HUBUNGAN Nora dan Rizal tetap baik terutama sejak kehadiran Rayqal. |
KETABAHAN ibu tercinta, Sally Talib bergelar ibu tunggal dalam membesarkan dia dan tiga lagi kakak, Rozy, Cathy dan Nadia menjadi pendorong untuk pelakon comel, Nora Danish menjadi setabah dan sekuat ibunya.
Nora dan kakaknya mula bergantung kepada kasih sayang ibu selepas ayah meninggal dunia sewaktu Nora berusia 12 tahun.
Pelakon yang baru saja menyambut hari lahir yang ke-27 pada 7 Mac lalu juga menerima nasib yang sama apabila ditakdirkan bergelar ibu tunggal tahun lalu selepas bercerai dengan Rizal Ashram Ramli, anak kepada bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Namun di saat duka datang menimpa bergelut dengan pergolakan rumah tangga yang sudah berakhir, kehadiran anak sulung, Putera Rayqal Rizal Ashram Ramli berusia hampir tiga bulan tanggal 7 Januari lalu memberi penawar yang cukup berharga.
Bagi meraikan kehadiran ‘orang baru’ dalam hidup Nora dan keluarga bekas suaminya, satu majlis cukur jambul diadakan Sabtu lalu dalam satu upacara yang cukup sederhana tetapi tetap meriah.
Dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak, kenalan terdekat, rakan artis seperti Lisa Surihani dan Betty Rahmat dan rakan media, upacara tradisi yang diadakan di kediaman keluarga bekas suami Nora ini dimulakan dengan alunan marhaban. Diketuai Maimunah Ali, kumpulan Marhaban diberi nama Al Firdaus ini kemudiannya diikuti dengan majlis berendoi dan bercukur terhadap Rayqal.
NORA dan Rizal tetap mengutamakan anak walaupun sudah berpisah. |
“Syukur alhamdulillah majlis ini berjalan lancar dan apa yang dirancang berjalan dengan baik. Paling penting, Nora dapat menunjukkan wajah Qal (panggilan manja Rayqal) kepada umum dan rakan media yang hadir. Nora tahu ramai yang tidak sabar untuk melihat wajahnya,” kata Nora penuh syukur.
Menurut Nora, dengan apa juga suratan yang sudah tertulis, hubungan dengan keluarga bekas suaminya masih baik. Katanya, secara dasarnya tiada istilah bekas mentua kerana hubungan mereka kini lebih rapat.
“Nora tidak kekok dengan mereka (keluarga bekas suami) dan tidak pernah timbul soal siapa nak jaga Qal. Paling penting anak Nora dicurahkan kasih sayang yang tidak terhingga.
“Mereka juga sangat memahami dan menyokong. Ada masa Nora akan menghantar Qal ke sini atau mereka datang mengambilnya di rumah Nora. Lagi pun rumah Nora dekat saja dengan rumah mereka,” katanya lagi sambil merancang untuk memastikan Rayqal dihantar ke sekolah tahfiz ketika berusia 4 tahun supaya dapat menjadi anak yang soleh.
RONA bahagia terpancar pada wajah Rizal sejak bergelar bapa. |
'Segala dugaan merapatkan kami'
PERASAAN berbeza turut dirasai dan dikongsi Ramli yang menyambut kedatangan cucu sulung di dalam keluarganya. Kehadiran Rayqal ibarat mengubah rutin hariannya. Bayangkan Ramli boleh menghabiskan masa bersama cucunya di rumah sebelum tugas itu diambil alih isterinya selepas pulang bekerja.
“Apa yang berlaku di antara Nora dan Rizal tidak pernah mengurangkan kasih sayang kami semua terhadap Rayqal. Setiap keluarga saya memainkan peranan untuk memastikan kasih sayang kepadanya terus bercambah. Tanggungjawab dikongsi bersama menjaganya kerana dia tetap darah daging keluarga saya.
“Kesejahteraan Rayqal menjadi keutamaan kami malah ibunya, Nora juga masih menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Segala dugaan yang melanda anak saya dan Nora dihadapi dengan penuh reda, malahan ia lebih merapatkan kami kini,” kata Ramli.
Sementara itu, isteri Ramli iaitu Raja Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dalam nada sebak berkata, kehadiran Rayqal umpama penyinar dalam hidup keluarganya. Bahkan, Nora juga cukup bermakna kepada dirinya. Katanya lagi, beliau mahu melihat cucunya membesar dalam keadaan baik supaya menjadi orang yang berguna dan berbakti.
“Paling utama, saya mahu Rayqal menjadi insan yang merendah diri dan saya sendiri tidak boleh sehari pun jika tidak menatap wajahnya.
“Biarpun sudah berpisah dengan Rizal, Nora masih kami anggap seperti anak dan menantu. Hubungan kami juga rapat dan Nora seorang manusia yang sangat tabah. Rizal masih baik dengan Nora dan apa yang dilakukan mereka semua demi kebaikan Rayqal,” kata Noora Ashikin.
Ditanya lanjut mengenai usaha menyatukan kembali Rizal dan Nora, Noora Ashikin enggan memberi komen kerana tidak mahu membuat kenyataan yang mampu mengguriskan perasaan mereka.
“Siapa yang tidak mahu melihat mereka bersatu kembali tapi kita sendiri tidak tahu apa isi hati yang terpendam antara mereka. Rizal pun tak lupa menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa,” katanya yang mengusahakan kilang sendiri menghasilkan aksesori dan pakaian.
Baru sedar perasaan bergelar bapa
HIP sempat menemub ual Rizal Ashram Ramli dan naluri kebapaan jelas terpancar daripada riak wajahnya. Seperti mana Nora yang mengharapkan supaya Rayqal dapat membesar tanpa sebarang ‘kekurangan’, Rizal juga mengimpikan perkara yang sama.
“Biarpun kami sudah berpisah, tanggungjawab saya terhadap Rayqal masih berterusan. Saya mahu dia menjadi anak yang soleh dan sentiasa diberi didikan yang baik oleh saya dan ibunya. Apabila dia dewasa nanti, saya nak dia menolong orang dan berjaya dalam hidup.
“Baru kini saya sedar bagaimana perasaan bergelar bapa. Sebelum ini, ia sukar digambarkan dan kita hanya akan tahu apabila sudah melalui fasa itu. Kehadiran Rayqal bagai satu azimat yang cukup bermakna. Bayangkan apabila pulang ke rumah selepas penat bekerja, tengok saja wajahnya di rumah sudah cukup membuatkan penat saya hilang sekelip mata,” katanya yang hampir setiap hari meluangkan masa menjaga Rayqal.
Pada majlis ini turut kelihatan pelakon Diana Johor yang baru saja berkahwin dengan adik Rizal iaitu Ramelle Ashram Ramli. Pasangan ini berkahwin pada 7 Februari lalu selepas empat tahun berkawan.
INFO: Nora Danish dan Rizal
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: