Industri seni terutamanya perfileman tanah air, perlu melakukan transformasi dalam mengetengahkan bakat yang ada agar ia tidak terus lesu atau dihidupkan muka sama sepanjang masa.
Disaluti rasuah, kronisme hatta dicemari politik kotor sekali pun, mereka yang sering melabel diri sebagai pejuang seni atau anak seni perlu bersatu dalam mengangkat martabat industri ini ke tempat sewajarnya.
Fenomena 'syok sendiri' atau merasa 'diri aku hebat' dan perbuatan melobi sesetengah pihak hanya membunuh lebih ramai bakat yang ada untuk terus berkembang dan tidak mati hanya kerana kekangan pihak tertentu yang bersikap pentingkan diri sendiri.
Benar atau tidak, banyak terbukti ada di kalangan mereka berjaya mencipta nama, biarpun tanpa bakat. Semua isu ini dikongsi bersama lebih 400 penuntut dan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Selangor (Unisel), di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.
Perbahasan, perkongsian pengalaman dan sesi soal jawab yang dibuka kepada penuntut menjadikan program dilihat sebagai 'pembuka mata' semua yang hadir supaya mengenali dan memahami industri seni apabila tajuk: Ke Manakah Bakat Hendak Ku Bawa, dipilih fokus utama perbincangan.
Menampilkan Pengacara TV Alhijrah yang juga pakar motivasi, Amin Idris sebagai moderator, bersama barisan panel jemputan Khir Rahman (Pelakon, Pengarah, Penyanyi dan Penggiat Seni), Kamal Sabran (Pengiat Seni dan Penyelidik) dan Kamal Ariffin (Pensyarah Bebas) sesi dialog ini dilihat membantu penuntut membuka mata tentang perkara ini.
Ketahui bakat, elak kepentingan sendiri - Khir
Bagi penggiat seni seperti Khir Rahman, bakat kurniaan tidak ternilai. Bagaimanapun, bakat ini perlulah digunakan sebaik mungkin dan harus kena dengan situasi agar tidak berlakunya 'syok sendiri'.
Menurut Khir, segelintir individu tidak tahu apa itu bakat. Malah ada antara mereka mengakui mempunyai ‘bakat’ sebaliknya tidak.
“Kita ambil sahaja contoh di kalangan masyarakat sekeliling. Saya percaya ini berlaku kerana daripada pemerhatian dan pengalaman saya, ramai tidak tahu apa mereka ada. Misalnya, kita dikurniakan bakat untuk mengajar, tetapi tidak mempraktikkannya sebaliknya cuba menjadi seorang penyanyi. Sedangkan kita tidak ada bakat itu.
“Kemudiannya, kita mempunyai bakat berlakon, tetapi gara-gara tidak tahu bagaimana hendak mengetengahkannya kita pendam dan ‘menjadi’ orang lain pula. Begitu juga hari ini, bakat menyampaikan sesuatu perkara juga perlu ada supaya pendengar mendapat ilmu yang disampaikan,” katanya.
Khir menegaskan, golongan syok sendiri inilah yang menghalang industri seni daripada berkembang pesat. Lebih teruk, jika ia melibatkan kronisme dan politik kotor demi menaikkan nama seseorang yang dipilih. Sebagai mengambil contoh, pelakon tidak berbakat, diberi watak besar, padahal ia tidak menjamin keberkesanan filem atau drama.
"Inilah penyakit dalam industri. Orang betul-betul berbakat tidak diberi peluang, sedangkan yang tidak berbakat dengan mudahnya diberi peluang atas dasar kepentingan sendiri," katanya.
Khir berkata, bakat turut dipengaruhi paras rupa untuk seseorang itu mencipta nama dengan mudah dalam industri seni. Sudah menjadi lumrah manusia suka melihat sesuatu yang cantik. Namun bakat haruslah seiring.
“Memang benar, paras rupa menarik sering dijadikan sebab bagaimana segelintir individu itu boleh berjaya dalam kerjaya mereka. Misalnya, jika kita memilih pelakon untuk sesebuah filem. Kita lebih senang mencari pelakon cantik dan kacak bukan kerana bakat mereka.
“Ini membuatkan industri seni kekurangan pelakon berbakat. Mereka dipilih hanya kerana rupa mereka boleh dijual sahaja. Bagi saya apa yang ditampilkan dan bakat perlu berjalan sekali. Bukan bersandarkan rupa semata-mata,” katanya.
Khir turut mengulas persoalan mengenai bakat dan bayaran yang dikatakan tidak setimpal pada hari ini. Jelas Khir, ia bukanlah perkara baru dalam industri seni, bahkan di segenap bidang lain sekalipun.
"Kalau nak fikirkan soal gaji, semua orang ada cerita tersendiri. Tetapi yang penting, kita sendiri harus berikan yang terbaik dalam tugas yang diamanahkan terlebih dahulu. Sehingga sampai satu tahap nanti, apabila bakat kita itu sudah dipandang, kita pasti diberi penghargaan setimpal. Situasi seperti akan berlaku di mana-mana bidang saja," katanya yang menyarankan agar seluruh penggiat seni bersatu agar dapat mengatasi kemelut yang tiada kesudahan ini.
Berkongsi pengalamannya dalam bidang seni, Khir yang merupakan graduan perfileman daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), ini memberitahu nasibnya lebih baik kerana dilahirkan daripada keluarga berdarah seni.
Pengarah Dalam Botol ini berkata, sejak kecil lagi, dia didedahkan dengan dunia seni yang menarik minatnya menyertai bidang ini.
“Apabila menyedari bakat saya timbul sedikit demi sedikit tatkala berada di usia 16 tahun, saya tidak mensia-siakannya. Bahkan bakat saya dipandang pelbagai pihak sehingga membawa saya ke dunia lakonan dengan memegang watak utama pada usia 18 tahun. Sejak itu saya mendapat perhatian dan diberi peluang melakonkan pelbagai watak.
“Bagaimanapun, kerana perkembangan industri agak merosot sekitar 1997 dan 1998, saya kembali menyambung pelajaran dan kemudiannya menjinakkan diri dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, teater dan juga nyanyian. Saya yakin ini bakat saya kerana ada ‘orang’ di luar sana yang melihat dan membawa bakat ini pergi lebih jauh,” katanya.
Khir menegaskan, masyarakat khasnya, pelajar perlu berani mengete-ngahkan bakat yang ada dalam diri mereka tanpa ada rasa malu atau sangsi.
Bakat, ilmu seiring
- Kamal Ariffin
Bagi Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Unisel, Kamal Ariffin, walau sehebat mana bakat kita, ia perlu seiring ilmu pengetahuan.
Bahkan, tanpa ilmu kita tidak pasti bakat yang ada gunakan dengan betul kerana tidak mempunyai petunjuk dan hala tuju yang tepat. Bersandarkan pengalamannya, Kamal berkata, bakat tanpa ilmu juga perkara yang sia-sia.
“Ada kalanya kerana berfikir kita mempunyai bakat, kita merasa kita mampu melakukan banyak perkara. Kita menjadi sombong sedangkan tidak semestinya bakat kita dilihat orang lain.
“Saya sendiri pernah membawa diri ke London kerana merasa bakat saya berguna di sana. Sebaliknya, saya tidak sedar bahawa mereka di sana pula kagum dengan bakat yang ada dengan kita di sini. Kita cuba menjadi mereka, tetapi mereka cuba menjadi kita.
“Namun, masih banyak yang kita perlu pelajari. Pengetahuan sangat penting kerana ia digunakan setiap masa,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai bakat, jelasnya, apa yang penting tanggungjawab individu itu terhadap bakat mereka.
“Secara tidak langsung kita mempunyai banyak bakat termasuklah menyampaikan idea hebat.
"Tetapi kita tidak membawanya ke tengah kerana kurang rasa tanggungjawab. Seperti di negara lain, apa sahaja yang dirasakan menjadi ‘bakat’ dan boleh dijual mereka akan membawanya ke hadapan,” katanya.
Usah bergantung kepada dana - Kamal Sabran
Tidak banyak memberi ulasan, penggiat seni dan penyelidik, Kamal Sabran, punya cara tersendiri mengetengahkan karyanya. Menurut Kamal, industri seni banyak cabarannya dan dia tidak mengharapkan dana semata-mata. Sebaliknya, dia lebih selesa berdikari dan menggunakan wang sendiri.
“Inilah cara saya. Dan ia satu bakat yang baik memandangkan saya sentiasa berusaha menggunakan kreativiti sendiri membawa karya ke tengah.
“Saya tidak pernah mengharap pada dana. Walau pun negara kita mempunyai dana bagi penggiat seni, tetapi saya gemar memastikan hasil kerja saya menggunakan duit sendiri.
“Bergantung kepada skrip, saya membawanya untuk mengumpul krew-krew yang mahu bekerja dengan saya,” katanya.
Nilai bakat tidak terhingga - Amin Idris
Hampir dua jam perbahasan, banyak pengalaman dan ilmu dapat dikongsi. Meskipun masih ada persoalan tidak mampu dijawab, namun tidak bermakna sesi dialog ini gagal mencapai matlamat.
Bagi moderator program, Amin Idris, bakat, ilmu, usaha dan tuah perlu seiring. Mungkin ada memandang bakat lebih daripada paras rupa. Ada kalanya, biar pun bakat dikurniakan tidak sebagus mana, tetapi tuah dan nasib lebih menyebelahi mereka.
Menurut Amin, bakat dikurniakan harus dimanfaatkan dengan baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: