|
KUALA LUMPUR - Seramai 600 penggiat seni terdiri daripada penyanyi, pengubah lagu, pelakon, penerbit filem dan drama serta aktivis seni telah mengesahkan kehadiran pada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 esok.
Pengarang Hiburan Kosmo!, Yusman Awang berkata, majlis yang bermula pukul 2 petang hingga 6 petang itu akan diadakan di Hotel Renaissance, Jalan Ampang di sini.
Beliau berkata, antara artis terkenal yang hadir ialah Datuk Sharifah Aini, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sheila Majid, Fauziah Ahmad Daud, Sofea Jane, Amy Search, Jamal Abdillah, Maya Karin, Rozita Che Wan, Eja, Fizo Omar, Ifa Raziah, Roslan Shah dan ramai lagi.
"Pada majlis itu, artis dan karyawan seni lain boleh mendaftar karya kreatif mereka secara terus dan bersoal jawab mengenai hak-hak mereka seperti yang terkandung dalam Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012," katanya di sini semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual hadir pada majlis itu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Timbalan Ketua Pengarahnya, Mohd. Shahar Osman.
Menurut Yusman, jumlah artis yang bakal menyertai majlis anjuran bersama MyIPO dan Kosmo! tersebut dijangka bertambah apabila ramai akan membuat pengesahan mengenai kehadiran mereka hari ini.
"Selain itu, para pelajar pengajian media, pelajar institusi pengajian tinggi, blogger hiburan dan pihak media turut menghadiri majlis berkenaan," ujarnya.
Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 akan menguar-uarkan kepada penggiat seni tanah air mengenai manfaat Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012.
Pindaan tersebut diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember tahun lalu dan diwartakan pada 9 Februari lepas.
Ia memperuntukkan undang-undang yang lebih menguntungkan artis merangkumi aspek kutipan royalti lebih telus, penguatkuasaan semula Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah serta jumlah bayaran minimum yang sepatutnya diterima penggiat seni.
Yusman memberitahu, empat artis daripada era berlainan iaitu Hail Amir, Ramlah Ram, Zamani Slam dan Adira akan mengadakan persembahan khas pada himpunan artis yang terbesar di tanah air itu.
Wakil-wakil persatuan artis termasuk Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez; Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dan Presiden Persatuan Rakaman Industri Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim juga dijangka hadir selain wakil Persatuan Artis Cina dan Persatuan Artis India.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: