SANGLANG, Perlis - Dilema dan penderitaan seorang ibu yang pernah disiarkan Sinar Harian 9 Julai lalu masih belum selesai apabila dia dibelenggu bebanan hutang akibat membatalkan niatnya menyerahkan anaknya kepada sepasang suami isteri.
Wanita terbabit yang ingin dikenali sebagai Na berkata, kini masuk 14 hari dia menjalani tempoh berpantang, namun masalah hutang yang dipinjam daripada sepasang suami isteri sering berlegar-legar dalam fikirannya ditambah lagi kedatangan Syawal yang bakal menjelma.
Menurutnya, tekanan hidup yang terpaksa ditempuhinya menyebabkan dia terpaksa meminjam sejumlah wang daripada pasangan terbabit, namun hasratnya menyerahkan anaknya terpaksa dibatalkan memandangkan cahaya mata dilahirkan merupakan bayi perempuan yang diidam-idamkannya selama ini.
“Saya tahu saya berhutang dengan pasangan terbabit, saya berjanji akan melunaskan pinjaman yang dibuat, namun saya mohon diberikan masa memandangkan keadaan kami sekeluarga yang tidak mengizinkan.
“Suami saya baru memulakan kerja sebagai mekanik, saya pula dalam pantang. Lagipun hari raya bakal tiba, jadi kami tidak mempunyai wang untuk menjelaskan semua
pinjaman terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Terdahulu, akhbar ini 9 Julai lalu menyiarkan dilema seorang ibu yang menghadapi desakan hidup setelah suami yang menjadi tempat bergantung diserang sakit jantung sehingga hilang pekerjaan.
Disebabkan itu, dia menyatakan hasrat mahu menyerahkan anak dalam kandungannya kepada sepasang suami isteri di Kedah.
Pasangan yang tidak dikurniakan anak selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga itu datang bertemu Na dengan tujuan ingin mengambil anak yang bakal dilahirkannya untuk dibesarkan.
Pasangan terbabit turut memberikannya wang sebagai perbelanjaan harian keluarganya. Bagaimanapun, ada segelintir penduduk kampung menganggap dia dan suami menjual anak yang dikandungkannya.
Na berkata, dia dan suaminya akan menjelaskan hutang terbabit namun, secara ansuran kerana keadaan keluarga mereka yang masih belum stabil setelah suaminya jatuh
sakit April lalu sehingga menyebabkan dia dan anaknya hilang tempat bergantung.
Menurutnya, walaupun sudah biasa menjalani tempoh berpantang berseorangan sejak melahirkan anak sulungnya, namun kadang-kala timbul rasa bimbang ketika bersendirian di rumah apabila suaminya keluar bekerja.
“Kadang kala tidak dinafikan timbul rasa bimbang di hati saya jika sesuatu berlaku ke atas saya tiada siapa yang tahu, saya sering berdoa kepada ALLAH SWT supaya melindungi saya dan anak-anak ketika ketiadaan suami.
“Namun, saya percaya apa yang berlaku ada hikmahnya, mungkin ini dugaan bagi menguji kesabaran saya dan suami, apa pun yang berlaku kami akan cuba menyara tiga anak kami.
"Namun, saya juga sedih kerana masih ada sebahagian penduduk di sekitar kawasan ini yang mendakwa saya ingin menjual anak, sedangkan saya tidak berniat pun berbuat demikian,” katanya.
Wednesday, July 25, 2012
Dibebani hutang selepas batal hasrat serah anak pada pasangan suami isteri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: