STUDIO NAR di Jalan Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa lalu penuh dengan manusia prihatin.
Sejak pukul 3 petang, studio tersebut telah menjadi medan buat barisan artis seperti Maya Karin, Aishah, Amy Mastura, Amylea, Datuk Siti Nurhaliza, Aizat, Anuar Zain, Alyah, Misha Omar, Adibah Nor, Anita Sarawak, Mawi dan ramai lagi berkongsi rasa tentang isu yang sudah seperti menjadi satu pesta kini - bakar, buang dan bunuh bayi!
Bersama barisan artis yang menyumbang suara secara percuma untuk lagu ciptaan S.Atan liriknya oleh Habsah Hassan berjudul Harapan Tanpa Suara ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut turun padang menyokong kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia.
Semuanya dilakukan atas dasar prihatin. Barisan artis tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan daripada amal yang mereka lakukan. Biar ramai yang terikat dengan komitmen lain, namun demi menyeru masyarakat supaya lebih prihatin, masa emas mereka dicuri untuk melaksanakan tanggungjawab sosial ini.
Mereka juga mahu menghapuskan stigma bahawa artis hanya terlibat dalam hal bersifat popular sehingga melupakan tanggungjawab sosial.
Pihak akhbar tidak cuba bersikap oportunis atas isu yang terjadi. Sebaliknya isu yang semakin parah ini dipandang serius dan melalui kempen yang dijalankan, diharapkan mereka yang melakukan perbuatan keji itu akan berasa takut untuk menambahkan parameter gejala buang bayi ini.
Harapan utama mereka juga adalah agar lagu dan kempen yang dijalankan mampu memberi kesedaran terhadap pelaku dan masyarakat agar lebih menghargai nilai seorang bayi kecil yang tidak berdosa.
Menurut penulis lirik lagu ini, Habsah Hassan atau mesra dipanggil Kak Chah, dia menulis lirik Harapan Tanpa Suara ini pada 22 Mac lalu selepas subuh sewaktu berada di Bukit Fraser, Pahang.
"Mereka tidak ubah seperti manusia bertopengkan patung yang tidak mempunyai perasaan. Mesejnya ringkas tetapi saya harap ia sampai di hati khalayak. Melalui lirik yang saya cipta, kita cuba menyampaikan bahawa kanak-kanak yang tidak berdosa tidak patut menjadi mangsa dalam kes ini," ujar Kak Chah yang turut memberitahu lagu tersebut disiapkan dalam tempoh tiga hari.
Bersetuju dengan pendapat Kak Chah, barisan artis semua sepakat berharap agar masyarakat tidak sekadar terhibur dengan lagu yang dihasilkan.
Tetapi mereka harus meneliti dan menghayati mesej yang terkandung dalam lagu ini. Harapan Tanpa Suara kata mereka lagi tidak dinyanyikan secara suka-suka, tetapi dinyanyikan dengan sejuta harapan agar hati-hati yang telah 'mati', hidup semula.
"Siti sangat bersetuju dengan kempen yang dijalankan ini kerana gejala ini sudah menjadi semakin parah. Siti tidak mengerti mengapa mereka sanggup melakukan perbuatan keji ini.
"Harapan Siti agar hal ini cepat diambil iktibar. Siti tak mahu kita kembali kepada zaman jahiliah yang banyak membuang bayi sesuka hati," ujar Siti Nurhaliza yang cukup teruja kerana dapat menyumbang suara dalam lagu tersebut.
|
|
Bagi penyanyi Misha Omar pula, katanya sebagai seorang ibu angkat, dia cukup tersentuh dengan perbuatan tanpa ihsan individu-individu tidak bertanggungjawab ini.
Katanya: "Saya pelik dengan dunia hari ini. Ada manusia yang sanggup menjalankan sindiket jual anak dan banyak juga yang mahu membeli kerana tiada anak. Tapi dalam masa yang sama, ramai yang membuang anak dan membunuh tanpa ada perasaan bersalah.
"Jujur saya akui, sebagai wanita, manusia dan ahli masyarakat, saya malu dengan apa berlaku sekarang. Saya rasa, lagu ini tidak akan bermakna kalau kami nyanyi, tapi orang tak ambil iktibar. Harapan saya, masyakarat terkesan dengan lagu ini."
Jangan cepat menghukum
Sementara itu, Mawi dan Adibah Nor berkongsi persepsi yang sama. Prihatin dan tidak lokek menjalankan tanggung jawab sosial, baik Mawi atau Adibah, kedua-dua mereka berharap agar masyarakat tidak lekas menjatuhkan hukum terhadap pelaku.
Bagi mereka, setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan alasan tersendiri. Bukan bersetuju dengan pelakin, namun kata Adibah: "Jika wanita yang membuang bayi itu dirogol dan dia terpaksa melakukan hal tersebut, kita sebagai masyarakat jangan cepat menjatuhkan hukum.
"Sebaliknya, kita harus berganding bahu membantu menangani masalah ini. Saya kira bukan artis sahaja yang boleh membantu mereka dengan kempen lagu seperti ini, tapi saya percaya para ulama juga memainkan peranan penting untuk membendung gejala ini."
Bersetuju dengan pendapat Adibah, Mawi yang tidak malu mengaku dia dan isteri berusaha keras mahu menimang cahaya mata, sebaliknya ada pihak tidak mempunyai ihsan dan membuang bayi yang dilahirkan.
"Kalau seorang wanita yang melakukan masalah ini mempunyai alasan tersendiri, saya kira kita tidak boleh terus menjatuhkan hukum kerana kita juga tidak tahu masalah mereka.
"Tapi saya suka untuk menasihatkan agar setiap tindakan yang mahu diambil, perlu dilakukan dalam keadaan waras. Jangan membuat tindakan melulu kerana esok, penyesalan itu tidak membawa makna lagi," kata Mawi yang bersyukur kerana dapat terlibat dalam kempen ini.
Menyokong kempen ini dan berharap agar ia bersifat berterusan, Anuar Zain berkata, kempen Kami Prihatin ini patut dijalankan secara komprehensif ke seluruh negara.
"Saya fikir, selain kempen melalui lagu, kempen ini harus ada inisiatif yang lebih tinggi seperti jelajah masuk ke kampung-kampung, pusat membeli-belah atau masuk ke dalam universiti untuk memberi kesedaran dan menanam sikap peka masyakarat terhadap isu ini," katanya yang juga berharap agar ibu bapa tidak menutup mata terhadap sikap anak-anak kerana bayi yang tidak berdosa berhak untuk hidup.
Kempen tersebut dijadual dilancarkan pada 8 April depan di KL Sentral, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: