MASYARAKAT Malaysia pada umumnya bersifat penyayang, pemurah dan sanggup membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Melihatkan hal demikian, golongan ‘bikers’ turut tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan dengan menjadi ahli sukarelawan dan melakukan kerja-kerja amal sama ada melalui pendermaan berupa masa, tenaga, wang ringgit ataupun barangan.
Baru-baru ini, penulis dan rakan sepejabat berpeluang mengikuti konvoi amal, Langkawi International Charity Ride 2012 (LICR) pada 7 hingga 10 June lalu.
Bermula daripada Kuala Lumpur, hampir 250 buah motosikal berkuasa tinggi bersama-sama mengharungi pengembaraan selama empat hari tiga malam ke Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman.
Konvoi bermotor ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelbagai kelab motosikal tempatan dan luar negara seperti Singapura, India, Jerman dan Amerika Syarikat.
Destinasi-destinasi yang kami lawati juga memberi 1,001 pengalaman yang sungguh unik walaupun hanya bergerak hampir 700 kilometer (pergi balik).
Sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan, kesemua penunggang berjaya menawan ‘pulau lagenda’ tanpa sebarang halangan.
Istimewanya konvoi ini, setiap peserta berpeluang menguji kemampuan motosikal masing-masing sambil menyempurnakan misi bantuan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukannya sambil melancong.
Dalam penjelajahan itu juga dipenuhi dengan pelbagai acara menarik yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Syabas dan tabik kepada mereka yang menjayakan program ini terutamanya Tourism Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Al Rajhi Bank, Ada Events, Sala Travel & Tours Sdn. Bhd., Naza World, Chai Ken Premium Bikes, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.
Moto besar, berjiwa besar
Antara penunggang yang mengikuti konvoi tersebut, Azhar Osman, 47, berkata, konvoi amal tersebut amat penting untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sesetengahnya berpendapat hanya bergaul sesama mereka.
Menurut Azhar yang juga dikenali sebagai Mario, melalui aktiviti yang diisi semasa LICR ini, peserta dilihat tidak kekok untuk bermesra dengan penduduk tempatan dan kanak-kanak istimewa yang dirai.
“Selain beriadah, kami berpeluang bercuti dan beramal melalui aktiviti konvoi seperti ini.
“Konvoi ini juga memberi peluang untuk menambah kenalan selain bertukar-tukar pendapat mengenai motosikal dan saya sifatkan LICR berjaya mencapai objektifnya," katanya.
Tambahnya, program tersebut juga secara tidak langsung menaikkan nama Langkawi yang sememangnya terkenal di seluruh dunia.
Bagi Masjudan Selamat, 35, pula, walaupun motosikal Ducati yang ditunggangnya meragam sejak bertolak dari Kuala Lumpur, dia langsung tidak patah semangat untuk menjayakan konvoi tersebut sehinggalah selamat pulang ke ibu negara.
“Pada mulanya saya tidak menyedari motosikal saya mengalami masalah sensor sehingga pada awalnya mengganggu perjalanan saya kerana saya terpaksa berhenti beberapa kali di tepi jalan.
“Namun, ia tidak melenyapkan impian saya untuk menunggang motosikal di sekitar Langkawi yang memiliki jalan raya sempurna jika dibandingkan dengan Pulau Pinang yang terlalu padat dengan kenderaan," katanya.
Katanya, jika LICR dianjurkan lagi pada tahun hadapan, beliau pasti akan menyertainya kerana gembira dengan program-program yang diaturkan sepanjang konvoi tersebut.
Antara penunggang wanita yang turut menyertai konvoi LICR, Ruzaimah Miskam, 36, berkata, melancong bersama motosikal memberikannya perasaan kebebasan selain berpeluang beramal, menambahkan ilmu pengetahuan mengenai budaya dan masyarakat setempat.
“Kesemua negara yang saya lawati adanya keistimewaan yang tersendiri. Sebab itu saya suka mengambil keputusan mengembara bersama motosikal.
“Tema pelancongan bermotor sudah dikenali ramai tetapi tema pelancongan bermotor sambil beramal dengan tugasan sukarelawan jarang diadakan.
“Sebab itu saya mengambil peluang untuk mengikuti program seperti ini dan saya berharap agar program ini akan berterusan dari masa ke semasa," katanya.
Yanti Sulastri Aswen, 31, pula berkata, konvoi LICR boleh menambahkan bilangan pelancong ke Malaysia lebih-lebih lagi keadaan jalanraya yang terdapat di negara ini amat baik keadaannya berbanding negara lain.
“Lebuh raya yang terdapat di Singapura tidak seluas Malaysia, malah penunggang mempunyai kelebihan untuk membawa jentera pelbagai cc motosikal," ujarnya.
Mastura Ishak, 32, berkata, perjalanan kali ini memberikannya peluang untuk mengenali Malaysia dengan lebih baik.
“Selain saya menambah bilangan rakan baru, saya juga menambahkan pengalaman melalui penyertaan program seperti ini.
“Macam-macam benda baru saya pelajari dan antaranya saya dapati negara ini kaya dengan sumber alam semulajadi yang indah dan saya berpeluang menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terdapat di Langkawi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: