Abdul Kudus Ahmad
SHAH ALAM: Penantian tujuh tahun bekas pengarah penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad untuk membersihkan namanya daripada 24 tuduhan rasuah berjumlah RM59,000, berakhir apabila rayuannya bagi mengetepikan hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 diterima Mahkamah Tinggi di sini, semalam.Abdul Kudus yang ditemani peguamnya, M Manoharan dan Affifudin Hafifi, kelihatan sebak sebaik Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan melepas dan membebaskannya daripada semua tuduhan itu.
“Saya pernah menerima peluru yang dihantar ke rumah ibu bapa saya pada 2006 sehingga menyebabkan ibu saya, Kintan Hamzah, diserang sakit jantung dan meninggal dunia selepas dua minggu dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Selepas kematian ibu, saya rasa tiada apa yang bermakna. Saya juga sudah bercerai dan lima anak saya sudah terputus hubungan,” katanya kepada pemberita selepas penghakiman dibacakan.
Perbicaraan kes itu yang bermula 9 Ogos 2003, membabitkan 11 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan. Antara yang memberi keterangan ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Kayveas.
Pada 2003, Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) mendakwa Abdul Kudus membocorkan maklumat penguatkuasaan undang-undang dan menerima RM70,000 sebulan sebagai imbuhan. Kayveas turut mengemukakan kepada SPRM apa yang dikatakannya sebagai bukti terhadap perilaku Abdul Kudus, termasuk senarai nama 20 orang, kebanyakannya pengusaha pusat hiburan dan kedai cakera padat video (VCD) yang dikatakan memberi sogokan kepada pegawai kanan kerajaan itu.
Terdahulu, ketika membaca penghakiman lapan halamannya, Mohd Yazid berkata, mahkamah tidak dapat menerima keterangan pemilik restoran Steven Corner, S Sathiasilan @ Steven selepas mendapati saksi pendakwaan keempat (SP4) itu adalah rakan sejenayah tertuduh dan mempunyai peranan aktif dalam kes itu menyebabkan kredibilitinya sebagai saksi tidak boleh diterima.
“Setiap transaksi yang dikatakan mempunyai pembabitan tertuduh juga membabitkan SP4 dan cubaan SP4 untuk memberi wang rasuah kepada tertuduh, jelas menunjukkan bahawa SP4 mempunyai kepentingan, iaitu percubaannya untuk merasuah tertuduh adalah untuk melindungi restorannya daripada sering disaman dan diserbu pihak berkuasa tempatan (PBT) Ampang Jaya.
“SP4 bukanlah seorang mangsa tetapi seorang ‘active player’ dalam transaksi yang dikatakan membabitkan tertuduh.
“Adalah undang-undang mantap bahawa mahkamah hendaklah berhati-hati dalam menilai keterangan rakan sejenayah. Saya tidak dapat menerima SP4 sebagai saksi yang boleh dipercayai kerana SP4 mempunyai kepentingan dalam 24 transaksi yang dikatakan membabitkan tertuduh,” katanya.
Mohd Yazid berkata, keterangan saksi pendakwaan lain juga tidak menyokong keterangan SP4, selain pendakwaan gagal memanggil ibu kepada SP4 untuk mengesahkan keterangan Sathiasilan bahawa pada 25 Januari 2003 tertuduh menerima suapan bernilai RM12,000, iaitu wang yang dikumpul SP4 daripada ibunya (RM8,000) dan dari restorannya (RM4,000).
Mohd Yazid berkata, beliau mendapati tidak munasabah sekiranya tertuduh meminta dan menerima wang rasuah daripada SP4, restoran milik SP4 masih berterusan diserbu dan disaman MPAJ.
“Lebih-lebih lagi SP4 masih memberi bayaran perlindungan kepada tertuduh walaupun serbuan dan saman tidak dihentikan terhadap restorannya.
“Saya merumuskan bahawa sebenarnya SP4 adalah pihak yang memulakan percubaan untuk merasuah tertuduh sebagai pengarah penguat kuasa MPAJ dan bukan sebaliknya.
“Berdasarkan kepada alasan itu, saya mendapati hakim Mahkamah Sesyen gagal membuat penilaian yang maksimum di peringkat kes pendakwaan.
“Tertuduh tidak sepatutnya dipanggil membela diri. Rayuan tertuduh ini dibenarkan dan tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada 24 pertuduhan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: