Tuesday, March 23, 2010

Pilu kutip cebisan mayat kanak-kanak


BERSAMA pegawai dan anggota polis termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman ketika ini, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin (duduk kiri).


KEPALANYA pecah, otak bersepai menyebabkan darah memercik di merata tempat. Daging tubuh yang hancur bersepah atas jalan raya.

Mayat mangsa kemalangan itu memang mengerikan tetapi Inspektor Abdul Raheem Eliyas, 43, tidak berasa mual. Apa yang mengusik hatinya ketika itu hanyalah rasa simpati mengenangkan nasib malang mangsa.

"Apa tidaknya, mangsa hanya seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sebaya anak saya. Masa itu terbayang wajah anak-anak kerana bimbang tragedi sama menimpa mereka," kata Abdul Raheem menceritakan pengalaman yang sukar dilupakan ketika bertugas dalam pasukan polis.

Pegawai Penyiasat Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ini memberitahu, dalam kejadian itu, mangsa maut selepas dilanggar dan digilis oleh beberapa buah kereta ketika cuba menyeberang jalan di Kilometer 14, Jalan Kuala Lumpur-Rawang.

Mangsa yang tinggal di Taman Selayang Utama mengambil risiko menyeberangi jalan terbabit untuk menunggu bas pergi ke sekolahnya di Batu Caves selepas tertinggal bas di depan rumahnya sebelum itu.

Menurut Abdul Raheem, suasana di tempat kejadian masih gelap waktu itu memandangkan kemalangan berlaku pada pukul 6.50 pagi.

"Saya yang bertugas waktu itu segera pergi ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut.

"Tiba saja di situ, saya melihat mayat mangsa hancur akibat digilis oleh beberapa kenderaan manakala buku-buku sekolahnya bertaburan di atas jalan raya," katanya.

Abdul Raheem berkata, kenderaan pertama yang melanggar kanak-kanak malang itu bagaimanapun tidak berhenti dan pemandunya gagalnya dikesan sehingga kini.

Katanya, dalam kegelapan, beliau terpaksa mengutip satu persatu serpihan otak dan daging mangsa yang sudah hancur.

Itu pengalaman pertama, selang setahun kemudian Abdul Raheem sekali lagi menyiasat kes kemalangan ngeri membabitkan murid sekolah.

Kali ini, kemalangan berlaku pukul 6.40 pagi di Kilometer 15, Jalan Kuala Lumpur-Rawang membabitkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

"Mangsa dilanggar oleh sebuah motosikal sewaktu menyeberang jalan bersama ibunya untuk pergi ke sekolah.

"Dia yang dipimpin oleh ibunya telah dirempuh motosikal terbabit menyebabkan kanak-kanak itu tercampak ke tengah jalan sebelum tubuhnya diseret oleh sebuah kereta sejauh 40 meter," katanya.

Akibat seretan itu, badan mangsa hancur dan seperti kejadian pertama dulu, Abdul Raheem sekali lagi terpaksa mengutip cebisan badan mangsa yang bersepah atas jalan.

Dalam kejadian itu, ibu mangsa dan penunggang motosikal yang melanggarnya turut mengalami kecederaan.

Insiden itu, kata Abdul Raheem bukan sahaja mengembalikan kenangannya kepada kes kemalangan setahun sebelum itu tetapi turut menimbulkan rasa hiba di hatinya dan sekali lagi wajah anak-anak kesayangan terbayang di matanya.

Dua kes kemalangan ini, kata beliau, wajar dijadikan pengajaran kepada ibu bapa agar tidak mengabaikan keselamatan anak-anak.

"Saya nasihatkan ibu bapa supaya lebih mengambil berat tentang keselamatan anak-anak tidak kira di mana mereka berada dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya," ujarnya.

Menceritakan pembabitannya dalam pasukan polis, anak kelahiran negeri Hang Tuah ini memberitahu, beliau menjalani kursus asas dengan badan beruniform itu di Pusat Latihan Polis Ayer Hitam (Pulapah) di Jempol, Negeri Sembilan pada 1990.

Selepas tamat kursus enam bulan kemudian, beliau ditempatkan di Pasukan Polis Hutan sekarang dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ulu Kinta, Perak menjalankan tugas sebagai pelatih demo.

Di situ, beliau dipertanggungjawabkan memberi tunjuk ajar kepada para pelatih mengenai tugas peperangan di hutan.

Pada 1994, Abdul Raheem menyertai Pancaragam Pusat di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol).

Beliau yang memang minat dan berbakat bermain alat muzik dipilih menjadi pemain trumpet.

Bagi memantapkan kemahirannya bermain muzik, Abdul Raheem melanjutkan pelajarannya di Akademi Seni Kebangsaan mengambil Kursus Oral, Gubahan Not dan Muzik.

Selepas sembilan tahun berkecimpung dalam dunia muzik, beliau ditukarkan ke Bahagian Perjawatan di Bukit Aman melaksanakan tugas menemuduga pengambilan anggota bagi jawatan Konstabel dan Inspektor.

"Pada 2006, saya menjalani kursus pegawai di Maktab Pegawai Kanan Polis Cheras. Tamat kursus, saya mendapat jawatan sebagai Pegawai Penyiasat Trafik di IPD Gombak sehingga sekarang," katanya yang mendirikan rumahtangga dengan Normaliha Hafni, 37, dan dikurniakan enam anak berusia dua hingga 17 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: