Friday, April 2, 2010

Johor Baru Bersedia Menyambut Wali

BANDARAYA Johor Baru telah bersedia menyambut limpahan pengunjung dan peminat seni muzik dengan sebuah konsert oleh kumpulan terhebat dari seberang, Wali Band, akan merancakkan Johor Baru di dalam konsert Cari Jodoh, pada Sabtu, 3 April ini.

Tinjauan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus atau lebih dikenali sebagai Stadium Larkin mendapati kerja-kerja pemasangan untuk pentas konsert sudah hampir 95 peratus siap dan akan lengkap sepenuhnya menjelang Jumaat. Ini kerana sesi latihan oleh Wali Band akan dijalankan pada Jumaat malam di lokasi yang sama.

“Sistem pencahayaan juga bunyi untuk konsert Cari Jodoh…Wali Band, ini adalah antara yang terbaik untuk sebuah konsert yang dianjurkan di selatan tanahair,” jelas Azman Muin, koordinator acara dan teknikal bagi konsert berkenaan.

Kehangatan konsert ini amat dirasai kerana sehingga Jumaat tengahari, sudah hampir 70 peratus tiket-tiket berharga RM 35, RM 55 dan RM 85 telah habis dijual teruatamanya di kaunter tiket yang terletak di Stadium Larkin sendiri.

Menurut Ketua Pengarah Operasi Special Appearance Sdn Bhd, Azman Miskon: “Dengan jualan tiket yang cukup memberangsangkan, ianya merupakan satu respon yang penduduk di sekitar Johor Bahru dan Singapura dapat menerima band baru seperti Wali yang cukup popular dengan lagu, Cari Jodoh itu.

“Pemilihan Wali Band ini antara lainnya kerana mesej positif yang disampaikan dalam lagu-lagu dendangan mereka. Mereka bukan sahaja dikenali dengan lagu-lagu cinta, tetapi juga lagu-lagu berunsur ketuhanan seperti Taubat Maksiat, Kekasih Halal, Mari Shalawat dan banyak lagi. Selain dari itu, saya juga tidak dapat menafikan yang populariti mereka, antara kriteria pemilihan Wali Band untuk beraksi di Johor Bahru,” tambah Azman lagi.

Dalam pada itu, konsert Cari Jodoh di Johor Baru pada Sabtu ini juga akan menampilkan Haiza dan Lan Kristal untuk membuat persembahan pembukaan. Ini merupakan satu peluang terbaik untuk artis tempatan berkongsi pentas dalam menghiburkan penonton.

Menurut penganjur, konsert Cari Jodoh ini akan mengambil masa sekitar tiga jam persembahan di mana Wali Band akan mendendangkan 12 lagu popular dari album mereka bagi memastikan kepuasan kepada mereka yang hadir pada malam itu.

Tiket-tiket berharga RM 35, RM 55 dan RM 85 masih boleh didapati di kaunter tiket di Stadium Larkin pada hari konsert iaitu Sabtu, 3hb April atau hubungi 013 – 720 7007 juga 012 – 231 9924.

Dapatkan peluang untuk menyaksikan Wali Band di dalam konsert Cari Jodoh, hanya yang terbaik dan terhebat di Stadium Larkin, Johor Baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: