PETALING JAYA: Penyanyi yang pernah mencetuskan kontroversi, Faizal Tahir menolak dakwaan beberapa pihak berhubung dirinya tidak layak ke Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun ini ekoran album keduanya baru dilancarkan dua minggu lalu.
Faizal menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas kerana album berjudul Adrenalin itu telah pun dilancarkan secara digital pada Disember tahun lalu.
"Mungkin orang yang mendakwa itu tidak tahu mengenai fakta bahawa album Adrenalin telah pun dilancarakan pada Disember tahun lalu sebelum tarikh tutup penyertaan AIM.
"Saya tidak salahkan orang yang membuat tuduhan itu, mungkin beliau tidak membuat homework dulu sebelum menulis sesuatu," katanya sinis selepas sidang media Minggu Setiausaha anjuran Persada Johor di sini hari ini.
Faizal memberitahu, orang boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahukan kerana keputusan yang dibuat adalah melalui juri profesional.
"Sesiapa sahaja boleh buat kenyataan, dan bukan saya yang mencalonkan diri saya sendiri. Semua itu adalah keputusan juri dan sudah tentu saya gembira dengan pencalonan yang saya perolehi," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ketika album tersebut dilancarkan tidak ramai yang menyedari akan kehadiran album tersebut secara digital.
"Ketika itu saya sedang sakit dan sebolehnya saya tidak mahu lancarkan hanya tujuh buah lagu untuk peminat. Atas dasar itu saya lancarkan secara digital terlebih dahulu kerana tidak mahu peminat tunggu lama.
"Selepas kembali sihat saya rakam dua buah lagu lagi dan barulah saya lancarkan album tersebut dalam bentuk cakera padat," ujarnya.
Tidak mahu memikirkan perkara temeh yang melanda dirinya, beliau berkongsi kegembiraan apabila memberitahu album terbarunya mencatatkan jualan 5,000 unit dalam masa dua minggu dilancarkan.
"Itu adalah satu perkembangan yang sangat baik. Saya bersyukur apabila peminat menyukai album tersebut," katanya.
Bercerita lanjut, Faizal memberitahu, tahun ini akan menjadi tahun paling sibuk buat dirinya dengan pelbagai perancangan khas buat peminatnya.
"Buat masa ini pihak pengurusan dan syarikat rakaman merancang untuk mengadakan road tour bagi mempromosi album baru saya.
Saya juga merancang untuk mengadakan konsert solo dan merakamkan album ketiga selepas Adrenalin. Doakan semua perancangan saya berjaya," ujarnya penuh optimis.
Sementara itu, buat pertama kali Faizal dipilih oleh pihak pengurusan Persada Johor untuk mengadakan persembahan solo bagi menjayakan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru pada 21 April depan.
"Sebelum ini saya sering mendapat undangan sebagai artis jemputan, tetapi kali ini saya dapat membuat secara solo dan ini satu penghargaan buat saya," katanya yang akan membuat persembahan selama 45 minit pada hari itu.
Menurutnya, beliau tidak menetapkan konsep kepada persembahannya tetapi mengesahkan akan menggunakan khidmat live band untuk mengiringinya dalam sembilan buah lagu yang bakal dinyanyikan.
"Saya harap dengan adanya live band itu nanti dapat memberikan kepuasan kepada penonton yang hadir," katanya.
Ditanya adakah beliau akan ditemani oleh artis undangan pada majlis itu nanti, Faizal dengan bersahaja menjawab, "peminat yang hadir akan menjadi artis undangan saya," ujarnya bersahaja.
Harga meja ditawarkan untuk menyaksikan Minggu Setiausaha bersama Faizal Tahir adalah RM10,000, RM7,000, RM5,000 dan RM3,500.
Tiket individu turut dijual pada harga RM350. Tempahan boleh dibuat di talian 07-2199907/07-2677809.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: