Tuesday, March 23, 2010

Bila Rebab Mengalunkan 'Phantom Of The Opera'

Gambar hiasan ini menunjukkan rebab digunakan dalam satu persembahan teater.

REBAB, alat muzik tradisional bertali yang berasal dari Asia Barat berkemampuan mengeluarkan muzik yang agak mendayu tetapi memikat perhatian.

Satu persembahan alunan rebab dan juga alat-alat muzik tradisional yang lain dalam satu persembahan ulung Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) begitu memukau mereka yang hadir di Istana Budaya di sini baru-baru ini.

Persembahan dua malam itu membuat penonton begitu teruja sehingga ada yang mahukan ia diteruskan 'lagi, dan lagi'.

Para hadirin begitu terpukau bila kedengaran rebab dan alat-alat muzik tradisional yang lain bersatu dan seirama mengalunkan karya klasik Andrew Llyod Weber 'Phantom of the Opera".

Mereka seakan terpaku dengan kebolehan 64 pemuzik yang mengendalikan pelbagai alat muzik tradisional negara ini. Yang uniknya, tidak ramai di antara ahli seni ini yang pandai membaca nota muzik.

Mereka diberi latihan sebelum lahirnya OTM dan para pemuzik ini mengambil cabaran untuk belajar dari segi penataan seni muzik barat dengan begitu tekun sekali.

PERALATAN KLASIK

Para pemuzik OTM itu memainkan 28 peralatan muzik tradisional daripada pelbagai kaum tempatan seperti Melayu, Cina, Tamil dan juga kumpulan etnik dari Sabah dan Sarawak.

Dalam persembahan kepada umum yang julung-julung kali ini, para pemuzik OTM turut disokong dengan begitu ampuhnya oleh persembahan alat-alat muzik barat seperti cello, double base, gitar dan juga keyboard.

Melihat daripada komposisinya, persembahan OTM memanglah selari dengan konsep 1Malaysia. Jenis dan genre muzik menjurus kepada penyatuan elemen-elemen dalam muzik yang mencetuskan satu persembahan 'Timur bertemu Barat'.

Persembahan muzik instrumental dari OTM itu termasuk irama yang malar segar dari Malaysia seperti Puteri Santubong dan Gunung Kinabalu selain irama Asean, antaranya 'Bengawan Solo,' 'Dahil Sayo,' 'Di Tanjung Katong,"Sebai, sebai' dan 'Adai, adai'.

REAKSI PENONTON

Tiada yang berasa bosan dengan persembahan OTM pada malam itu, hanya peringkat kepuasan masing-masing mungkin berbeza.

Seorang pensyarah kanan universiti, Abbas Hasan, yang gemarkan sesi 'jamming' klarinet serta saksofon dengan teman-teman pada hujung minggu, mendapati persembahan OTM pada malam itu begitu memukau.

"Jika saya menutup mata sambil mendengar, saya tidak mungkin dapat meneka akan muzik yang saya dengar ini dimainkan sebuah orkestra yang mengandungi peralatan muzik tradisional. Rebab dan Erh Hu merupakan 'pasangan' yang serasi.

"Ia (persembahan) yang memang saya tidak jangkakan...apatah lagi bila terdengar lagu Michael Jackson 'Beat It' dimainkan dengan begitu unik sekali oleh angklung dan sungguh menakjubkan! Walaupun mungkin ada yang tidak menghargai adunan antara dua dunia dari segi peralatan muzik dan instrumentasi ini," tambah Abbas.

Bagi konduktor orkestra Yazid Zakaria, pelancaran OTM memang tepat dengan waktunya dan merupakan mimpi yang menjadi kenyataan terutama bagi mereka yang mahu memelihara peralatan muzik tradisional yang diukir rapi dan begitu cantik yang sememangya sudah wujud sekian lama.

"Saya percaya sudah tiba masanya, peralatan muzik tradisional kita mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Dan ini akan membolehkan pengaruhnya untuk terus kekal walaupun untuk seratus tahun lagi. Generasi baru sepatutnya diberi kesedaran tentang asal-usul peralatan muzik tradisional Malaysia.

"Peralatan ini semuanya harta yang tak ternilai harganya, satu warisan yang kita harus lindungi daripada kepupusan," kata Yazid dengan penuh bersemangat.

GENERASI MUDA

OTM juga akan memberi ruang yang diperlukan bagi pencinta muzik muda membuat eksperimen walaupun mereka mempunyai pendidikan formal dalam memainkan peralatan muzik barat sebelum ini.

"Sebagai seorang ahli muzik, saya harap semua orang sedar yang peralatan muzik tradisional bukanlah hanya untuk muzik bagi jenis atau genre itu sahaja.

"Tetapi ia merupakan perantara global yang semua orang faham dan mampu menikmatinya, tidak kira apa agama serta bangsa sekalipun. Peralatan ini cukup bagi menterjemah muzik yang dicipta sepanjang zaman dan bunyinya memang tidak luntur," tambah Yazid.

Bagi Ell Zain Hyder atau 'Endang', beliau begitu berbangga menjadi sebahagian daripada OTM.Pemain rebab berumur 23 tahun itu belajar secara formal dalam memainkan alat muzik barat yang bertali iaitu biola dan cello.

"Saya boleh memainkan Erh Hu juga. Peralatan itu memang mudah dimainkan kerana saya belajar bermain biola sejak umur sembilan tahun. Saya juga boleh bermain piano. Saya bangga dapat memainkan rebab dan berharap ramai generasi muda mengambil tahu tentang peralatan muzik tradisional yang ada di negara kita", kata Endang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: