STESEN televisyen TV9 nampaknya semakin sinonim dengan pelbagai program berunsur keagamaan. Menyedari kekuatan mereka terletak kepada program-program berunsur demikian, TV9 membuka tirai 2011 dengan memperkenalkan Raudhah iaitu penjenamaan baru yang merangkumi kesemua program-program keagamaan di saluran tersebut.
Raudhah, merangkumi lapan program ilmiah yang terdiri daripada Akademi Al-Quran 5 (AQ5) yang juga merupakan program utama dalam penjenamaan Raudhah. Ia diikuti dengan Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik dan Al-Quran.
Menurut Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, penjenamaan semula Raudhah diperkenalkan sebagai satu destinasi untuk kesemua penonton Muslim moden mencari isi kandungan rohaniah mereka sekali gus mempelbagaikan ilmu pengetahuan.
“Kami percaya ramai di luar sana yang mengharapkan program-program sebegini wujud dan kami berjanji akan memberi kualiti yang terbaik untuk penonton,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Raudhah di Sri Pentas baru-baru ini.
Sementara itu, program baru, Safiyya pula, ia memartabatkan wanita zaman moden yang menitikberatkan imej muslimah serta nilai-nilai keIslaman.
Kekuatan Akademi Al-Quran
AQ5 yang merupakan signature program bagi TV9 yang mendapat sambutan mengalakkan sehingga mencecah 1.5 juta penonton pada musim lalu telah membuatkan program ini muncul lagi dengan beberapa perubahan untuk musim kelima.
Pada musim terbaru ini, AQ5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzman yang merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan natarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang merupakan adik kepada Ustaz Zamri Zainuldin.
AQ5 akan menemui penonton pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam bermula esok.
AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut bakal menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini sejak musim pertama.
Sementara, Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasihah para peserta yang bakal membawa pulang habuan RM30,000, al-Quran yang bertatahkan emas bernilai RM35,000 sumbangan Yayasan Restu, pakej mengerjakan Umrah dan banyak lagi.
“Menariknya, musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit setiap Isnin hingga Jumaat di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tetang perkara seharian yang dilakukan para peserta secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan kita.
“Sementara di sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini yang akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat bermula pukul 6.30 petang, penonton juga dapat lihat gelagat serta aktiviti para peserta di dalam kelas-kelas agama,”jelas penerbitnya, Shukri Ibrahim.
Selain AQ5, TV9 akan meneruskan beberapa lagi program lama yang mendapat sambutan penonton, antaranya Halaqah yang akan disiarkan secara langsung pada setiap Selasa. Halaqah akan tampil lebih segar dan berdaya saing dengan perbincangan-perbincangan ilmiah serta hukum-hakam agama berdasarkan konsep persembahan melihat, mendengar dan merasa.
Kepada mereka yang mempunyai kemusykilan dalam pengisian Islam bolehlah kemukakan permasalahan mereka menerusi program Tanyalah Ustaz pada 7 pagi dan Tanyalah Ustazah yang mula disiarkan bermula hari ini pada pukul 11.30pagi.
Selain itu, turut dimuatkan ialah program Usrah yang diberi nafas baru.
Tidak dilupakan golongan kanak-kanak juga akan disajikan dengan sebuah program menarik iaitu Adik dan Al-Quran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: