KUALA LUMPUR – Menjejakkan kaki di Selayang terutama sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur tidak ubah seperti berada di Yangon, Myanmar.
Ia bagaikan satu lagi koleksi ‘bandar’ warga asing di Lembah Klang selepas Mini Jakarta di Jalan Chow Kit dan Klang, Selangor.
Di Selayang, warga Myanmar bagaikan telah menjajah kawasan itu hinggakan ada yang melontarkan kata-kata sinis ‘jika sebutir batu dibaling ke udara, ia sudah pasti jatuh di atas kepala warga Myanmar’.
Malah, lagak warga asing itu seolah-olah berada di negara mereka sendiri. Ada yang tidak berbaju atau hanya berkain sarung dan duduk melepak di sekitar kawasan tersebut.
Mereka juga membawa bersama budaya pengotor iaitu meludah air sirih dan membuang sampah-sarap merata-rata.
Dalam kalangan penduduk tempatan pula, mereka merasakan bagaikan berada di negara asing sejak lebih lima tahun lalu.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati jumlah warga Myanmar bukan sedikit di kawasan berkenaan malah ada sesetengah mereka berniaga membuka restoran dan menyewa di premis dalam kawasan yang sama.
Persoalannya, bagaimana warga asing terbabit boleh berada di kawasan itu dalam jumlah yang ramai? Ke manakah perginya pihak penguat kuasa sehingga jumlah rakyat negara berkenaan bagaikan tidak terbendung? Adakah mereka diberikan lesen menjalankan pelbagai jenis perniagaan?
Tinjauan di Mini Yangon itu mendapati terdapat kira-kira tiga buah restoran dipercayai diusahakan oleh warga Myanmar namun ketiga-tiga premis berkenaan tidak mempunyai papan tanda nama restoran.
Selebihnya aktiviti perniagaan yang dilakukan secara kecil-kecilan di laluan-laluan kaki lima dengan menjual pelbagai jenis barangan.
Seorang pemilik restoran, Hanim Dahlan, 27, berkata, sejak kawasan itu menjadi penempatan warga Myanmar, semakin ramai pengunjung tempatan enggan mengunjungi kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: