Monday, October 3, 2011

Tuah Cinta Muka Buku


NAJWA Latif nama baru dalam persada muzik tanah air yang semakin menyinar sejak kebelakangan ini.


SEMUANYA bermula secara suka-suka pada pertengahan tahun ini. Najwa Latif, remaja yang boleh bermain gitar dan mempunyai suara lemak merdu ini telah memuatkan lagu nyanyiannya berjudul Baby dalam laman Youtube.

Bagaimanapun, remaja berusia 16 tahun ini tidak menduga lagu popular penyanyi Justin Bieber yang dipersembahkannya di Youtube kira-kira tiga bulan lalu itu, telah mempopularkan namanya.

Lagu itu ditonton lebih 100,000 pengunjung di laman Youtube. Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya memuatkan lagu ciptaannya, Cinta Muka Buku dan tidak sampai dua bulan ia telah dilayari lebih 2 juta orang.

Justeru, pelajar berusia 16 tahun ini, kini semakin popular. Namanya bukan sahaja menjadi sebutan di seluruh dunia, tetapi juga semakin mekar dalam persada seni suara tanah air. Biarpun tanpa sebarang album dia sudah dikenali ramai.

Menurut Najwa atau nama penuhnya Imratul Najwa Abdul Latif, dia memang tidak menduga akan popular dalam sekelip mata.

Semua itu, katanya, gara-gara penangan Youtube yang telah menjulang bakat dan popularitinya itu.

Menjadi perhatian

"Saya sendiri tidak menduga lagu-lagu nyanyian saya di Youtube akan ditonton ramai pelayar Internet. Pada mulanya, ayah dan kakak saya (Iqhwatul Syafika) hanya memuatkan lagu itu secara suka-suka sahaja.

"Tujuannya supaya saya dapat memperbaiki cara nyanyian dan petikan gitar saya dalam lagu yang dimuatkan dalam Youtube itu. Tetapi saya tidak menyangka pula persembahan itu menjadi tumpuan ramai," ujarnya kepada Hits.

Najwa yang ditemui selepas mengadakan Konsert Kami Prihatin di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, persembahannya di Youtube itu bukan sahaja menjadi perhatian para peminat tetapi juga media massa.

Jelas pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor ini, ekoran publisiti itu semakin banyak pihak yang tertarik untuk mengenali dirinya secara lebih dekat lagi.

"Selepas lagu-lagu nyanyian saya disiarkan ramai blogger yang membuat ulasan. Antaranya Cik Epal yang membuat komen tentang lagu nyanyian saya yang berjudul Cinta Muka Buku di laman blognya baru-baru ini.

"Ia secara tidak langsung membantu mempopularkan lagi nama saya sehingga berjaya menjadi artis rakaman NAR Records," jelas anak ketiga daripada empat beradik ini yang menandatangani perjanjian baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: