Friday, January 1, 2010

Erma Raikan 'Tersasar' Di Kawasan 'Panas'

PENGARAH Erma Fatima atau nama sebenar Fatimah Rahmat, tidak pernah lekang dengan pelbagai percubaan berani dan kritikan sosial menerusi karya-karyanya.

Setelah menghasilkan pelbagai judul drama dan filem yang rata-ratanya sarat dengan mesej dan kritikan sosial, ternyata, penat-lelah dan usaha pengarah ini menerusi drama Tersasar Di Jalanmu berbaloi apabila naskah itu menang besar di Anugerah Skrin '09, awal bulan lalu.

Sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak yang menyokongnya merealisasikan projek itu, sutradara ini telah menganjurkan sebuah majlis jamuan makan dan kesyukuran pada malam Selasa lalu.

Erma bergurau-senda dengan tetamu yang hadir di majlis itu.

Menariknya, majlis itu diadakan di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit, Kuala Lumpur, bersesuaian dengan lokasi drama itu sendiri yang berlatarbelakangkan cebisan kehidupan di kawasan 'panas' itu.

Menurut Erma yang ditemui di majlis serba sederhana itu, majlis ini adalah tanda penghargaannya kepada seluruh warga penduduk Lorong Haji Taib dan anak-anak dari Yayasan Salam yang telah banyak membantunya sepanjang pembikinan drama itu.

"Jamuan ini khusus untuk warga Lorong Haji Taib yang telah banyak membantu saya sepanjang pembikinan drama Tersasar Di Jalanmu. Ia juga didedikasikan untuk anak-anak dari Yayasan Salam," ujar Erma ringkas.

Peluang mendekati lokasi itu buat pertama kali nyata pengalaman yang istimewa dan agak mendebarkan pada awalnya. Terdetik juga di hati akan isu keselamatan sepanjang berada di kawasan majlis tersebut. Namun, hati saya tersentuh sebaik melihat kemeriahan anak-anak kecil yang gembira menyambut Erma dan kru bagi meraikan kejayaan drama tersebut.

Di sebalik kesederhanaan majlis dan makanan serta minuman yang tidak mencukupi kerana dihujani tetamu tidak diundang dari kawasan berhampiran, kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yang kurang bernasib baik ini.

Majlis anjuran syarikat produksi milik Erma, Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd itu telah menjamu kira-kira 80 tetamu termasuk para artis yang terlibat seperti Rosnah Mat Aris dan Eric Fuzi, kru produksi dan anak-anak dari yayasan itu.

Selepas kejayaan Tersasar Di Jalanmu, Erma bakal kembali ke layar perak menerusi Murtad tahun 2010 ini.

Kembali Dengan Murtad

Beralih perbualan kepada projek filem pula, Erma mengakui dia bakal kembali ke layar perak menerusi karya terbarunya, Murtad sekitar tahun depan.

Mendengarkan saja judul filem itu sudah dapat menggambarkan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarah ini dalam filem terbarunya itu.

Menurut Erma, Murtad mengangkat kisah perjuangan orang Melayu dalam menentang isu murtad di kalangan bangsa Melayu.

Isu murtad yang merupakan masalah sosial yang serius dan sensitif telah membuka hati pengarah wanita ini untuk menterjemahkan isu ini ke dalam bentuk filem.

"Filem ini adalah sebuah naskah yang akan memaparkan kisah orang Melayu yang murtad daripada agama Islam. selain itu perjuangan orang Melayu dalam menentang isu murtad juga akan diperlihatkan," katanya.

Bagaimanapun, kakak kepada aktres Umie Aida ini enggan mengulas lanjut mengenai filem itu mahupun barisan pelakon yang bakal membintanginya.

Erma yang merasakan masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran terperinci projek itu, turut mengakui dia kini sedang dalam proses menyiapkan skrip Murtad.

"Saya memilih untuk mengupas isu murtad kerana ia isu semasa yang hangat diperkatakan dan berleluasa dalam masyarakat Melayu hari ini," jelas pengarah yang mengakui dirinya cukup puas dan gembira dengan sambutan masyarakat terhadap pementasan teater Natrah awal bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: