MASUK tarikh 1 April ini, genaplah 14 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30, dalam industri seni hiburan tanah air.
Tarikh itu juga bersempena dengan pelancaran album pertamanya, Siti Nurhaliza pada 1 April 1996 yang memuatkan lagu popular Jerat Percintaan.
Menurut penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, mulai 1 April juga dia akan kembali sibuk dengan aktiviti seni dan promosi album yang tertangguh demi menghormati pemergian bapa tersayang, Tarudin Ismail ke Rahmatullah pada 15 Februari lalu akibat serangan jantung.
Difahamkan, antara program yang melibatkan Siti adalah undangan persembahan sempena Keputeraan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Kelantan, Anugerah Kajai, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 dan program televisyen Jangan Tidur Lagi di TV3.
“Dalam bulan April ini saya agak sibuk dengan pelbagai aktiviti seni.
“Tambahan pula, bulan depan juga merupakan ulang tahun saya dalam industri ini. Saya merancang untuk menyambut ulang tahun tersebut dengan peminat.
“Dalam masa yang sama, saya sedang dalam perancangan membuat konsert amal secara solo di Istana Budaya yang dijangka akan dilakukan pada bulan Jun nanti,” ulas Siti mengenai konsert yang dianjurkan oleh badan amal Yayasan Nur Jiwa miliknya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.
Tambah Siti, sebolehnya dia ingin menginspirasikan corak Konsert Celine Dion di Las Vegas ke dalam konsert solonya itu.
“Tetapi saya tahu kosnya agak tinggi dan ‘mengukur ikut baju sendiri’. Saya akan membuat persembahan mengikut standard saya dan pastikan orang akan ingat persembahan itu sampai bila-bila,” ulas Siti.
Disebabkan sibuk memenuhi tuntutan kerja, Siti berkata dia terpaksa melupakan soal anak buat sementara waktu.
“Sekarang, saya nak fokus kepada konsert dan melupakan dulu tentang anak. Lagipun, rezeki anak belum ada lagi.
“Saya nak buat tak tahu sahaja,” ujar Siti yang semakin kurus seperti zaman mudanya dulu.
Diaju tentang perubahan tersebut, Siti berkata dia kurus selepas kembali melakukan latihan di gimnasium.
“Kalau dulu berat saya mencecah 61 kg, sekarang berat saya sudah turun 56 kg.
“Tetapi, saya masih tak puas hati dan mahu berat 55 kg biar nampak ‘maintain’,” katanya ketika sidang media majlis makan tengah hari Minggu Setiausaha 2009 di Quality Hotel City Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Secara eksklusifnya, Siti kembali menjayakan Minggu Setiausaha bersama Quality Hotel buat kali keenam.
Siti berkata jika dulu dia selalu menggunakan khidmat pengarah muzik Aubrey Suwito tetapi kali ini Aubrey tidak dapat bersama-sama Siti kerana sibuk dengan program One In A Million.
“Kali ini saya akan menyanyi tidak lebih daripada 10 buah lagu dari album terbaru termasuk lagu-lagu popular saya dengan bantuan ‘live band’ oleh pengarah muzik Jenny Chin dan lima hingga enam penari.
“Lagu hits saya pula akan mewarnai segmen lagu nostalgia. Saya akan beritahu segmen menarik itu nanti kerana selebihnya peminat perlu datang dan menontonnya sendiri.
“Saya hanya akan melakukan persembahan seorang diri tanpa bantuan artis lain memandangkan kita sudah ada penglipur lara iaitu Dee,” beritahu Siti mengenai majlis yang sekali lagi melantik Dee sebagai pengacara majlis buat kali keenam.
Kali terakhir Siti menyertai majlis tersebut adalah pada dua tahun lalu. Tahun ini, Siti akan menjayakan persembahan tersebut pada 22 April ini manakala penyanyi Indonesia Kris Dayanti pada 21 April di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur.
“Apa yang membuatkan saya terpanggil untuk menyertai Minggu Setiausaha ini disebabkan rindu kerana biasanya saya hanya membuat majlis makan malam.
“Saya juga menerima tawaran ini atas hubungan baik antara saya dan Quality Hotel dan mereka tidak lupa menjemput saya membuat persembahan,” beritahu penyanyi yang sedang popular dengan lagu Dalam Taman Teman, Cinta Ini dan Ada Masa Mata ini yang dimuatkan dalam album Lentera Timur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: