Tetap ke laut walau tanpa kaki
Hamirrisam (dua, kanan) menerima elaun sara hidup disampaikan Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang.

MARANG – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang boleh diibaratkan nasib nelayan, Hamirrisam Awang, 35, kerana hidupnya penuh dengan cabaran selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

Bagi sesetengah orang kurang upaya (OKU), kekurangan yang dimiliki mungkin menjadi penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab.

Namun, bapa tiga anak ini tetap gigih mencari rezeki dengan menangkap ikan yang sudah dilakukan sejak belasan tahun biarpun kini dia hanya bergantung pada sebelah kaki sahaja.

Hamirrisam yang tinggal di Kampung Pantai Merchang, di sini, berkata, dia terbabit dalam kemalangan di Kampung Pak Lijah, Dungun.

Dalam kemalangan itu, dia dilanggar kenderaan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan menuju ke Dungun pada Ogos 2008 lalu.

“Akibat kemalangan, kaki kiri saya hancur dan terpaksa dipotong hingga hampir paras lutut,” katanya selepas menerima bantuan sara hidup pada Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Daerah Marang di sini.

Lebih menyedihkan, ketika sedang terlantar sakit selama lebih kurang tiga bulan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, bekas isterinya pula meninggalkannya dengan alasan Hamirrisam tidak lagi mampu menanggung keluarga.

Namun kini ternyata tanggapan itu ternyata salah apabila rezekinya di laut masih belum putus, kuasa ALLAH SWT mengatasi segalanya.

Katanya, tanpa sebelah kaki dia kini lebih tabah, lebih menghargai dan mensyukuri nikmat Tuhan.

"Saya rasa seolah-olah tiada bezanya ada dua kaki ataupun satu kaki, kerja saya tidak terjejas, malah rasa lebih dekat dengan Tuhan," katanya.

Hamirrisam berkata, dia bersyukur kerana masih ada dua belah tangan dan sebelah kaki dan bernasib baik kerana rakan ayahnya banyak membantu ketika berada di laut.

“Jika tidak turun ke laut, saya akan melakukan pekerjaan yang sesuai dengan keadaan diri saya seperti membaiki pukat dan bertukang bagi mencari rezeki untuk membesarkan tiga anak” katanya.

Hamirrisam yang berpisah dengan isterinya sejak tiga tahun lalu kini tinggal bersama bapanya, Awang Mamat, 61, manakala tiga anaknya berumur 6 hingga 12 tahun pula diletakkan di bawah penjagaan secara bersama dengan bekas isterinya itu.