Sunday, June 24, 2012

Hos Poland, Ukraine sajikan kemeriahan

pix_middle

UPACARA perasmian edisi ke-14 Euro 2012 berlangsung penuh gemilang dengan simbol perpaduan, persaingan dan keghairahan serta menampilkan motif flora menarik.

Majlis melambangkan kualiti hebat setiap pasukan bola sepak negara yang bertanding, abiliti untuk menyuntik inspirasi golongan muda, menghimpunkan semua orang dari setiap negara berkumpul bersama dan paling penting, mengekalkan elemen kejutan tersendiri.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Ia bermula dengan bunyi enam loceng gergasi yang diturunkan dari bumbung stadium, diikuti persembahan sekumpulan penari berpakaian warna bendera negara menyertai sebelum dua maskot kejohanan, Slavek dan Slavko memasuki padang.

Persembahan diteruskan dengan kemunculan pemain piano terkemuka Hungary, Adam Gyorgy, dari ‘bola’ gergasi di tengah padang yang terbuka untuk menghiburkan puluhan ribu penonton di Stadium Kebangsaan di Warsaw dengan dendangan irama klasik.


Majlis diteruskan dengan persembahan lebih rancak oleh DJ Karmatronic sebelum lapan bola yang dibawa masuk ke padang terbuka untuk menampilkan lapan replika stadium Euro 2012. Dengan pembabitan seramai 1,000 penari dari pelbagai negara yang dikendalikan oleh pengarah kreatif dan penerbit eksekutif, majlis perasmian ini memerlukan 1,200 pakaian, raptai selama 250 jam, 2,400 liter air dan 22,000 snek.


Majlis perasmian yang disusuli dengan perlawanan pembukaan kejohanan membabitkan Poland, tuan rumah bersama Ukraine, menentang Greece, dihadiri puluhan ribu penyokong Poland sambil mengenakan jersi merah dan putih pasukan kebangsaan mereka sekali gus mengubah Warsaw menjadi zon parti, tanpa menghiraukan hujan serta cuaca mendung.

“Ia perkara hebat untuk melihat begitu ramai orang di sini. Saya teruja dan gembira Euro berlangsung di Poland,” kata pelajar, Slawek Wojciechowski, 25.

“Ini adalah acara begitu bermakna buat Poland. Ini adalah kali pertama kami menganjurkan sesuatu seperti ini dan saya begitu kagum dengan suasananya,” kata Leszek Wilczak dari Krakow.

“Ini adalah peluang buat Poland memperlihatkan keunikan dan tarikannya. Saya berharap penonton dari luar yang datang kali pertama ke sini akan kembali semula.”

Bagaimanapun kegemilangan majlis perasmian sedikit terjejas dengan dakwaan ejekan perkauman oleh penonton terhadap Belanda ketika sesi latihan pasukan.

Kapten Belanda, Mark van Bommel berkata dalam temubual disiarkan akhbar De Telegraaf, skuad Oranje terpaksa melakukan latihan jauh daripada 25,000 peminat yang hadir menyaksikan mereka di Krakow, selatan Poland.

“Kami semua mendengarnya,” katanya dipetik berkata. “Kami tidak boleh menerimanya. Kami bertindak balas secara baik dan situasi berjaya ditangani.

“Ketika kejohanan, jika mana-mana pemain berdepan perkara sama, kami akan terus berjumpa pengadil dan memintanya campur tangan,” kata van Bommel.

Poland, Ukraine dan Presiden Uefa, Michel Platini semua sudah cuba mengendurkan ketakutan insiden perkauman, yang menyebabkan keluarga dua pemain berkulit hitam England enggan pergi menyaksikan kejohanan.

“Ia memang mudah untuk menuding jari menyalahkan Ukraine dan Poland berhubung isu perkauman tetapi semua negara berdepan masalah sama,” kata Platini.

“Kami sudah melakukan banyak perkara tetapi ia (diskriminasi perkauman) bukan masalah bola sepak, ia masalah sosial.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: