Sunday, June 24, 2012

Eksklusif di Pullman Putrajaya

MENIKMATI hidangan dalam suasana penuh eksklusif.

PERSIS istana di zaman silam, sesiapa yang pertama kali mengunjungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pasti terpegun melihat keunikan dan kecantikan Hotel Pullman Putrajaya Lakeside.

Terletak di kawasan berkeluasan empat hektar di sepanjang Tasik Putrajaya, hotel itu tidak pernah sunyi sama ada siang atau malam.

Di situ, pengunjung bebas membeli-belah dan mengunjungi tempat-tempat menarik di Putrajaya, menikmati makanan lazat, berurusan di institusi kewangan dan pejabat kerajaan Persekutuan berhampiran.

Mengetengahkan konsep moden dan kontemporari, hotel bertaraf lima bintang itu menampilkan gabungan seni bina tradisional Melayu, Cina, India dan etnik Borneo.

Menawarkan sebanyak 281 bilik secara keseluruhan, ia bermula daripada superior, deluxe, junior suites, family, executive, premier suite dan golden suite yang mewah bercirikan eksklusif bersesuaian dengan status penghuninya.

Lebih menarik, pengunjung yang menginap hotel itu bakal disajikan dengan keindahan Tasik Putrajaya yang mengasyikkan serta panorama sekitar.

Bagi keselesaan pengunjung, setiap bilik dilengkapi pelbagai kemudahan. Antaranya kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, perkhidmatan bilik, jalur lebar berkelajuan tinggi, peti ais mini, peti keselamatan dan peralatan aktiviti kecergasan.

Kunjungan ke hotel itu seakan tidak lengkap sekiranya tidak mencuba pelbagai hidangan yang ditawarkan oleh rangkaian kafe dan restoran bercita rasa tinggi di situ.

Di restoran B's, pengunjung berpeluang menikmati hidangan bufet dan ala carte dalam suasana santai dan penuh eksklusif mengetengahkan menu Asia dan Barat yang sediakan oleh chef-chef berpengalaman.

Sementara itu, restoran The Village menawarkan hidangan laut yang segar berhampiran dengan tasik di mana pengunjung boleh meminta cara bagaimana masakan itu disediakan.

Selain itu, di sini juga terdapat China Bar dan Lounge yang menyediakan pelbagai jenis koktel.

Jika mahu bersantai bersama teman-teman sambil menikmati snek ringan, Bar on Third adalah jawapannya. Nikmatilah, aneka pilihan kopi, teh, jus segar atau hidangan pencuci mulut seperti ais krim buatan sendiri, roti dan pastri.

Selepas menikmati hidangan yang lazat, pengunjung yang mahukan aktiviti lain bagi menghilangkan tekanan bolehlah berkunjung ke Fit Spa Lounge yang menyediakan bilik rawatan eksklusif dan spa oleh pakar-pakar terapi bertauliah di situ.

Untuk aktiviti lain, pengunjung juga boleh bersenam di gimnasium yang lengkap dengan pelbagai peralatan terkini serta khidmat jurulatih peribadi. Di samping itu, terdapat juga kemudahan bilik jakuzi, sauna dan kolam renang.

Persekitaran dan kemudahan yang dimiliki turut membolehkan pengunjung memilih tempat yang sesuai untuk mengendalikan mesyuarat, seminar, konvensyen dan lain-lain kegiatan perniagaan.

Dewan Ballroom yang mampu memuatkan kira-kira 350 pengunjung pada satu-satu masa. Di samping itu, ia turut mempunyai 21 bilik mesyuarat serba guna untuk acara berskala kecil. Ia dilengkapi sistem audio, visual dan pencahayaan yang berteknologi tinggi.

Bosan menginap di hotel semata-mata, apa kata berkunjung ke pusat membeli belah Alamanda di Presint 16, Boulevard Putrajaya, Taman Rimba Alam dan Taman Wetland sambil memancing pelbagai spesis ikan air tawar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: