Saturday, April 3, 2010

Beradu kekuatan lembu


LEMBU akan berlaga sehingga salah seekor daripadanya mengaku kalah dengan berundur.


APABILA dua ekor lembu memasuki gelanggang perlawanan, ia mewujudkan senario yang mendebarkan kepada penonton. Kedua-dua ekor lembu itu akan beradu kekuatan apabila saling berlaga kepala tanpa kelibat matador di gelanggang tersebut.

Jika di Sepanyol aksi perlawanan seperti itu bukan asing lagi, namun tradisi yang sama juga wujud di Korea sejak berkurun lamanya.

Malah, sehingga kini ia masih mampu dan mendapat perhatian masyarakat.

"Berbanding versi Sepanyol yang mempunyai matador, perlawanan di sini hanya melibatkan antara lembu dengan lembu. Jadi pemenang tidak akan diketahui sehingga perlawanan tamat.

"Lagipun ia merupakan satu sukan yang adil dan bersih. Pertandingan tersebut antara gaya hidup masyarakat Korea seperti yang saya lakukan ketika muda dulu," kata Datuk Bandar Cheongdo, Lee Joong-Geun kepada AFP pada majlis festival tahunan laga lembu tersebut.

Acara yang diadakan setiap bulan Mac itu adalah sebagai simbolik sebelum musim pertanian bermula. Setiap pemilik lembu akan menyertai acara itu yang diadakan di bandar Chengdo, 265 kilometer di tenggara Seoul.

Pada tahun ini, sebanyak 132 lembu daripada enam kelas yang berbeza berjaya ke peringkat suku akhir dan dijangka 10,000 penonton bakal membanjiri arena laga lembu.

"Saya datang jauh dari Daegu dan begitu teruja, malah anak saya berlatih setiap hujung minggu," kata Elizabeth Kim, 33, rakyat Amerika yang berkahwin dengan lelaki Korea.

Bagi memulakan perlawanan, pemilik lembu membawa haiwan itu masuk ke tengah-tengah gelanggang. Dalam majlis itu, pemilik-pemilik haiwan tersebut akan memakai pakaian tradisional Korea yang berwarna biru dan merah.

Setelah itu, pengadil akan membunyikan wisel mereka menandakan isyarat perlawanan itu bermula. Pemilik-pemilik lembu akan menarik binatang seberat tiga perempat tan menggunakan tali yang diikat pada hidung binatang itu.

Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, tanduk binatang tersebut akan diikat dan ditutup. Sebagai tambahan tiada had atau tempoh waktu perlawanan dikenakan dalam pertandingan itu.

"Keseronokan akan diperoleh apabila anda memfokuskan kepada taktik, tenaga dan kelajuan lembu tersebut dan bukannya pada kecederaan yang dialami haiwan itu," kata sukarelawan festival tahunan lawan lembu berkenaan, Chong Kyung Hee, 40.

Bagi mengetahui sama ada perlawanan itu tamat, biasanya lembu yang tewas akan berundur ke belakang dan menarik tanduknya. Pemenang akan menikmati kemenangan di dalam arena manakala yang tewas akan berjalan keluar dari gelanggang tersebut.

Kelebihan lembu berkaki pendek

Dalam perlawanan tersebut, setiap lembu akan diklasifikasikan kepada enam jenis kategori bermula daripada 821 kilogram sehingga 600 kilogram.

Haebyoung, lembu yang berada dalam kelas U1 dengan keberatan melebihi 660 kilogram adalah antara lembu yang menjadi pilihan untuk menang.


SUKAN laga lembu sudah menjadi tradisi sejak berkurun lamanya di Korea.


Ini berdasarkan kekuatan dan kelincahan yang ditunjukkan Haebyoung semasa menumbangkan seekor lembu lain bernama Papilion.

"Apabila melihat lawan yang lebih besar, sukar untuk menjangka yang Haebyoung akan menang atau tidak. Ini kerana usianya baru mencecah empat tahun. Tetapi saya gembira dia mampu mengharungi perlawanan itu dengan jayanya," kata pemiliknya, Ha Suk-Goo, 56.

Pertandingan yang berlangsung selama lima hari itu, menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak 6 juta Won (RM17,297) kepada pemenang dan 5 juta Won (RM14,414) kepada pemenang kedua.

Dalam sukan laga lembu itu, sukar untuk menentukan secara khusus lembu yang dijangka akan menang.

Namun, bagi yang berpengalaman menurut mereka, lembu yang muda dengan ciri-ciri fizikal seperti berkaki pendek, leher yang tebal dan bermata kecil mempunyai potensi untuk bergelar juara.

Kebanyakkan pemilik lembu akan melatih dan memberikan makanan yang sesuai untuk membina stamina haiwan tersebut.

Kebiasaannya, untuk pertandingan seperti itu seekor lembu akan hanya mencapai kemuncak kegemilangannya pada usia enam atau tujuh tahun.

Bagi lembu yang terlalu tua dan tidak mampu lagi bertanding, ia akan diletakkan semula di ladang bagi membantu operasi di sektor pertanian.

Walaubagaimanapun, tidak pernah antara lembu tersebut disembelih bagi tujuan mendapatkan dagingnya, biarpun mengalami kecederaan teruk.

Dalam pertandingan seperti itu, terdapat sebilangan penonton menggunakannya untuk mengaut keuntungan melalui perjudian, meskipun terdapat sekatan-sekatan ke atas operasi perjudian di Korea.

"Kami bercadang untuk membuat acara itu sebagai sukan perjudian yang sah di mana masyarakat akan datang setiap hujung minggu. Namun, masih ada beberapa masalah dan konflik dalaman organisasi yang tidak dapat dielakkan bagi menjalankan aktiviti seperti itu," kata penganjur festival, Chung-Bae.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: