Saturday, April 3, 2010

Hero moden androgini




DIA merupakan antara bintang popular Korea yang bertuah. Dikesan oleh ejen pencarian model pada usia 19 tahun, Kang Dong Won tidak menyertai dunia hiburan atas keinginannya. Namun, selepas tujuh tahun bergelar pelakon, dia mula menyukai kariernya.

Merupakan pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal di Universiti Hanyang, drama Majestic Lady dan 1% of Anything telah membantu melonjakkan namanya sebelum ditawarkan untuk filem pertamanya, Too Beautiful To Lie (2004).

Namun, aktor kacak berusia 29 tahun itu hanya mula menjadi salah seorang pelakon kelas-A di Korea selepas filem Temptation of the Wolves (2004). Dia terus mengejut audiens dengan peranannya dalam filem seperti Voice of a Murderer dan Maundy Thursday.

Berbekalkan wajah serta penampilan androgini, dia popular di Asia terutama Jepun. Mengukuhkan lagi kredibilitinya, Dong Won memberikan lakonan hebat dalam filem arahan Lee Myung Sae, M pada tahun 2007.

Terbaru, dia menjayakan watak sebagai hero moden, Jeon Woo Chi dalam filem The Tao Fighter: Woochi yang sudah ditayangkan di pawagam tempatan bermula 25 Mac lalu.

Filem yang menggunakan kisah tradisional Korea berusia 500 tahun itu bagaimanapun sarat dengan elemen fantasi dan dikupas secara moden. Bagi mendalami filem itu serta mengikuti sedikit perkembangan Dong Won, ikuti petikan temu bual di bawah yang disediakan oleh RAM Entertainment.

Ceritakan sedikit mengenai watak anda sebagai hero, Jeon Woo Chi.

Dong Won: Woo Chi merupakan hero yang mempunyai bakat dalam magis Tao tetapi dia lebih berminat terhadap wanita serta hiburan daripada mempraktikkan magis. Dia juga seorang yang suka bermain dan bersaing. Secara ringkasnya, dia bukan hero jenis tradisional. Disebabkan Woochi merupakan watak utama, dia perlu menjadi seorang yang menarik. Jadi, saya juga cuba menjadikan dia seorang yang comel selain unik.


WAJAH manis membawa tuah kepada Dong Won dalam bidang lakonan serta pengiklanan.


Ceritakan tentang persediaan yang dilakukan untuk watak itu?

Filem ini penuh dengan aksi. Jadi sebagai persediaan, saya telah berlatih selama tiga bulan sebelum penggambaran. Selain bantuan pengarah seni mempertahankan diri, saya juga bermain bola sepak setiap hari sambil berlatih dengan kayu bagi menambahkan kekuatan fizikal dan otot. Saya juga perlu kelihatan natural apabila diikat dengan wayar. Nasib baik saya sudah biasa bersukan.

Pengalaman bekerja dengan pengarah, Choi Dong Hoon?

Dia suka memberikan arahan dengan fokuskan kepada dialog dan cerita. Sesetengah pengarah menekankan luahan perasaan serta imej watak tetapi Dong Hoon pula mementingkan nada dialog dan konsisten cerita. Ada kalanya, Dong Hoon berlakon sendiri untuk memudahkan dia memberikan penjelasan. Terbuka dan agresif, dia selalu mencipta atmosfera terbaik untuk pelakon dan krew.

Apa yang menarik perhatian anda untuk menerima watak itu dan bagaimana watak itu berbeza dengan lakonan anda sebelum ini?

Memang sudah lama saya mahu berlakon dalam filem yang menghiburkan. Maka, saya terus bersetuju selepas menerima skripnya. Sebelum The Tao Fighter: Woochi, saya selalu terlibat dalam filem sisi gelap yang menekankan pelbagai emosi. Woochi pula membolehkan saya mencuba ledakan emosi berlainan kerana dia seorang hero nakal.

Bagaimana pula dengan kerjasama dengan Lim Soo-jung dan Kim Yoon-suk?

Yoon-suk seorang yang berkarisma. Apabila anda berlakon dengannya, matanya akan memberitahu anda apa yang perlu dilakukan. Dia selalu yakin dengan apa yang dilakukan. Soo-jung pula memberikan naif tetapi dia seorang yang versatil. Dia boleh menjayakan apa sahaja watak yang diberikan. Saya kini faham mengapa ramai pengarah ingin bekerja dengannya.

Babak dalam filem yang menarik atau insiden yang berlaku semasa penggambaran?

Babak yang paling mengujakan adalah semasa menghasilkan ramai Woochi. Kami telah menjalankan penggambaran selama 11 jam hanya untuk babak itu dan ia amat memenatkan.


WATAK Jeon Woo Chi dipilih Dong Won kerana elemen fantasi dan moden.


Saya mempunyai ketinggian 186 sentimeter dan ketika itu berat saya hanya 66 kilogram. Saya juga tidak boleh melupakan babak melompat dari muzium apabila dikejar oleh penjahat. Perasaannya seperti melompat daripada bangunan enam tingkat. Saya telah melompat sebanyak 20 kali sebelum pengarah berpuas hati.

Adakah anda melakukan semua aksi sendiri?

Ya. Cuma satu babak semasa Woochi menipu Maharaja. Dalam babak itu, Woochi terbang turun dari syurga dengan awan. Disebabkan ketinggian awan dan terdapat elemen bahaya, mereka menggunakan pelakon lagak ngeri.

Korea boleh dikatakan sarat dengan ramai pelakon baru. Apakah rahsia anda untuk kekal berjaya dalam industri?

Bekerja keras dan berusaha. Berlakon adalah kerjaya saya dan saya gembira dengan kerjaya saya walaupun ada kalanya ia agak sukar. Tidak ada sebarang rahsia tetapi saya sering cuba untuk mengembangkan diri.

Merujuk kepada senarai filem yang dijayakan oleh anda, watak apa yang ingin anda jayakan tetapi belum mempunyai peluang untuk melakukannya?


DONG WON popular di Asia terutama Jepun.


Selalunya semasa saya memilih sesuatu projek, saya tidak kisah dengan wataknya. Apa yang penting bagi saya adalah skripnya. Namun, apabila usia saya meningkat nanti, saya berharap untuk menjayakan watak yang boleh mencerminkan diri saya.

Ceritakan sedikit mengenai projek anda pada masa akan datang.

Saya baru sahaja habiskan penggambaran Love For Sale bersama Song Hye-Kyo yang diarahkan oleh Jang Joon Whan. Projek seterusnya ialah filem berjudul, The Superhuman yang penuh dengan aksi thriller. Produksinya akan bermula pada bulan Mei nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: