Tuesday, March 23, 2010

Mat rempit sekadar bahan eksploitasi ?




ADA beberapa sebab mengapa saya mahu menonton filem ini. Pertama, filem ini merupakan arahan sulung Farid Kamil, pelakon berbakat yang mula terkenal selepas banyak berlakon dalam filem-filem arahan A. Razak Mohaideen. Kedua, filem ini tentang gejala rempit, budaya semasa anak muda Melayu di bandar yang menggunakan motosikal secara liar.

Farid Kamil, graduan UiTM (Universiti Teknologi MARA) bukan sahaja dikenali sebagai pelakon berbakat yang boleh dikatakan terlibat dalam hampir semua filem-filem terbitan Metrowealth, tetapi juga dalam filem Remp-it arahan Ahmad Idham, Farid Kamil bertanggungjawab menulis skrip asalnya. Remp-it yang mengangkat budaya dan gejala liar mat rempit dengan lagak tunggangan motosiakal menjadi antara filem yang cukup berjaya di pasaran.

Remp-it adalah antara barisan filem Melayu yang meletakkan motosikal sebagai tema utamanya selepas filem K.L. Menjerit arahan Bade Hj. Azmi. Dan apabila Farid Kamil bertindak sebagai pengarah, nampaknya Farid masih ghairah untuk mengulang tema dan isu yang sama, motosikal dan mat rempit. Persoalannya, apakah Farid sebagai penulis dan pengarah mempunyai subjek baru tentang budaya ini yang hendak dikupas dan dihujahkan lagi. Atau sekadar mengeksploitasi satu tema yang sudah ketinggalan dan juga mengeksploitasi khalayak?

Kodi dan stereotaip

V3: Samseng Jalanan sebenarnya adalah filem kelas B yang dihasilkan untuk tujuan eksploitasi. Apabila sebuah filem itu dikatakan karya eksploitasi ia bermaksud sebuah filem yang mengangkat isu semasa dengan bahan-bahan terbuang. Filem-filem begini mengeksploit aksi murahan seperti keganasan dan seks daripada membina kekuatan cerita, yakni tidak bertolak daripada binaan naratif yang berkualiti.

V3: Samseng Jalanan mengeksploitasi isu mat rempit dan budaya menunggang motosikal secara liar. Tetapi pembikin filemnya bukannya komited terhadap subjeknya malah pemahamannya boleh dipersoalkan. Sebagai pengarah, Farid Kamil sebenarnya tidak berminatpun terhadap isi atau kandungan filem ini sebaliknya lebih berminat mengujakan khalayak penonton dengan aksi lasak dan ganas. Barisan pelakonnya walaupun cuba bersungguh-sungguh untuk menghidupkan watak-watak yang kodi dan stereotaip, tetapi apa yang dilihat hanyalah sekadar mengikut rentak cerita sahaja.

Tafsiran sosial

Sebab itu kita sebagai penonton akhirnya merasa bosan apabila melihat sebuah filem yang skrip, lakonan dan arahan yang mengecewakan. Lihat sahaja pembukaan yang lemah filem V3: Samseng Jalanan. Adegan dalam pawagam dan kemudian menunggang motosikal dikuti oleh kemalangan akibat salah satu pasangan anak muda itu khayal dadah. Adegan seterusnya adalah kejar mengejar motosikal yang kita tidak jelas motifnya. Seterusnya filem ini berminat pula terhadap perlumbaan motosikal haram yang dianjurkan oleh Garing (Aqasha) yang telah berjaya memerangkap Rudi (Farid Kamil) dan Brett (Bront Palare) untuk turut dalam perlumbaan tersebut. Malangnya adegan-adegan tersebut tidak diusulkan dengan sebab akibat yang kukuh. Subjek anak muda yang terlibat sebagai mat rempit dan budaya lumba motosikal haram sebenarnya subjek yang menarik, tetapi ia perlu dilihat dengan tafsiran sosial dan psikologi serta ekonomi juga.

Hollywood umpamanya pernah menghasilkan filem-filem yang menggunakan motosikal pada dekad 1950-an dan 1960an dengan tujuan mengupas kuasa anarkis daripada budaya anak muda. Filem-filem seperti The Wild One (yang bertanggungjawab menjadikan motosikal sebagai bintangnya), The Wild Angels, Easy Rider dan Five Easy Pieces bukannya komited kepada jentera sebagai bintang tetapi menjadi filem anak muda yang menggelombangkan perbincangan dan tafsiran sosiologikal dan kebebasan generasi baru Amerika dan pertentangan budaya yang provokatif. Bukan itu sahaja, filem-filem kecil ini berjaya menukar lanskap tradisi khalayak filem Amerika.

Kita sebenarnya masih menanti filem-filem generasi baru yang mahu memberikan kepelbagaian dimensi tafsiran anak-anak muda tentang budaya dan permasalahan kehidupan mereka, yang bukannya hanya terpesona dengan eksploitasi mudah dan pantas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: