anak saudaranya sewaktu majlis tahlil yang diadakan baru-baru ini.


Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan, Sam memberitahu dia telah mengambil keputusan untuk berehat buat sementara dan tidak akan terbabit dalam sebarang penggambaran filem atau drama.

Jelasnya, sepanjang menjalani ibadah puasa, dia mahu meluangkan lebih masa bersama ahli keluarga dan sudah merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat.

"Sepanjang bergelar pelakon saya memang tidak berkesempatan untuk berbuka puasa dengan peminat kerana agak sibuk berlakon, jadi pada tahun ini saya cuba aturkan satu hari yang sesuai untuk meluangkan masa berbuka puasa dengan mereka.

"Kalau ikut perancangan saya akan adakan majlis tersebut pada 11 Ogos ini, cuma lokasi sahaja yang masih lagi tengah saya cari dan saya jangka seramai 200 peminat yang akan hadir nanti," ujarnya.

Mengenai juadah kegemaran sewaktu berbuka puasa, Sam menyatakan kuih tepung pelita, cucur udang, ikan bakar dan ayam percik merupakan juadah yang tidak ketinggalan untuk dibeli ketika mengunjungi bazar Ramadan.

"Sepanjang bergelar pelakon berbuka puasa di lokasi penggambaran sudah menjadi perkara biasa buat saya, kini dengan adanya masa yang terluang saya dapat berkunjung ke bazar Ramadan dengan lebih kerap," ujarnya.

Hampir terbakar

Bercerita lebih lanjut mengenai kenangan yang paling menarik ketika menyambut bulan Ramadan, ternyata pelakon berkenaan turut mempunyai sebuah peristiwa yang agak lucu.

Ujar Sam, peristiwa tersebut berlaku sewaktu dia berusia enam tahun apabila rumah di kampung ibunya yang terletak di Batu Pahat, Johor hampir terbakar gara-gara bermain bunga api.

"Pada masa itu saya dan Zizie sedang leka bermain bunga api dan setelah habis, kami terus membuangnya di kawasan lalang yang terletak berhampiran dengan rumah.

"Bagaimanapun, kami tidak menyangka bunga api tersebut belum betul-betul padam sehingga membakar lalang, namun kami bernasib baik apabila api berkenaan dapat dipadamkan dengan cepat," ujarnya.

Menurutnya, dapat bersama rakan-rakan mengerjakan solat sunat terawih di masjid pula tetap menjadi saat yang paling menyeronokkan, namun semakin kurang berkesempatan untuk melakukannya sejak sibuk dengan berlakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: