TAMAN TUALANG INDAH - Penduduk di taman perumahan ini meminta pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula sistem jalan utama untuk memasuki ke taman perumahan ini kerana dikatakan tidak bersesuaian serta mendatangkan bahaya kepada 2000 penduduk taman ini.
Penduduk mengeluh kerana mereka sukar untuk masuk ke taman perumahan ini dari arah Mentakab kerana tiada arah atau jalan masuk ke taman perumahan ini.
Tinjauan Sinar Harian ke kawasan ini mendapati penduduk yang datang dari arah Temerloh boleh memasuki taman perumahan ini sebaliknya penduduk dari arah Mentakab tidak boleh memasuki taman ini kerana tiada jalan untuk mereka masuk.
Namun, penduduk ‘terpaksa’ melanggar undang-undang jalan raya untuk masuk ke taman perumahan mereka disebabkan sistem yang dibuat oleh JKR tidak betul dan menyusahkan penduduk.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Mohd Sabri Aziz berkata, penduduk yang mahu keluar ke arah Temerloh terpaksa memusing ke arah lampu isyarat yang terletak tiga kilometer (KM) dan rata-rata penduduk tidak mengikutinya kerana menyusahkan mereka serta melambatkan perjalanan.
Menurutnya, dia minta pihak MPT dan JKR mengubah sistem arah keluar masuk ke taman ini kerana penduduk di sini tidak boleh membelok ke kanan untuk menuju ke bandar Temerloh.
“Penduduk tidak akan mengikuti arah ke lampu isyarat itu kerana menyusahkan dan melambatkan. Sistem yang dibuat oleh JKR ini mendatangkan kemarahan penduduk. Jalan ini merupakan pintasan dan sudah semestinya ia sibuk dengan kenderaan setiap hari.
“Kami di sini minta pihak MPT bersama JKR membaiki semula benteng yang dibina supaya penduduk dapat keluar ke Mentakab, Temerloh dan ada jalan masuk ke taman perumahan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketua UMNO Cawangan, Ramli Yusof berkata, selain itu, pengguna jalan raya yang mengisi minyak di Stesen Petronas di sini juga tidak boleh membelok ke kanan menghala ke Temerloh sebaliknya perlu memusing ke lampu isyarat yang sama untuk ke bandar Temerloh.
Menurutnya, pengguna tidak akan memusing ke lampu isyarat itu sebaliknya terus membelok ke kanan walaupun terpaksa melanggar undang-undang jalan raya.
“Dalam hal ini, ramai pengguna telah disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya. Ini bukanlah salah pengguna tapi sistem jalan yang tidak bersistematik dan membahayakan pengguna.
“Perkara ini tidak akan berlaku jika JKR membuat sistem keluar masuk yang selamat kepada orang ramai,” katanya.
Penduduk, Bariah Mat Ali, 52, berkata, untuk ke bandar Temerloh penduduk perlu memusing ke arah lampu isyarat dan terpaksa menunggu lama untuk ke bandar Temerloh.
Menurutnya, keadaan ini menyebabkan penduduk kesal dan mengeluh dengan sistem tersebut kerana melambatkan penduduk yang mahu keluar mencari rezeki di pagi hari serta menghantar anak-anak ke sekolah.
“Kami minta sangat pihak MPT dan JKR memantau da mengubah semula sistem jalan di sini yang langsung tidak bersistematik. Kami harap masalah ini dipandang serius oleh pihak berkenaan supaya memberikan kemudahan serta keselamatan kepada penduduk di sini,” katanya.
Penduduk, Mat Isa Dak, 38, berkata, penduduk hanya mahukan satu sistem jalan raya yang selamat untuk keluar masuk kerana melihat pada keadaan sekarang mendatangkan bahaya kepada kami.
Menurutnya, jika keadaan itu berterusan sudah pasti kemalangan maut boleh berlaku kerana jalan pintasan ini banyak dilalui oleh kenderaan berat seperti lori balak, kontena dan bas ekspres.
“Pemandu memandu laju di jalan ini kerana ia juga merupakan jalan lama menghala ke Kuala Lumpur dan masih ramai yang melalui jalan ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zamri Mat Isa, 38, berkata, taman perumahan ini terletak dalam kawasan perindustrian dan kenderaan banyak di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: