SESAK...peminat England dan Sweden berarak ke stadium.
WALAUPUN dihantui isu perkauman selepas sepak mula Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro 2012) 8 Jun lalu, suasana di bumi Ukraine yang menjadi tuan rumah kejohanan itu bersama Poland tetap meriah dan gamat apabila dikunjungi jutaan peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Aura kemeriahan bukan saja dapat dirasai di stadium, malah seluruh penjuru bandar raya dengan penganjur berpesta meraikan kejohanan Eropah terbesar ini.
Latar belakang budaya dan agama yang berlainan juga tidak menjadi penghalang bagi peminat untuk sama-sama meraikan kejohanan yang kali pertama dianjurkan di kedua-dua negara.
Negara bekas empayar Soviet Union ini bersedia menganjurkan kejohanan dengan menambah baik prasarana bola sepak, termasuk mengubah suai stadium dan membina stadium baru sempena temasya kali ke-14 ini.
Sistem pengangkutan di Ukraine turut menjalani pengubahsuaian besar-besaran bagi menampung kedatangan peminat bola sepak yang ramai.
Penulis berpeluang ke sini apabila dipilih bersama tiga lagi staf The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) untuk mengiringi enam pemenang peraduan Euro 2012 yang dianjurkan tiga akhbar syarikat kami, Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times, menyaksikan perlawanan secara langsung antara England menentang Sweden di Kiev.
Sebagai kaki bola, peluang itu ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu lalu dan transit selama dua jam di Istanbul, Turki. Setelah menempuh perjalanan selama 14 jam, akhirnya rombongan kami selamat tiba di Kiev.
Perasaan tidak dapat digambarkan apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil. Suhu sekitar 15 darjah Celsius dan masalah bagasi yang lambat tiba
memberi gambaran awal akan kehangatan yang bakal kami alami.
Wakil daripada hotel penginapan, Antonia menyambut mesra rombongan kami sambil memberitahu beliau selalu mendengar nama Malaysia melalui kaca televisyen, namun ini kali pertama beliau menerima pelawat dari Malaysia.
Kami diberi penerangan mengenai Kiev dan dibawa mengelilingi sekitar bandar
raya yang dihuni 2.6 juta penduduk itu.
Ukraine, antara negara tertua di Eropah, menjanjikan pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi. Sejarah peradaban Eropah lama dan Soviet Union meninggalkan kesan sejarah yang unik.
Selama dua hari, kami dibawa mengunjungi beberapa tempat menarik di bandar raya ini, antaranya Kiev Pechersk Lavra, satu daripada tinggalan sejarah terkenal di sini, selain mengunjungi Independence Square, yang ditukar menjadi ‘zon peminat’ sepanjang musim Euro kali ini.
Selain sebuah pentas khas, peminat juga boleh mengikuti siaran langsung perlawanan bola sepak melalui empat skrin gergasi, sambil menikmati minuman atau mengunjungi gerai penaja yang mengadakan pelbagai aktiviti sampingan.
Harga bagi barangan cenderahati dan makanan adalah sama jika dibandingkan dengan harga di Malaysia. Kedai menjual kebab dan makanan Arab menjadi tumpuan kami kerana sukar mencari sajian halal. Bagaimanapun, ia berbaloi untuk mencuba benda baru di sini.
Pengangkutan awam di bandar raya ini juga selesa dan kami mudah menaiki bas dan kereta api bawah tanah yang dikenali Metro. Dengan bayaran 80 sen (2 hryvnia Ukraine), anda boleh menaiki kereta api yang menghubungkan setiap tempat di dalam bandar.
Sukarelawan yang ditugaskan di kawasan tumpuan ramai sempena kejohanan ini juga sedia menjawab pelbagai soalan kami.
Pada sebelah malam, kami banyak menghabiskan masa di zon peminat dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan penganjur. Suasana kemeriahan jelas terasa dengan pelbagai ragam peminat, terutama dari England dan Sweden. Kemesraan jelas terasa apabila mereka selalu menegur dan bertanya mengenai Malaysia.
Kami teruja untuk menyaksikan perlawanan pada hari ketiga di sana. Pada sebelah siang, kami sempat membeli-belah barangan cenderahati sementara menunggu perlawanan yang berlangsung jam 10 malam.
Dua jam sebelum itu, kami berjalan menuju Stadium Olimpik Kiev yang akan menjadi gelanggang perlawanan akhir Euro 2012 sejauh dua kilometer dari hotel penginapan.
Setibanya di stadium, kami terpaksa melalui kawalan ketat. Pos pengawal disediakan 200 meter dari pintu stadium. Hanya pengunjung bertiket dibenar memasuki stadium.
Kawalan di pintu masuk juga ketat. Sepanduk dan bendera diperiksa bagi memastikan tiada yang unsur perkauman.
Peminat mula membanjiri stadium jam 8 malam. Peminat rata-ratanya dikuasai penyokong Sweden yang berbaju kuning dan mereka menyanyi tanpa henti lagu popular bola sepak di negara Eropah ‘Bangun Untuk Juara’.
Penyokong England juga tidak henti-henti dengan nyanyian semangat mereka yang mampu menaikkan bulu roma sesiapa saja.
Suasana ini sangat berlainan jika dibandingkan dengan stadium di Malaysia yang lebih bingit dengan bunyi hon udara.
Suasana di dalam stadium sangat meriah dengan pelbagai gelagat peminat. Jangan terkejut apabila ada peminat yang hanya berseluar dalam.
Selama setengah jam sebelum sepak mula, pelbagai persembahan diadakan
di tengah padang. Kami sempat mengalas perut sementara menunggu perlawanan dimulakan.
Perlawanan dimulakan dengan kiraan beramai-ramai daripada penonton sebelum pengadil meniup wisel.
Stadium bergema dengan suara penyokong kedua-dua pasukan.
England yang awalnya mendahului dengan 1-0 tersentak dengan asakan bertubi-tubi Sweden yang menyaksikan negara Scandinavia itu mengatasi dengan jaringan 2-1 pada satu ketika.
Dengan sorakan tidak putus-putus penyokong dan semangat juang tinggi, akhirnya England memenangi perlawanan 3-2.
Perlawanan ini sangat menarik apabila dapat menyaksikan lima jaringan daripada kedua-dua pasukan. Kami sempat bergambar dengan peminat kedua-dua pasukan sebagai tanda kenangan dan pulang ke hotel penginapan sejam kemudian.
Perasaan bercampur-baur ketika berjalan pulang kerana rombongan kami akan meninggalkan Ukraine pada keesokan paginya.
Apapun, pengalaman selama empat hari di sana meninggalkan seribu kenangan yang akan kami ceritakan kepada rakan dan keluarga di tanah air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: