| PEGANGAN agama dalam kehidupan seseorang manusia itu tidak akan dapat dipisahkan kerana itulah asas penting yang akan mengingatkan serta membimbing setiap manusia di muka bumi ini agar tidak terpesong dengan keseronokan dunia. |
Walau dari mana manusia itu datang atau apa sahaja gelaran, pangkat yang berpangkal pada martabat seseorang manusia itu, lahirnya tetap sama, pegangannya tetap sama dalam menuju untuk mendapat kehidupan yang diredai Allah swt.
Namun, ada kala manusia itu sering terkena penyakit 'lupa' seperti yang diwar-warkan oleh bekas perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 'Melayu mudah lupa' dalam meniti arus kehidupan.
Justeru, tiada yang menghairankan sekiranya didapati sesetengah manusia itu lebih gemar beridolakan hiburan dunia semata-mata manakala kehidupan beragama ditinggalkan nun jauh di sana dek terlampau seronok mengira-ngira siapa yang paling banyak menambah dosa, maka itulah pemenangnya.
Berdasarkan kesedaran itu, akhirnya menyuntik Datin Azizah Mohamad, Allahyarham Rosiah Chik dan Datin June Rahim menubuhkan satu kumpulan yang dikenali dengan Kumpulan Artis Wanita (Kawan).
Walaupun usia Kawan sudah menjangkau 19 tahun dan artis veteran Rosiah Chik sudah tiada di muka bumi ini, namun Kawan masih terus aktif melakar aktivitinya.
Mengulas tujuan utama Kawan ditubuhkan, selaku pengerusi Kawan, Azizah berkata, ia ditubuhkan untuk memberi peluang kepada mana-mana artis wanita tanah air mempelajari agama.
"Walaupun kami mencari rezeki dalam industri hiburan, namun ini bukan bermaksud kami hanya mengejar perkara duniawi sahaja.
"Dengan adanya Kawan, secara tidak langsung akan mengubah persepsi masyarakat di luar sana yang sering menganggap orang seperti kami lupa agama dan hanya tahu berhibur sahaja," kata Azizah.
Apa yang menariknya, Kawan yang dianggotai kalangan pelakon, penyanyi dan penari mempelajari agama bukan dengan mengupah mana-mana ustaz mahupun ustazah.
| |
Proses pembelajaran itu berlangsung sesama mereka sendiri (artis) di mana yang pandai akan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang memerlukannya sehinggalah mereka ini pandai membaca al-Quran dan Yasin.
| |
"Tidak semestinya semua artis jahil agama. Dahulu, ketika Allahyarham Rosiah Chik ada, dialah yang jadi guru dan mengajar ilmu tajwid, Yasin dan ilmu agama lain.
"Sekarang, apabila dia sudah tiada, kami yang mendapat ilmu itu akan menurunkannya pula kepada yang lain," katanya.
Bagi Hajah Maimunah Haji Ahmad, 59, atau Mak Jah, dia menyertai Kawan selepas enam bulan ditubuhkan dan sehingga saat ini, Mak Jah terus setia mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan.
Menurutnya, Kawan banyak membantunya dalam semua segi terutama yang berkaitan dengan perkara keagamaan.
"Sebelum saya menyertai Kawan, saya memang tidak tahu mengaji al-Quran, apatah lagi apabila orang suruh saya baca Yasin.
"Pengetahuan saya dalam agama memang kurang. Namun, berkat saya menyertai Kawan, kini alhamdulillah, saya sudah boleh mengaji al-Quran dan baca Yasin.
"Nak pergi belajar mengaji di luar, rasa segan dan malu pula. Alhamdulillah, ada Kawan yang akhirnya membantu artis wanita yang jahil seperti saya mempelajari agama," katanya.
Lain pula dengan Datuk Yusni Hamid, 57, yang menyertai Kawan selepas beberapa tahun ditubuhkan dan mendapati aktivitinya sangat bagus.
"Rumah saya berdekatan kediaman Datin Orkid Abdullah dan saya sering melihat dia aktif menghadiri aktiviti yang dianjurkan Kawan.
"Kekadang itu, bila saya tidak begitu sibuk, saya akan turut serta menghadiri aktiviti Kawan bersama Orkid. Namun, ketika itu, saya belum lagi menjadi ahli Kawan.
"Melalui Orkid, saya didedahkan mengenai peranan sebenar Kawan dan akhirnya lama kelamaan, hati saya terbuka untuk menyertai Kawan," katanya.
Bagi Normala Omar, 57, atau lebih mesra dikenali dengan Kak Mala, dia tidak menjadi anggota Kawan kerana tidak yakin dapat memberi komitmen berikutan sibuk dengan tugas lain.
Namun, sekiranya ada masa terluang, Kak Mala akan turut sama menghadiri aktiviti Kawan kerana ia adalah satu aktiviti sampingan yang berfaedah dan banyak pengetahuan yang boleh diperoleh.
"Saya seronok bersama artis lain mempelajari al-Quran, Yasin dan ilmu agama. Namun, disebabkan saya agak sibuk, tidak semua aktiviti Kawan saya dapat mengikutinya," kata Kak Mala.
Selain mempelajari al-Quran, Yasin dan berzanji, Azizah berkata, Kawan juga menganjurkan pelbagai aktiviti lain seperti hari keluarga, nasyid, cukur jambul, marhaban dan juga sambutan Maulidur Rasul.
Artis veteran yang popular dengan lagu Idaman Tercapai yang ditemui pada Sambutan Maulidur Rasul di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), baru-baru ini, mengakui aktiviti sebegini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara satu sama lain.
Antara tetamu yang hadir pada majlis itu, Raja Hamidah Raja Saat, Julie Sudiro, Datin Umi Kalsom, Zalifah Ibrahim dan June Rahim.
"Setiap tahun, kami akan mengadakan sambutan Maulidur Rasul secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri di kalangan ahli Kawan.
"Namun, kali ini kami mengadakan secara besar-besaran dengan menjemput kumpulan wanita dari organisasi lain seperti Al-Sakinah, Lembaga Islam Wilayah dan Al-Jana untuk turut sama memeriahkan lagi sambutan Maulidur Rasul ini," katanya.
Mengulas lanjut aktiviti Kawan, Azizah berkata, setiap tahun kumpulan ini akan memberi bantuan sama ada kepada rumah anak yatim mahupun artis veteran yang memerlukan bantuan.
"Setiap musim perayaan, kami akan menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit kepada mereka yang memerlukan.
"Kami faham apa yang mereka perlukan dan walaupun jumlah yang diberikan tidak begitu banyak, namun sedikit sebanyak mampu meringankan kesusahan yang mereka hadapi," katanya.
Menurut Azizah, peruntukan dana untuk kebajikan itu diperoleh daripada aktiviti cukur jambul, marhaban dan nasyid.
Katanya, setiap bulan terutama musim cuti sekolah, kumpulan Kawan dijemput untuk memeriahkan majlis kenduri kahwin dan melalui itu, dana dapat dikumpulkan.
"Setiap jemputan marhaban, cukur jambul, nasyid yang kami dapat, sebahagian bayaran itu akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan Kawan," katanya.
Kata Azizah, antara artis veteran yang menerima bantuan Kawan adalah Samsudin Lamin, Param dan Ayapan.
Sementara itu, Azizah menyuarakan sedikit kekesalan kerana ramai di kalangan artis terutama yang muda tidak tahu mengenai kewujudan Kawan kerana berita mengenainya agak kurang di media.
Bertambah parah, apabila mereka beranggapan Kawan adalah sebuah kumpulan yang hanya untuk artis veteran.
"Saya tidak salahkan mereka (artis-artis muda) beranggapan begitu kerana mungkin mereka lihat anggota kami semuanya artis veteran.
"Namun, ingin saya tegaskan di sini bahawa Kawan terbuka kepada sesiapa sahaja artis wanita tanah air yang berminat untuk menyertainya. Tiada had umur ditentukan.
"Saya menyeru kepada artis muda untuk turut sama menyertai Kawan kerana kami selaku anggota pembangun Kawan tidak mahu melihat perjuangan selama 19 tahun ini terkubur begitu sahaja kerana tiada pelapis.
"Buat masa sekarang, antara artis yang menunjukkan minat untuk menyertai Kawan seperti Anne Abdullah dan Norish Karman.
"Bagaimanapun, saya harap lebih ramai lagi artis wanita muda tampil ke depan untuk bersama-sama menyertai Kawan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: