|
|
SELEPAS hebat dilanda kontroversi berikutan penarikan dirinya menerusi teater muzikal Natrah yang dipentaskan di Istana Budaya penghujung tahun lalu namanya seperti dilupakan seketika.
Ramai yang bertanya ke mana menghilang si jelita, Diana Danielle Danny Beeson.
Sebetulnya, dia kini sibuk memberi tumpuan pada pelajaran.
Pada masa yang sama, Diana tidak surut menerima pelbagai tawaran lakonan dan juru cakap produk kecantikan.
Namun disebabkan terpaksa menghadiri kelas empat hari seminggu antara pukul 10 pagi hingga 4 petang, Diana enggan menerima terlalu banyak tawaran.
Semua itu diputuskan Diana kerana bimbang dia bakal menyusahkan orang lain kerana tidak mampu memberi komitmen penuh dari segi jadual.
Katanya, jadual kelas menerusi pengajian biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, Selangor pada setiap Isnin dan Selasa adakalanya menginjak hingga ke pukul 6 petang.
Manakala, jadual kelas yang tidak menantu pada setiap Rabu hingga Sabtu memaksa dia menolak pelbagai tawaran demi memastikan tidak menghadapi masalah.
Ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai jurucakap produk kecantikan Nano White di pusat membeli belah Lot 10, Kuala Lumpur baru-baru ini, Diana mengakui, sepanjang tempoh pengajian dia terpaksa memilih tawaran yang benar-benar kena pada dengan masanya.
Menurut gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu lagi, mulai 1 April dia bakal menjalani latihan lakonan bagi watak Nina dalam filem Hanyut arahan sutradara terkenal U-Wei Shaari yang dijangka memulakan pengambaran pada 28 April ini di dua lokasi di Pahang, iaitu Pekan dan Kuala Lipis.
Hanyut merupakan filem yang diadaptasi daripada novel sulung Joseph Conrad, Almayer Folly yang turut dijayakan oleh Sofea Jane, Chris Vance, Adi Putra, Khalid Salleh, Alex Komang dan Bront Palare.
Tiga filem lakonan Diana yang bakal ditayangkan pada tahun ini ialah Magika (September), Kecoh Betul (Jun) dan … Dalam Botol pada Julai ini.
Tidak banyak terikat dengan aktiviti seni menyebabkan Diana kini mempunyai masa untuk menjalani kehidupan harian seperti mana remaja lain seusianya.
"Filem akhir yang saya lakonkan ialah filem …Dalam Botol, itupun sekitar Disember tahun lalu. Selepas itu boleh dikatakan saya tidak terikat dengan mana-mana aktiviti lakonan.
"Biarpun dalam tempoh seminggu saya banyak menghabiskan masa dengan pelajaran dan menjayakan sesi fotografi, namun saya masih ada masa untuk keluar dan bersiar-siar.
"Bagaimanapun, syarat yang perlu saya patuhi ialah harus pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam," katanya.
Selain kerjaya lakonan, Diana kini cuba menyesuaikan diri dalam cabang nyanyian dan kini single duetnya bersama penyanyi terkenal, Mawi iaitu Penyembuh Rindu mendapat sambutan di kalangan peminat.
Apa yang pasti, jelas Diana, dia kini sedang dalam proses menyiapkan beberapa single terbaru termasuk sebuah lagu ciptaannya sendiri yang disusun muzik oleh komposer Omar K.
"Saya akan rakam dua single tidak lama lagi salah satunya merupakan ciptaan saya sendiri bagaimanapun, setakat ini, saya belum merancang untuk mengeluarkan album," kata Diana.
Tambah Diana, kini pihaknya sedang berurusan dengan sebuah syarikat rakaman dari Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, katanya, ia masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana masih di peringkat perbincangan.
"Mereka (syarikat rakaman dari Amerika Syarikat) bertanya kepada pihak saya pada Disember tahun lalu bagaimanapun kini masih dalam peringkat perbincangan.
"Kita tunggu sahaja nanti sama ada jadi atau tidak kerana segalanya ditentukan oleh Allah," katanya.
Jurucakap Nano White
Berbalik kepada perlantikannya sebagai jurucakap produk kecantikan Nano White, Diana diikat selama setahun oleh syarikat Tohtonku.
"Saya ditawarkan sebagai jurucakap sejak Disember tahun lalu. Bagaimanapun, saya telah sebulan mencuba sendiri produk ini dan apa yang menarik dalam tempoh dua minggu sahaja sudah dapat melihat perubahan kulit yang semakin cerah.
"Usia semakin meningkat dan kalau boleh mencecah usia 25 tahun saya tidak mahu ada garis-garis yang menunjukkan tanda-tanda penuaan di wajah terutamanya di kawasan mata.
"Bukan sahaja produk ini sangat selamat ia juga halal digunakan," kata Diana yang begitu menyukai krim pencuci serta pelembab wajah.
Kata Diana, setelah menyertai kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak lama dahulu kulitnya menjadi kusam dan sedikit gelap.
Bagaimanapun, setelah menggunakan produk tersebut dalam tempoh sebulan, segala masalah pada wajahnya kini kembali pulih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: