KEHILANGAN orang yang amat dikasihi akibat kematian adalah suatu tragedi dahsyat dalam kehidupan seseorang dan tidak terkecuali bagi ahli perniagaan terkenal, Datuk Dr. Rozmey Che Din yang juga Presiden dR. Rozmey Group.
Ketika waktu menghampiri tengah hari pada 25 September 2008, takdir menentukan isteri kesayangan dijemput pulang ke rahmatullah sekali gus merentap jantung hatinya.
Kehilangan arwah isteri, Noor Halawiah Abdullah Shukri yang ketika itu berusia 39 tahun diibaratkan hilang sinar kerana yang pergi tidak kembali itu bukan hanya isteri tetapi teman sejiwa dan rakan seperjuangan dalam kehidupannya.
Pelbagai duri dan ranjau telah diharungi bersama atas nama cinta yang terbina sejak 15 tahun lalu menjadi keutuhan cinta Rozmey dan arwah isteri namun kini semuanya hilang dalam sekelip mata.
Allahyarham Noor Halawiah yang juga merupakan eksekutif syarikat yang dimiliki Rozmey itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di lokasi yang tidak jauh daripada kediaman mereka di Darul Aman Height Jitra Kubang Pasu.
Kemalangan berlaku cuma 45 minit selepas arwah bertemu dengan Rozmey di pejabat mereka di pekan Jitra dan kedua-dua sempat bergurau senda seperti biasa tanpa menyedari malang tidak pernah berbau.
Di sebalik takdir yang menyedihkan itu, Rozmey reda dengan pemergian arwah dan membuat keputusan untuk memulakan kehidupan baru kerana tidak mahu terlalu lama dalam fasa kesedihan itu.
Apatah lagi, di kedua-dua bahunya terpikul tanggungjawab sebagai ayah dan ibu kepada tiga anak hasil perkahwinannya dengan arwah.
Kehilangan ibu yang dipanggil 'mummy' turut memberi tamparan kepada Syamsul Anuar, Puteri Amylia Natasha dan Putera Amirul Hakim yang masing-masing berusia 15, 7 dan 6 tahun ketika itu.
Di luar rumah, Rozmey perlu mengumpul kekuatan membangunkan perniagaan berasaskan herbanya itu memandangkan ia baru berusia setahun jagung dan memerlukan komitmennya 100 peratus.
Demi menamatkan krisis yang dianggap perit dalam kehidupannya itu, langkah yang perlu diambil adalah mendapatkan pengganti baru dan paling penting 'mummy' untuk anak-anaknya.
Dalam pertemuan terbaru dengan wartawan S2 di pejabatnya baru-baru ini, Rozmey mengakui kepentingan anak-anak itu menjadi keutamaan dalam usahanya menjadi pengganti arwah malah melebihi naluri kelakiannya sendiri.
"Apa yang saya mahukan adalah seorang ibu untuk anak-anak. Saya pernah terfikir untuk berkahwin dengan adik ipar kerana memikirkan dia adalah calon ibu terbaik.
"Saya takut memilih sembarangan wanita memikirkan tentang gejala penderaan kanak-kanak yang berlaku di luar sana dan bila berkahwin dengan mereka yang mempunyai pertalian dengan anak-anak saya, tidak mungkin mereka akan diperlakukan sembarangan," kata beliau yang senang membahasakan dirinya sebagai Dr.
Namun niat tersebut tidak kesampaian apabila keinginan hati untuk menyunting adik ipar tidak diterima empunya badan menyebabkan beliau kebuntuan.
Demikian dinamakan jodoh, selagi hati berniat baik pintu sentiasa terbuka apabila beliau kemudian dipertemukan dengan adik kepada birasnya sendiri untuk menjadi suri baru dalam rumahnya.
Mengimbas pertemuan pertamanya Nurzuraiffa Zulkifle yang ketika itu berusia 19 tahun, cerita Rozmey, beliau terlebih dahulu menguji hati gadis kelahiran Kota Bharu Kelantan itu bagi mengenal hati budi.
"Apa yang penting bagi saya adalah keikhlasan hatinya iaitu sejauh mana dia dapat menerima anak-anak saya yang masih kecil dan menjaganya seperti anaknya sendiri.
"Alhamdulillah dia berjanji untuk melaksanakan tugas tersebut dan bersedia menjadi isteri dan 'mummy' kepada anak-anak saya," jelasnya.
Tanggal 22 November 2008, Dr. Rozmey dan Nurzuraiffa atau Effa yang kini bergelar Datin selamat diijabkabulkan dan bermulanya kehidupan baru bagi usahawan berusia 44 tahun dari Kuala Krai Kelantan ini.
Jika ada yang masih mengingati, berita perkahwinan duda berjaya ini mendapat liputan yang meluas terutama apabila Rozmey menjadikan sebuah kereta Mercedes CLS350 bernilai RM1 juta sebagai salah satu hantarannya.
Begitu juga di sebalik kebahagiaan yang baharu dikecapi, Rozmey terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan lewat persepsi buruk sesetengah masyarakat.
"Banyak yang mengutuk dan tidak kurang memfitnah kata mereka saya baru sahaja kematian isteri sudah kahwin baru, kahwin pula dengan 'pucuk muda' dan sebagainya. Namun saya terima cakap-cakap orang itu dengan tenang.
"Jika mereka di tempat saya mereka akan tahu apa yang harus dilalui saya. Lagipun saya bukan buat apa-apa kesalahan apabila ingin berkahwin dengan gadis remaja," katanya.
Bercerita tentang awal perkahwinannya itu, Rozmey mengakui ia bukan sesuatu yang mudah terutama apabila menyunting seorang gadis remaja.
"Seorang remaja tetap remaja yang suka bersuka ria dan bergembira bersama kawan-kawannya tetapi kini dia terpaksa berada di rumah untuk menguruskan anak.
"Walaupun hatinya terima tanggung jawab itu dengan ikhlas namun saya tahu ada kalanya Effa alami kesukaran untuk menyesuaikan diri. Oleh sebab itu dalam tempoh tiga bulan pertama perkahwinan kami saya tumpukan perhatian mendidiknya.
"Alhamdulillah selepas itu semuanya sempurna sekali apabila Effa dapat menjalankan tugasnya sebagai isteri dan paling penting 'mummy' kepada anak-anak saya," ujar beliau.
Rozmey turut menggelarkan hubungan Effa dan anak-anaknya itu bukan sekadar ibu dan anak tetapi kawan baik kerana Effa sangat memahami dan rapat dengan mereka.
"Anak-anak saya kini masing-masing berusia 20, 19, 11 dan 10 tahun sementara Effa pula 23 tahun melihat kepada jarak usia tersebut tentunya hubungan mereka seperti kawan-kawan.
"Sangat mengagumkan apabila Effa mampu menyayangi mereka seperti anak-anak sendiri menjadi ibu dan rakan baik kepada anak-anak. Tentu saja hidup saya sangat sempurna kini dan ini adalah rezeki saya dapat isteri yang cantik dan muda namun lebih penting sangat menyayangi anak-anak," katanya lagi.
Bagi Effa, beliau tentu melakukan pengorbanan besar apabila membuat keputusan untuk mengahwini Rozmey empat tahun lalu sedangkan impiannya ketika itu adalah untuk menceburi bidang glamor sebagai pelakon.
Malah selepas menamatkan persekolahan di Kuala Lumpur, Effa berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila berlakon dalam beberapa buah drama tempatan sebagai artis tambahan.
Namun semua itu dilupakan atas satu alasan iaitu demi menjadi ibu kepada anak-anak Rozmey memandangkan beliau sebelum ini sangat rapat dengan arwah isteri dan anak-anaknya.
"Ketika menerima lamaran itu saya tidak terfikirkan Datuk pun, cuma saya sering mendengar ceritanya daripada arwah tetapi tidak pernah berjumpa.
"Berita kematian arwah sangat menyedihkan kerana saya memikirkan nasib anak-anaknya mereka masih kecil lagi," katanya yang dilihat mengalirkan air mata saat mengimbas semula kisah tersebut.
Perkahwinan tanpa cinta bukan suatu kelemahan bagi pasangan tersebut malah kasih sayang yang timbul lepas perkahwinan itu menjadi ikatan yang mengukuhkan hubungan mereka walaupun dengan jarak usia lebih 20 tahun.
Kata Effa, sikap penyayang Rozmey dan kematangannya menjadikan beliau amat memuja lelaki tersebut, sementara Rozmey pula tentunya tertawan dengan sikap keibuan Effa walaupun pada usia masih muda.
Kasih sayang dan perhatian Rozmey terhadap isteri ketara apabila beliau sanggup mengupah seorang pemandu untuk membawanya ke mana-mana kerana kemalangan yang menimpa arwah isteri dahulu cukup menjadikan beliau trauma.
Kini seperti pasangan lain, Rozmey dan Effa berharap kasih yang disulam itu bersimpul mati sehingga ke hujung nyawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: