Tuesday, March 23, 2010

Sheila Majid tidak putus asa


SHEILA Majid sewaktu beraksi di Festival Jawa Jazz di Jakarta, Indonesia pada 5 hingga 7 Mac lalu.


KALAU ada yang sudah merasa bosan dan mula melemparkan kata-kata sinis apabila wajah penghibur ternama ini kerap menghiasi media massa, baik fikirkan semula.

Mengapa? Kerana Datuk Sheila Majid mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian kerana tahun 2010 merupakan tahun yang cukup bermakna buat penyanyi kecil molek ini.

Diam tak diam, sudah 25 tahun Sheila bergelar seorang penghibur yang terus berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Penyanyi baru akan tetap hadir dan bersilih ganti tetapi Sheila terus utuh dan unggul sehingga meletakkan dirinya sebagai salah seorang anak seni yang cukup disegani.

Sudah pasti, 25 tahun berada di dalam industri bukan satu tempoh yang lama untuk Sheila mengukuhkan jenamanya sehingga mampu menjadi satu produk isi rumah yang diminati.

Pelbagai halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi untuk berada di kedudukannya seperti hari ini.

Mengenali Sheila, dia merupakan seorang wanita yang cukup optimistik dan berkeyakinan tinggi dalam setiap langkahnya.

Terus berusaha

Kerana itulah, sehingga ke hari ini dia tidak berputus asa untuk terus mencari dana dan penaja bagi merealisasikan konsert terbesar di ibu negara seperti yang dirancang sebelum ini.

Malah, Sheila sendiri sudah memilih tarikhnya iaitu 27 November dan jika dihitung daripada tarikh artikel ini ditulis, Sheila mempunyai masa lapan bulan sahaja lagi.

Mengakui sudah bertemu dan membentangkan kertas kerja kepada beberapa syarikat gergasi untuk mendapatkan penajaan, namun, sehingga ke hari ini masih tiada jawapan positif daripada mereka.

Jauh sekali untuk berasa kecil hati, Sheila tetap optimis dan berpendapat masih ada masa lagi untuknya terus menjalankan misinya agar impiannya itu tercapai.

Jelas Sheila lagi, mungkin juga syarikat-syarikat ini berdepan dengan kekangan bajet memandangkan Piala Dunia 2010 juga berlangsung tahun ini.

"Insya-Allah, dalam masa yang sama juga, saya tidak duduk diam tetapi masih terus berusaha dan saya tidak akan berhenti.

"Tujuan saya mahu mengadakan konsert besar yang disifatkan sebagai acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-25 ini adalah untuk meraikannya dengan peminat.

"Kerana merekalah, saya mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini dan berupaya untuk terus menghiburkan mereka selama suku abad.

"Lebih manis lagi kalau saya dapat jelajah seluruh negara untuk bertemu dengan mereka," jelasnya dalam nada bersungguh.

Sheila atau nama sebenarnya Shahiela Abdul Majid ini ditemui di sidang akhbar Karpet Merah - Glitz & Glam sempena Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park Executive Suites, di ibu negara baru-baru ini.

Buat pertama kalinya juga, persembahan itu akan menyaksikan Sheila digandingkan dengan penghibur terkenal, Anita Sarawak.

Konsert di Jakarta dan Perth

Biarpun untuk mengadakan konsertnya di negara ini masih lagi samar, satu yang pasti kata Sheila, jika tiada aral melintang dia akan mengadakan konsert besarnya di Jakarta, Indonesia terlebih dahulu.

Sememangnya berita itu merupakan perkhabaran gembira buat penghibur berusia 45 tahun ini dan semuanya hasil daripada impak persembahan sulungnya di Festival Jazz Jawa di Jakarta pada 5 hingga 7 Mac lalu.

Kata Sheila, sebaik sahaja dia selesai mengadakan persembahan dia menerima berpuluh-puluh tawaran daripada pelbagai pihak di sana yang cukup berminat untuk mengadakan konsert untuknya di Jakarta.

"Sekarang saya dan pihak pengurusan hanya menunggu masa untuk berbincang dan seterusnya memilih yang terbaik untuk konsert ini.

"Semuanya sudah tertulis menjadi rezeki saya untuk mengadakan konsert di negara luar terlebih dahulu sebelum di negara kelahiran saya.

"Apa-apa pun, impian untuk saya mengadakan konsert di negara sendiri tidak akan pudar dan saya tidak akan putus asa untuk berusaha," ujar ibu kepada empat orang anak ini penuh optimis.

Sebelum itu, Sheila terlebih dahulu akan mengadakan konsert di Perth, Australia pada bulan Mei nanti.

Kisah Festival Jazz Jawa

Bercerita tentang pengalaman pertamanya membuat persembahan di salah sebuah festival jazz terbesar di dunia itu, Sheila memang tidak menyangka respons audiens cukup positif.

Disaksikan hampir 7,000 orang penonton, apa yang membuat penghibur ini terkesima adalah kesungguhan audiens yang menyanyikan setiap lagunya tanpa tertinggal setiap bait dalam persembahan selama 45 minit itu.

"Seronok tidak terkata apabila dapat beraksi dalam festival yang menghimpunkan nama-nama besar antarabangsa itu dan saya rasa bertuah apabila menjadi salah seorang artis yang terpilih.

"Mereka mahukan saya sejak kali pertama festival ini diadakan pada tahun 2005 tetapi tidak berkesempatan. Lalu, apabila kali ini mereka menyenaraikan nama saya sekali lagi, tiada alasan untuk saya menolaknya," ujarnya yang mendendangkan kesemua lagu-lagu popularnya di festival itu termasuklah lagu terbaru, Dengarkanlah.

Anak jati Kuala Lumpur ini juga sempat berkongsi cerita bagaimana dia menerima kejutan paling istimewa daripada idolanya, Vina Panduwinata sewaktu mengadakan rakaman televisyen, Zona Memori 80an di sana.

Ketika itu, dia sedang menjalani latihan sebelum menyampaikan lagu Dia (nyanyian asal oleh Vina) apabila tiba-tiba dia terdengar suara seseorang yang cuba 'mengganggu' sesi latihannya menerusi monitor.

"Saya fikir penyanyi latar tetapi ketika itu, mereka sedang duduk berbual sesama sendiri.

"Sebaik sahaja saya berpaling ke belakang saya, rupanya dia adalah Vina. Terkejut dan gembira bukan kepalang saya dibuatnya sehingga saya menitiskan air mata," katanya sambil ketawa dan berpeluang berduet dengan idolanya itu dalam rancangan tersebut.

Lebar sayap ke Filipina

Dalam perkembangan lain, Sheila juga kini sudah bersedia untuk melebarkan lagi sayap seninya ke Filipina apabila berpeluang merakamkan suara dengan salah seorang vokalis wanita terbaik Filipina iaitu Regine Velasquez.

Untuk itu, dia sudah pun merakamkan sebuah lagu Filipina yang telah dialih bahasa kepada bahasa Melayu berjudul Bukan Salah Cinta yang liriknya ditulis oleh Trisno Aysraf Zainol Abidin atau Tris.

"Saya melihat projek yang diusahakan oleh MUZIKON ini wajar dipuji kerana ia memberi peluang kepada artis-artis untuk menembusi pasaran luar negara.

"Saya menerima tawaran mereka kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk saya meluaskan karier seni saya ke negara lain pula sekali gus memperkenalkan muzik saya di sana.

"Cuma saya berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan baik agar ia dapat kekal untuk jangka masa yang panjang dan memberi peluang kepada semua artis tempatan," katanya yang merakamkan lagu tersebut secara berasingan dengan Regine.

Sementara itu, berbicara mengenai lagu Dengarkanlah pula, Sheila memang mahu menghadiahkan lagu terbaru kepada peminatnya.

Lagu ciptaan suaminya, Acis manakala liriknya nukilan Sheila sendiri itu juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran video muziknya minggu lalu di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac).

Diarahkan oleh pengarah Dain Said yang sebelum ini mengarahkan filem kontroversi, Dukun, muzik video dan single Dengarkanlah akan dimuatkan dalam box set edisi terhad yang akan dipasarkan penghujung bulan ini.

Istimewanya box set terbitan Warner Music Malaysia itu nanti apabila ia merangkumi kesemua tujuh album studio Sheila iaitu Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon dan Cinta Kita dengan kulit album asalnya.

Gandingan bersama Anita

Bercerita tentang persembahan minggu setiausahanya di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 7 April ini, Sheila menganggap gandingannya bersama Anita adalah sebagai satu penghormatan.

Mengakui amat mengagumi Anita yang disifatkannya sebagai penghibur yang berdisiplin dan memiliki semangat tinggi dalam berkarya, Sheila ternyata teruja dengan tawaran oleh PNB Darby Park Executive Suites itu.

"Kali pertama kami membuat persembahan bersama adalah sekitar tahun 2002 menerusi Konsert Diva South East Asia di Singapura dan kini kami kembali untuk menghiburkan peminat.

"Dia antara penghibur yang banyak memberi inspirasi kepada saya dan selama ini memang saya mengaguminya.

"Konsep persembahan saya pula, lagu-lagu yang dipilih akan mempunyai hubung kaitnya dengan wanita seiring dengan sambutan Hari Wanita Sedunia yang baru sahaja berlalu.

"Saya pasti peminat kami akan berpuas hati dan terhibur dengan persembahan kami kelak kerana kami turut akan berduet menerusi sebuah lagu. Tidak boleh beritahu sekarang kerana saya mahu menjadikannya sebagai kejutan," kata pelantun lagu Di Dalam Emosi Ini dan Ku Mohon ini sambil ketawa.

Bakal menghiburkan tetamu selama 45 minit hingga ke satu jam, persembahan Sheila dan Anita akan diketuai oleh Acis serta barisan pemuzik profesional yang lain sementara Fahrin Ahmad akan bertindak sebagai hos.

Pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton persembahan hebat ini kerana dikhabarkan penjualan tiket semakin laris.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: