SATU pentas, dua negara dan tiga kumpulan. Berdiri atas platform tersendiri, gabungan Hujan, Bunkface dan Nidji buat julung kalinya menerusi Gig Triple Play mengundang riuh yang luar biasa.
Dihadiri kira-kira 2,000 penonton, konsert anjuran stesen televisyen swasta, TV9 yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail itu wajar diberikan pujian apabila persembahan yang berlangsung secara langsung kira-kira dua jam itu berjaya menyatukan tiga genre muzik dari dua negara.
Suntikan muzik pop punk dan pop rock dari Bunkface, Hujan dengan muzik rock alternatif dan kecenderungan pop alternatif oleh Nidji berjaya memberi kelainan dalam pengisian konsert pada kali ini.
Di sebalik variasi muzik yang ada, mereka bukan hanya melantunkan lagu sendiri, malah turut shuffle sambil mempersembahkan lagu dari kedua-dua kumpulan lain.
Tirai konsert dibuka dengan penampilan Bunkface yang mana vokal Sam tidak hanya menyanyikan lagu Bunkface sendiri iaitu More, Panik dan Kita Perang Kita Menang, malah dia turut bereksperimentasi membawa lagu Nidji, Shadow dan Hujan, Lonely Soldier Boy.
Juara program Versus, Hujan yang mengisi slot kedua berjaya menggegarkan KL Live apabila peminat fanatik Hujan yang dikenali sebagai Raingers tidak putus-putus menjerit dan kadangkala menyanyi bersama.
Noh turut membawa lima buah lagu iaitu Lamunan Terhenti, Rumah Kita, Ke Selatan serta sebuah lagu dari Bunkface, Ekstravaganza dan lagu popular Nidji, Laskar Pelangi.
Kemeriahan Gig Triple Play terus panas dengan kemunculan akhir daripada Giring dan Nidji yang sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat pada malam itu.
Dendangan demi dendangan dari Nidji bagai melepaskan rindu kepada peminat mereka di Malaysia menerusi persembahan yang cukup bertenaga.
Giring malah sempat merakamkan gambar peminat dengan kamera kompak yang dibawanya ke pentas dan berjanji untuk dimuatkan dalam Twitter miliknya.
Enam buah lagu alunan Giring iaitu Indahnya Cinta, Save Me, medley Child-Sudah-Kau dan Aku, Disco Lazy Time, Muda (lagu Hujan) dan Situasi (Bunkface) terus-menerus diiringi sorakan, tepukan dan jeritan peminat tegar mereka.
Begitupun, konsert kreatif ini tidak terus melabuhkan tirai begitu sahaja. Bagi menghargai sokongan padu peminat yang hadir, ketiga-tiga vokalis itu berpadu suara menyampaikan lagu Biarlah.
Secara keseluruhan, TV9 berjaya mengukir satu lagi sejarah dalam industri muzik yang pasti meninggalkan sebuah memori indah kepada pengikut mereka.
Sementara itu, Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin yang ditemui selepas konsert melahirkan rasa bangga dan puas hati dengan penganjuran Gig Triple Play.
“Jika pihak kami menerima respons yang baik daripada peminat, tidak mustahil kami akan terus menganjurkan konsert seumpama ini di masa akan datang.
“Selain itu, penganjuran konsert ini juga sempena dengan sambutan ulang tahun keenam TV9, jadi ini merupakan sebahagian daripada penghargaan dan ucapan terima kasih kami kepada penonton setia yang sentiasa menyokong kami,” katanya.
Dalam pada itu, Sam, Noh dan Giring masing-masing cukup teruja dengan sambutan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong mereka.
Ternyata muzik bukan sekadar satu hiburan, tetapi ia menjadi satu wadah penyatuan yang berjaya merapatkan jurang perbezaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: