WAKTU fajar menyinsing ibarat masa bergembira di sebuah bar yang dilihat bak dunia yang terbalik dekat daerah kewangan Filipina iaitu Manila.
Berbeza dengan pelanggan di bar lain, di situ pelanggan muda berkumpul dan berbicara dalam bahasa Inggeris yang pekat dengan loghat California.
Dunia mereka berbeza dengan kebanyakan orang lain kerana sewaktu penghuni kota Manila nyenyak tidur mereka perlu bekerja, manakala sewaktu orang lain bekerja mereka enak dibuai mimpi.
Minuman vodka dan bir menjadi hidangan tiga sahabat baik Cici, Pau dan Jels selepas mereka tamat tugas syif malam lain di negara yang mempunyai setengah juta tenaga kerja dalam perniagaan penyumberan luar itu.
Malah hidangan pembuka seleranya, udang dan mangga hijau yang direndam arak, mencerminkan gaya hidup penduduknya yang suka berparti.
"Saya biasa minum lapan botol Red Horse dalam satu masa tetapi masih mampu mencari jalan pulang," kata Cici, 28, mengenai minuman tempatan yang terkenal dengan kandungan alkohol tinggi dan sering digelar sebagai jus iblis.
Kumpulan wanita muda sering keluar bergembira pada hari Sabtu, mengunjungi bar, pantai atau pusat beli-belah sepanjang hari supaya mereka dapat bersosial dengan kawan-kawan di luar industri tersebut dan sekurang-kurangnya tidur pada satu malam seperti manusia normal.
Gaji berlipat kali ganda
Kehidupan adalah mengujakan dalam banyak cara bagi golongan muda, bujang dan berpendidikan dalam industri penyumberan luar di Filipina.
Pekerjaan yang menuntut mereka berkhidmat atau berkomunikasi dengan pelanggan syarikat di negara luar terutamanya di Barat memberi pendapatan AS$300 sebulan dengan jaminan tiga kali ganda kenaikan selepas beberapa tahun pengalaman. Ia upah yang bagus di negara yang mana satu pertiga penduduknya hidup dengan hanya AS$1 sehari.
Terdapat banyak peluang pekerjaan yang datang dengan faedah lumayan seperti gaji sehingga mencecah 13 dan 14 kali ganda sebulan, bonus persembahan dan insurans perubatan percuma.
Industri berkenaan telah mewujudkan jutaan pusat panggilan, perakaunan dan tugas pejabat lain dari negara maju telah menyumbang kepada sebahagian besar ekonomi negara berkenaan.
Sebanyak 500,000 pekerja Filipina kini menjadi tenaga kerja penyumberan luar terbesar di dunia selepas India.
Pendapatan negara hasil industri berkenaan telah mencecah lima peratus daripada produk domestik kasar dan berkembang dengan kadar digit berganda setiap tahun, menurut kumpulan industri Pertubuhan Pemprosesan Perniagaan Filipina.
Dalam peringkat mikro, ia turut menyumbang kepada keseluruhan industri perkhidmatan yang beroperasi 24 jam sehari tujuh hari seminggu seperti kedai serbaneka, bar dan restoran makanan segera. Kebanyakannya beroperasi di sekitar menara pejabat kakitangan penyumberan luar itu.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai cara industri berkenaan membentuk masyarakat muda termasuklah tekanan yang dihadapi ketika mereka membantu pelanggan dan klien di bahagian lain di dunia.
Waktu kerja pada waktu malam, klien yang cerewet, bebanan kerja dan kehendak persembahan sering membuatkan kakitangan terutamanya pekerja pusat panggilan hilang pertimbangan.
Cici, Pau dan Jels dalam temu bual dengan AFP tanpa mendedahkan nama penuh, pernah terbabit dengan kerja di pusat panggilan ketika ia mula diperkenalkan.
"Kadang-kadang kami perlu menguruskan 300 panggilan dalam satu-satu masa dan 150 yang lain sedang menunggu. Kamu tidak akan ada masa untuk berehat," kata Pau, 32, yang kini bekerja menguruskan pembelian kelengkapan pejabat untuk sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan gaji lebih tinggi.
Katanya, kakitangan pusat panggilan selalunya mempunyai hanya dua kali rehat selama 15 minit untuk merokok dan 30 minit waktu makan pada setiap syif lapan jam.
Cici memberitahu, satu daripada bahagian paling sukar bagi kerja pusat panggilan adalah berurusan dengan pelanggan yang marah dan mahu bercakap dengan seseorang dari negara lain.
"Seorang pelanggan berkata: 'Saya tidak mahu bercakap dengan anda. Saya mahu bercakap dengan orang Amerika'...Saya menangis," kata Cici.
Kadar hubungan seks tinggi
Walaupun pekerja industri berkenaan memperoleh pendapatan 53 peratus lebih tinggi berbanding pekerja dengan lingkungan umur sama dalam industri berbeza, satu pertiga daripadanya berhenti setiap tahun. Ia berdasarkan kajian Organisasi Pekerja Antarabangsa yang dikeluarkan bulan lalu.
|
|
Ketibaan industri penyumberan luar 10 tahun lalu turut membawa perubahan nilai, diet dan amalan seksual, kata seorang profesor dari Institut Populasi Filipina, Josefina Natividad.
"Apa yang mengejutkan kami adalah kadar hubungan seks sebelum perkahwinan amat tinggi bagi orang yang bekerja dalam sektor penyumberan luar sama ada di pusat panggilan atau bukan pusat panggilan," katanya yang akan menyiapkan kajian kesihatan dan gaya hidup ke atas golongan muda Filipina bersama pasukannya tahun ini.
Kuat minum dan merokok, membesarkan anak luar nikah dan pembelian banyak makanan ringan turut dikenal pasti sebagai antara gejala sosial dalam kalangan pekerja penyumberan luar.
"Dunia sudah berbeza kini dan setiap perkara dikatakan berpunca daripada perkembangan teknologi," katanya.
Kedua-dua Cici dan Pau mengatakan mereka mendengar kisah serupa di pusat panggilan tempat mereka pernah bekerja, di mana katil disediakan di tempat rehat untuk kakitangan yang keletihan.
"Tempat tidur dikongsi lelaki dan perempuan. Beberapa teman mengatakan sesuatu telah berlaku di sana," kata Cici.
Trend berkenaan dibimbangi mempunyai implikasi ke atas kesihatan awam, kata pegawai untuk program United Nations Joint untuk HIV/ AIDS, Teresita Maris Bagasao.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: