KUALA TERENGGANU: Sukan sepak takraw popular dengan servis kuda, namun lain pula yang cuba dipopularkan bekas pemain sepak takraw skuad wanita kebangsaan berusia 20 tahun apabila dia diberkas bersama tiga rakannya selepas didapati miliki 34 biji pil kuda bernilai RM1,190 dipercayai untuk diedarkan di pasaran gelap di negeri ini.
RAMPAS...Roslan menunjukkan pil kuda yang dirampas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata pembabitan wanita itu dalam penyalahgunaan dadah terbongkar selepas sepasukan anggota polis menyerbu bilik sebuah hotel di Cerong Lanjut di sini, Ahad lalu.
Menurutnya, serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan sepasukan polis membabitkan seorang pegawai dan lima anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, sebaik menerima maklumat daripada orang awam.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan berkenaan mengetuk pintu dan memperkenalkan diri sebelum menemui empat individu dalam bilik berkenaan membabitkan dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun serta dua wanita berusia 20 dan 23 tahun.
“Selepas diperiksa, polis menemui sejumlah pil khayal menyebabkan mereka dibawa ke balai dan diarah menjalani ujian air kencing,” katanya.
| |
Menurutnya, siasatan turut mendapati seorang daripada wanita berkenaan bekas pemain sepak takraw kebangsaan, namun siasatan lanjut dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapati dia tidak lagi mewakili negara.
“Semakan juga dibuat dengan pengurus Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang mengesahkan wanita itu tidak lagi menyertai Majlis Sukan Terengganu selepas temasya Sukma 2008,” katanya.
Menurutnya, semua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan. Sementara itu, dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun serta dua wanita berusia 18 dan 20 tahun selepas didapati memiliki dua botol plastik disyaki mengandungi heroin bernilai RM2,800.
Serbuan dilakukan dalam bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail di sini, Ahad lalu kira-kira jam 11.30 malam hasil maklumat orang ramai dan semua yang ditahan kemudian diarahkan menjalani ujian air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis morfin dan methamphemine.
Roslan berkata, berdasarkan tangkapan terbaru itu, polis kini memantau pergerakan sindiket yang cenderung menjadikan bilik hotel sebagai lokasi membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran gelap.
“Kita dapati golongan itu cenderung menjadikan bilik hotel sebagai transit untuk melakukan aktiviti pembungkusan dadah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: