Zizan dan Juliana Evans
Zizan dan Juliana Evans

Kemesraan antara Zizan Razak dan Juliana Evans ketika sesi tayangan, Mael Lambong yang diadakan di TGV, Sunway Piramid, Selasa lalu menggambarkan kebahagiaan mereka.

Namun, apabila di tanya mengenai status perhubungan mereka, keduanya menegaskan hanya berkawan rapat dan 'sekepala'.

Bagaimanapun, Zizan dan Juliana atau mesra di sapa Jue, sekali lagi 'terkantoi' dengan beberapa media yang sedang menemu bual mereka, apabila pasangan yang pernah digandingkan menerusi filem, Hantu Bonceng ini memakai cincin yang sama.

Tatkala sedar sudah 'terkantoi', Zizan cepat-cepat bangun lalu menanggalkan cincin tersebut dan menyerahkan kepada pengurusnya, manakala Jue hanya tersipu-sipu dan mengatakan cincin mereka berlainan sedikit.

Jue yang sedang dalam cuti semester, sudah berada di Malaysia semenjak tiga minggu lalu dan akan kembali semula ke Amerika Syarikat (AS) pada Ogos nanti.

Ditanya apakah kepulangannya untuk mengurangkan rindunya pada Zizan, empunya nama sebenar, Juliana Sophie Johari Evans ini sempat ketawa.

"Jika diikutkan, saya tak rancang untuk balik sebenarnya kerana saya bercadang untuk mengambil kursus pendek semasa cuti semester ini. Tapi kebetulan saya dapat tawaran berlakon filem Dampak, jadi saya kira baik saya balik sekejap. Dapat juga saya lepaskan rindu berlakon.

"Alang-alang, dapat sambut puasa dan raya di sini. Insya-Allah, hujung Ogos nanti baru saya pulang semula ke sana.

"Sejujurnya, saya belum sempat lagi berbual panjang dengan Zizan, malah malam ini (ketika sesi tayangan filem) adalah kali kedua kami bertemu selepas tiga minggu saya berada di sini," katanya.

Celah Zizan, dia juga berasa ralat kerana belum sempat untuk berbual panjang dengan Jue kerana terlalu sibuk dengan penggambaran dan juga beberapa urusan kerja lain.

"Sudah tentulah saya suka sangat dapat bertemu dengan dia sebab dah lama kami tak berjumpa. Lagipun, dia merupakan kawan wanita saya yang paling rapat setakat ini. Saya tak sempat nak jumpa dia lama-lama sebab jadual saya padat sangat sekarang dengan waktu penggambaran.

"Macam hari ini, saya baru tiba dari Thailand kerana jalani penggambaran filem di sana dan esok pagi saya akan terbang balik ke Thailand," jelasnya.

Ditanya mengenai status sebenar hubungannya dengan Zizan, gadis berusia 22 tahun ini mengakui, Zizan merupakan kawan lelaki yang paling rapat dengannya kini.

"Sepanjang saya di sana, kami sering berhubung melalui Twitter dan kadangkala dia menelefon saya," jelasnya.

Menurut Jue, dia berasa ralat kerana lambat mengetahui Zizan dimasukkan ke hospital. Malah, dia hanya mengetahui tentang berita itu apabila dimaklumkan pengurus Zizan.

"Kalau pengurus Zizan tidak beritahu saya, saya pun tak tahu dia sakit. Risau juga bila dapat tahu berita itu. Sebab saya dengar, dia banyak bekerja sejak akhir-akhir ini. Jadi, saya ada juga pesan supaya dia banyak rehat dan jaga kesihatan.

"Malah, sewaktu dia menang Anugerah Bintang Popular baru-baru ini pun, mama saya yang beritahu saya pasal kemenangannya itu," katanya yang asyik tersenyum apabila diusik Zizan yang sedikit pun tidak berganjak sepanjang sesi temu bual bersama Jue.


Zizan suka ganggu: Jue

Menyentuh mengenai filem terbaru lakonan mereka, Mael Lambong, Zizan sempat mencelah, pernah mengejar seekor anak kambing semasa berada di lokasi penggambaran di Terengganu kerana Jue.

"Jue adalah seorang gadis pan Asia yang sukakan anak kambing dan dia minta saya tangkap anak kambing untuk dia," ujar Zizan sambil memandang Jue.

Jue pula berkata, sepanjang sesi penggambaran, dia banyak diganggu oleh Zizan menyebabkan dia berasa mencabar membawakan watak Maria.

"Maria adalah seorang ejen perisik yang perlu menyempurnakan satu misi. Secara tidak sengaja, dia telah melibatkan Mael dalam konflik yang dihadapinya.

"Sebenarnya tidaklah sukar bawa watak serius, namun yang menjadi cabarannya apabila muka saya difokuskan pada kamera, Zizan pula mengusik kaki saya menyebabkan saya rasa hendak ketawa. Selain itu, dia suka buat lawak.

"Selain itu, Jue terlibat dengan babak bergaduh dan aksi drift. Jue takut sangat ketika melakukan aksi drift namun, Jue puas berlakon dalam filem ini," katanya.

Jue intai peluang di AS Bercerita tentang kehidupannya di negara orang, Jue yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perfileman, Video dan Media di Universiti Western Michigan berkata, rutin hariannya di sana sama seperti pelajar lain.

Namun, yang membezakan, dia berpeluang menikmati kehidupan sebagai gadis biasa, berbanding di Malaysia yang mana dia perlu mengawal segala pergerakan dan tindak tanduk.

"Alhamdulillah, saya dapat sesuaikan diri dan pelajar dari Malaysia yang ada di sana pun banyak bantu saya.

Saya anggap lima bulan di sana, saya masih macam orang yang datang untuk bercuti.

Walaupun kelas setiap hari, tapi masih ada masa untuk lepak di tepi tasik, seronok," katanya.

Tidak sekadar menimba ilmu, Jue turut merancang mencari tapak di sana dan sudah mengintai peluang kerjaya seni seperti bidang peragaan dan lakonan.

Malah, Jue yang akan tamat pengajian April tahun depan sudah merencana untuk tinggal di San Francisco bagi mendapatkan kerja dan menimba pengalaman sebelum pulang ke Malaysia.

“Saya ada hantar resume saya ke beberapa agensi model dan lakonan di sana. Malah, saya sudah mendapat panggilan dari sebuah agensi di Chicago yang minta untuk hadir uji bakat. Tapi, saya terpaksa tangguh dahulu kerana tiada kenderaan dan tempat itu pula jauh.

Mungkin apabila pulang ke sana nanti, saya akan membeli kereta bagi memudahkan pergerakan saya.

"Banyak perbezaan antara industri seni Malaysia dan AS kerana di sana, susah untuk masuk dalam industri seni. Tak macam di sini, peluang itu lebih senang, sebab Malaysia kecil. Bayangkan walaupun kita bekerja sebagai pensyarah dan memiliki pengalaman bertahun dalam bidang seni, belum tentu kita dapat memasuki industri walaupun bekerja sebagai penulis skrip," jelasnya.


Zizan kecewa tanpa Johan

Sementara itu, Zizan mengakui tidak pernah menjangkakan watak yang dicipta bersama Johan dan Sabri Yunus semasa pentas Maharaja Lawak tahun lalu akan diangkat ke layar perak.

"Saya nak ucapkan terima kasih pada Johan sebab nama Mael Lambong ni, Johan yang bagi. Bila filem ini sudah mula ditayangkan, saya rasa bangga dan semangat pun lain macam. Cuma saya terkilan kerana Johan tidak berada dalam filem ini kerana ketika penggambaran, jadual dia terlalu padat.

"Apa pun, saya rasa ada baiknya Mael Lambong pergi dulu dan selepas ini baru watak Ah Chai.

Kemudian, buat kedua-duanya sekali," ujar Zizan teruja.

Zizan berkata, dia sedaya upaya cuba mengelak untuk menyelitkan komedi slaptik, namun terpaksa akur bagi menyesuaikan dengan jalan cerita.

"Tidak dinafikan agak sukar juga untuk membawa watak Mael Lambong kerana saya tak nak lawak itu wujud. Bagi menampakkan kelainan, saya gunakan komedi ketat dalam filem ini. Saya rasa sejuk hati bila orang tonton filem ini dan mereka gelak.

"Bagi saya, ini cara saya untuk buat peminat rasa puas. Saya buat sesuatu bukan sebab duit tapi saya buat untuk orang gembira. Saya sayangkan Mael Lambong kerana ia memang sangat eksklusif buat saya," jelasnya.

Mael Lambong berkisar seorang penarik kereta profesional yang terjebak dalam satu komplot, apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja. Pertemuan itu telah membawa Mael kembali ke kampung halamannya. Mael bertemu Tiger dan di situlah timbulnya konflik. Apakah yang berlaku di antara Mael dan Tiger? Siapakah Rozie dan siapakah Maria yang telah melibatkan Mael Lambong dalam konfliknya?

Filem ketujuh terbitan Excellent Picture ini turut menampilkan pelakon seperti Taiyuddin Bakar, Shenty Feliziana, Lan Komeng, Sabri Yunus dan Shuib (Sepahtu).


Letak syarat

Ditanya perkembangan kesihatannya sekarang, Zizan menjelaskan, keadaannya bertambah baik. Malah, atas nasihat doktor dia kini terpaksa mengehadkan waktu kerjanya sehingga jam 12 malam sahaja.

"Alhamdulillah, saya bertambah sihat. Doktor nasihatkan saya kena cukup tidur dan saya juga mula ambil supplement. Sekarang ini, saya tidak lagi kerja sehingga lewat malam dan hadkan waktu penggambaran untuk saya sehingga jam 12 tengah malam sahaja.

"Malah, syarat ini juga telah saya maklumkan pada produksi yang mahu ambil saya bekerja dan setakat ini belum ada sebarang masalah lagi. Macam sekarang ini pun, syarikat penerbit sediakan sebuah bas untuk saya dan pelakon lain berehat dan juga sebagai bilik make up sepanjang penggambaran di Thailand, walaupun saya tak minta diberikan kemudahan itu," katanya.

Pada 29 April lalu, Zizan telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai dan disahkan mengalami ‘Acute Myositis’ atau lebih dikenali dengan keradangan otot.