Saturday, August 8, 2009

Noordin berjaya ditangkap?


POSTER yang memaparkan imej Noordin dipamerkan di sebauh plaza di Malang, Jawa Tengah kelmarin.


JAKARTA - Militan yang paling dikehendaki di Asia, Noordin Mohammad Top berjaya ditangkap oleh polis, lapor akhbar Kompas.com yang memetik kenyataan stesen televisyen Al-Jazeera.

"Secara rasminya, polis masih menafikan bahawa ia berjaya menangkap Noordin di Jawa Tengah.

"Namun, satu sumber yang boleh dipercayai memberitahu kami bahawa pihak polis menangkap seorang lelaki yang kelihatan seperti Noordin," kata koresponden Al-Jazeera, Step Vaessen.

Kenyataan itu dibuat selepas polis Indonesia yang melancarkan gerakan memburu suspek militan iaitu Noordin Mohammad Top terlibat dalam satu kejadian berbalas tembakan di Temanggung, Pulau Jawa semalam.

Jurucakap polis, Nanan Soekarna berkata, beliau enggan memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun, stesen televisyen TV One di sini memetik kenyataan seorang pegawai yang memberitahu, lelaki yang menyewa sebuah rumah di perkampungan tersebut, tempat berlakunya tembakan tersebut, dilihat memiliki wajah mirip Noordin.

Suspek kelahiran Malaysia itu ialah ketua kumpulan serpihan radikal Jemaah Islamiah (JI) dan dipercayai merancang pengeboman Hotel JW Marriott, Jakarta pada 2003, Kedutaan Australia, di Jakarta pada 2004 dan pengeboman di Bali 2005.

Polis memberi tumpuan untuk mencari Noordin di Jawa Tengah kerana satu rangkaian pengikut yang bersimpati dengannya terdapat di wilayah tersebut.

Seorang wartawan tempatan, Parwito Raffa berkata, polis mengepung sebuah rumah dan berlaku satu pertempuran.

Beliau berkata, satu kejadian berbalas tembakan berlaku selama beberapa jam.

Sementara itu, stesen televisyen Metro TV menyatakan polis menangkap dua suspek di sebuah pekan berdekatan sebelum pertempuran tersebut.

Menurut stesen itu, dua suspek itu memberikan mereka maklumat penting sehingga mengakibatkan serbuan di rumah tersebut dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: