Saturday, April 3, 2010

Cinta Cimpanzi Di Zoo Negara

(Dari kiri) Tina dan pasangannya Black kelihatan bersamap-sama di Zoo Negara baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Sebagai makhluk Tuhan yang diciptakan berpasang-pasangan, Black nampaknya sudah menemui jodohnya dengan pendatang baru, Tina, yang baru diketemukan minggu lepas.

Kini Zoo Negara berharap Raja, bapa Black, akan turut mempunyai pasangannya tidak lama lagi.

Black dan Raja adalah antara empat ekor cimpanzi yang dipilih untuk program pembiakan zoo itu dengan bantuan kepakaran Hamilton Zoo di New Zealand dan organisasi sosial, Way Out Experiences (WOX).

Pengarah Zoo Negara Dr Mohamad Ngah berharap akan menjadi titik permulaan kepada pertambahan generasi baru cimpanzi di sana setelah sekian lama sunyi daripada tangisan anak cimpanzi.

"Sekiranya program ini berjaya, ia merupakan asas kepada keberkesanan pembiakan haiwan yang menjadi tunggak utama peranan pemuliharaan yang dilaksanakan oleh Zoo Negara," katanya pada satu sidang akhbar hari ini.

Para pemberita turut melawat Pusat Mawas di zoo itu untuk melihat keempat-empat cimpanzi itu termasuk Tina, seekor cimpanzi betina berusia tujuh tahun yang berasal dari Zoo Taiping dan Night Safari.

Tina bermesra dengan Black.

"Kami harap pembiakan antara Black dan Tina boleh berlaku dengan cepat untuk memberi galakan kepada Raja dan Cumbi untuk sama-sama melahirkan anak," kata Ishak Bakar, penyelia Pusat Mawas.

Rancangan pembiakan itu sesuatu yang mencabar untuk Zoo Negara kerana program untuk menyatukan satu pasukan cimpanzi perlu dilaksanakan bagi menguji keserasian antara haiwan itu.

"Memahami cimpanzi adalah sangat kompleks tetapi ia amat menguntungkan. Ada kalangan haiwan itu sangat dominan dan ada pula yang berasa rendah diri. Beberapa hari pertama biasanya haiwan ini akan mengenali personaliti dan sifat masing-masing," Ketua Seksyen Cimpanzi Hamilton Zoo Catherine Nichols.

Mereka berharap Cumbi yang berumur 18 tahun akan membiak dengan Raja yang lima tahun lebih tua daripadanya.

Zoo Negara mempunyai tiga lagi ekor cimpanzi jantan yang berumur antara 21 hingga 45 dan mereka telah diasingkan supaya tidak berlaku pergaduhan dengan kumpulan untuk program pembiakan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: