Wednesday, September 1, 2010

Hidup Annahita sempurna



Setiap insan pasti mendambakan kehidupan yang sempurna. Apatah lagi mempunyai pasangan yang bukan sahaja bergelar teman, tetapi juga sanggup bersama susah dan senang.

Melangkah ke satu fasa yang lain merupakan detik yang tidak mungkin dilupakan. Apatah lagi dengan kehadiran bergelar suami di sisi yang menjadi pelengkap kehidupannya.

Detik bahagia itu, kini dilalui pemilik nama Annahita Bakavoli yang telah disatukan dengan suami tercinta, Datuk Saiful Baha pada Julai tahun lalu.

Annahita yang mesra di sapa Anna mengakui kehidupannya kini telah berubah secara total dan dia begitu teruja untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan bersama-sama suami tercinta dan meraikan Aidilfitri yang bakal menjelma.

“Ramadan pada kali ini memang berbeza dan kehidupan Anna kini sudah banyak berubah. Malah sudah pasti tanggungjawab makin bertambah, tapi Anna tidak kisah dengan keadaan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Malah, Anna mengakui kerana kesibukan dengan tugasnya sebagai pengacara, dia tidak mempunyai banyak masa untuk memasak juadah berbuka puasa bersama.

“Apabila Anna ada masa Anna pasti akan memasak juadah berbuka puasa dan suami Anna memang gemarkan ikan keli. Nasib baik dia tidak cerewet mengenai makanan,” katanya.

Tambah model dan pelakon berusia 28 tahun ini, beliau mengakui jarang bersahur dan jika tersedar dari tidur mereka hanya meminum air sahaja untuk mengalas perut.

Apabila ditanya mengenai kelainan sambutan Aidilfitri kali ini, Anna berkata, dia sangat teruja kerana bakal beraya bersama dua keluarga dan situasi ini adalah sesuatu yang baru baginya.

Katanya, dia lebih senang menyambut lebaran kali ini dengan sederhana tanpa persiapan berlebihan agar tidak membazir.

“Pasti sambutan Aidilfitri kali ini berbeza dengan tahun-tahun lalu kerana pada tahun ini saya mempunyai keluarga yang lebih besar dan pastinya suasana lebih meriah,” katanya.

“Tahun ini Anna sudah menyediakan tiga pasang baju kurung berwarna kuning, biru dan putih untuk dipakai pada lebaran nanti,” katanya yang akan menyambut raya di Pulau Pinang.

Ketika ditanya mengenai juadah dan kuih kegemaran pada pagi raya, Anna berkata, kuih Almond London, lemang dan ketupat menjadi menu wajib yang perlu ada di meja makan setiap kali hari raya.



====Aktif sebagai pengacara



Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangannya sebagai anak seni, Anna berkata dia kini aktif di dalam bidang pengacaraan dan mengakui mula jatuh cinta dengan bidang tersebut.

“Bukan tiada tawaran berlakon tetapi buat masa ini biarlah Anna fokus untuk dunia pengacaraan dulu,” katanya.

Akui Anna dia bukan tidak mahu berlakon tetapi bidang lakonan memerlukan komitmen yang sangat besar.

Tambah Anna lagi, dia kini sibuk menjalani penggambaran untuk mengacarakan program bertajuk Kes, di mana dia akan mengacarakan program tersebut bersama empat lagi selebriti seperti Zakiah Anas yang dijangka bakal ditayangkan pertengahan September ini.

“Saya juga baru saja menamatkan penggambaran sebuah rancangan TV mengenai kisah-kisah kejayaan individu di Malaysia pada Khamis lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: