Tuesday, March 23, 2010

Umpama hiasan di ruang tamu rumah

MINATNYA dalam memerhatikan gerak-geri wanita yang mengunjungi kedai buku menjadi cetusan kepada penubuhan ruang khusus untuk pembaca wanita di gedung buku MPH yang dilancarkan baru-baru ini.

BERGANDING...Ivy (empat dari kanan) dan Kee (empat dari kiri)  menerima sokongan daripada Moof, Blue Inc, Espressoup, The Wedding  Boutique, Jurlique, My Diamond dan Urban Retreat.
BERGANDING...Ivy (empat dari kanan) dan Kee (empat dari kiri) menerima sokongan daripada Moof, Blue Inc, Espressoup, The Wedding Boutique, Jurlique, My Diamond dan Urban Retreat.
TABIAT BAIK...wanita lebih gemar membaca dan membeli buku  berbanding lelaki.
TABIAT BAIK...wanita lebih gemar membaca dan membeli buku berbanding lelaki.
Dalam pemerhatiannya, Ketua Pegawai Operasi (COO) MPH Bookstores Sdn Bhd, Donald Kee menyifatkan wanita lebih ramai yang berminat membaca dan membeli buku berbanding lelaki.


Justeru, idea mewujudkan ruang khas untuk wanita dikenali Gals READS (respected, empowered, admired, desired, smart) di kedai buku MPH terpilih itu sememangnya disambut baik terutama dalam kalangan pertubuhan wanita seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). "Boleh dikatakan 95 peratus pengunjung kedai buku adalah wanita. Saya lihat wanita, tidak kira usia dan bangsa, gemar membaca dan bahan bacaan mereka tidak terhad kepada majalah serta kesusasteraan wanita (chic-literature) semata-mata.


"Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam di kedai buku dan saya rasakan adalah lebih baik diadakan ruang untuk mereka agar lebih selesa. "MPH turut merasakan wujudnya kepentingan untuk mengadakan ruang itu kerana peranan wanita kini makin penting sebagai pembeli dan penjana ekonomi negara.


"Ini antara cara terbaik untuk menyalurkan pengetahuan tambahan kepada mereka dengan bacaan berkualiti bagi membantu wanita memperbaiki kualiti hidup.


"Di ruang khas wanita itu akan kami hiaskan dengan sofa, meja kopi dan bantal kecil, sama seperti hiasan di ruang tamu rumah. "Selain itu, mereka tidak perlu bersusah payah mencari buku genre kegemaran kerana MPH akan menempatkan segala buku berkaitan wanita termasuk biografi, pengurusan dan perniagaan. "Malah, disediakan juga senarai alamat dan nombor telefon kecemasan, hospital malah butik dan salun kecantikan bagi memudahkan carian. Sesekali ruangan itu akan dihadiri penulis novel untuk sesi autograf dan penceramah yang bersedia membincangkan isu wanita. "Meskipun ia mesra pengguna terutama wanita, pengunjung lelaki juga dialu-alukan. Mereka boleh memilih apa jua bahan yang sesuai dijadikan hadiah untuk pasangan atau sekadar membacanya untuk memperoleh pengetahuan mendalam mengenai wanita," kata Kee.


Katanya, dengan hanya mendaftar RM20 sebagai ahli untuk tempoh dua tahun, mereka berpeluang menikmati pelbagai tawaran produk menarik daripada Moof, Blue Inc, Espressoup, The Wedding Boutique, Jurlique, My Diamond dan Urban Retreat.


Moof menyediakan koleksi alat tulis perkahwinan, Blue Inc pula akan menganjurkan bengkel aktiviti sementara Espressoup menghidangkan sup, roti, salad, sandwic dan pasta untuk ahli kelab.


The Wedding Boutique pula memberi perkhidmatan sewaan baju pengantin, Jurlique untuk rawatan muka, My Diamond bagi penggemar barang kemas dan Urban Retreat menawarkan khidmat urutan serta spa.


Lebih menarik apabila wang pendaftaran itu disalurkan ke WAO sebagai usaha membantu kempen pertubuhan dalam menyediakan rumah perlindungan dan kaunseling untuk wanita serta kanak-kanak.


Pengarah Eksekutif WAO, Ivy Josiah, berkata sudah tiba masanya pembeli wanita dihargai dan MPH nyata sensitif dengan keperluan wanita zaman ini.


"Selain inginkan bacaan yang berkualiti, kami juga mahu suasana yang selesa dan praktikal apabila setiap bahan yang diperlukan mudah dicari serta lengkap.


"Usaha MPH ini tiba pada masa yang tepat malah setiap RM20 yang dikenakan itu akan digunakan untuk tujuan kebajikan bersama WAO," katanya.


Bagaimanapun, konsep ruang untuk wanita ini baru diperkenalkan di MPH The Curve manakala kad keahlian itu boleh digunakan di setiap kedai MPH seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: