| |
| ABRAHAM |
| |
| KERATAN Kosmo! 12 Januari lalu. |
PUTRAJAYA - Bekas penuntut Kolej New Era di Kajang yang mengaku menumbuk pengerusi senat kolej itu, Dr. Yap Sin Tian sehingga cedera, Januari lalu dihukum penjara dua hari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kajang di sini semalam.
Abraham Lim Khen Zhi, 22, yang berdiri di kandang tertuduh dilihat tenang menerima hukuman yang diputuskan Majistret Nur Diana Mohd. Nazari.
Tertuduh sebelum itu diberi peluang untuk merayu namun dia mendiamkan diri selama beberapa minit sebelum berkata: "Saya hanya ingin kata, minta maaf kepada ibu bapa saya."
Abraham yang beralamat di Ulu Tiram, Johor mengaku memukul Sin Tian, 69, dengan tangan kanannya pada pukul 10.10 pagi, 11 Januari lalu di Dewan Konvokesyen Ke-10, Blok B, kolej berkenaan di Jalan Bukit, Kajang dekat sini.
Nur Diana turut mengarahkan Abraham yang bekerja sebagai penulis skrip dihukum penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Wong Kian Kheong mendakwa anak guamnya mengalami masalah hilang pertimbangan diri dan telah menjalani rawatan daripada pakar psikologi klinikal.
"Tertuduh sebenarnya tiada motif dan tidak berniat untuk mencederakan mangsa pada waktu itu kerana dia hadir di kolej itu atas urusan rasmi.
"Namun kontroversi yang berlaku terhadap dirinya telah mengakibatkan tertuduh bertindak sedemikian," katanya yang menambah tertuduh menyerah diri di Balai Polis Kajang dua hari selepas kejadian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: