Thursday, April 1, 2010

Adat lenggang perut Jawa


Upacara tingkepan bermula dengan menyiram air kembang setaman disertai dengan doa ke atas Vina.


PADA masa dahulu, apabila seseorang wanita yang hamil pertama dan kehamilan memasuki usia tujuh bulan, satu upacara diadakan bagi memohon keselamatan ibu dan bayi.

Upacara yang dinamakan lenggang perut itu lazimnya dilakukan di kampung-kampung di mana bakal ibu akan menjalani beberapa peringkat upacara yang dikendalikan oleh bidan dan ahli keluarga.

Bagaimanapun, upacara lenggang perut itu tidak lagi dilakukan pada masa kini kerana boleh mendatangkan syirik.

Pun begitu, di Jawa, terutamanya di Yogyakarta dan Jawa Tengah, masih mengekalkan adat tradisi seiring dengan perkembangan budaya masyarakat tersebut.

Satu daripada upacara tradisional Jawa yang masih wujud sehingga ke hari ini ialah tingkepan atau lenggang perut yang bertujuan mempastikan keselamatan seseorang wanita yang hamil tujuh bulan anak pertama.

Masyarakat Jawa percaya janin yang berusia tujuh bulan mempunyai roh yang perlu dijaga dengan baik dan diraikan.

Anak pertama itu dikatakan membawa tuah kepada keluarga dan adik beradiknya lain yang akan dilahirkan.

Seperti upacara-upacara tradisional lain, tingkepan diraikan berbeza-beza mengikut daerah dan kemampuan keluarga.

Baru-baru ini, Perkumpulan Wanita Malindo (Malaysia-Indonesia) telah bekerjasama dengan ASEAN Ladies Circle (ALC) mengadakan upacara lenggang perut adat Jawa yang juga dikenali sebagai tingkepan atau mitoni.

Upacara yang diadakan di Kedutaan Indonesia itu merupakan salah satu program ALC bagi merapatkan hubungan antara ahli-ahlinya.

Turut hadir ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar dan isteri beliau yang juga Presiden ALC, Puan Seri Ida Yulianti Bachtiar serta tetamu kenamaan lain.

Upacara lenggang perut dilakukan ke atas Vina Apriliyanti Sophie, 28, anak kepada Pengerusi Malindo Indonesia, Elly Soepie menarik perhatian para tetamu yang hadir.

Turut berada di samping Vina yang hamil tujuh bulan anak sulung ialah suaminya, Mohd Fariz Ghazali, 31, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Vina yang berjawatan sebagai akauntan di sebuah firma di Malaysia dijangka bersalin pada April ini.

Berketurunan Jawa Surabaya, kata Vina, adat itu merupakan satu kemestian bagi masyarakat di Jawa. Ia bagi mempastikan bayi yang dilahirkan selamat begitu juga dengan si ibu.

Menurut ibunya, Ellie Soepie, dalam pelaksanaan upacara itu, bakal ibu yang sedang hamil tujuh bulan dimandikan dengan air kembang setaman disertai dengan doa.

''Siraman ini dilakukan oleh sesepuh seramai tujuh bagi memohon doa restu. Selesai upacara siraman, air kendi tujuh mata air digunakan bagi mencuci muka dan setelah air di dalam kendi habis, kendi akan dipecahkan.

''Seterusnya si suami akan memasukkan telur ayam kampung ke dalam kain bakal ibu melalui perut dan dibiarkan jatuh dan pecah. Ia merupakan simbol supaya bayi lahir dengan lancar dan tanpa halangan,'' ujar Ellie.

Tambahnya, bakal ibu kemudian akan berganti baju sebanyak tujuh kali disertai dengan kain putih sebagai lapisan di dalam. Kain putih itu melambangkan bahawa bayi yang akan dilahirkan nanti adalah suci dan mendapat keberkatan Tuhan.

Seterusnya bakal ibu dan bapa akan menjalani beberapa lagi upacara yang dinamakan Sidoluhur, Sidomukti, Truntum, Wahyu Tumurun, udan risis, Sido Asih, Lasem sebagai kain dan Dringin sebagai kemben.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: