|
|
CINTA Fauziah Ahmad Daud atau Ogy pada bidang lakonan tidak pernah padam sejak aktif lebih tiga dekad lalu. Sejak mula membintangi filem pertama, Hati Batu arahan M Amin pada 1973 di samping Latifah Omar dan S Azam, dia masih berminat mencurahkan sumbangan kepada persada hiburan tempatan. |
Pastinya, kemunculan semula Ogy dalam lakonan menerusi drama Suara Saleha arahan Murali Abdullah mencatatkan kenangan manis buatnya selepas diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2008 yang lalu. Ogy yang pernah popular dengan watak Azura menerusi filem Azura pada 1984 dan Asmidar dalam Ali Setan (1986) mewarisi bakat ibu bapanya, Datuk Ahmad Daud Hashim dan Datin Satya Baharom atau Saadiah.
Dikagumi ramai pelakon generasi baru, dalam diam Ogy turut menarik perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang menjemputnya untuk menjadi pengajar Bengkel Seni Lakon yang diadakan di Finas baru-baru ini. Kata Ogy, dia rasa bertuah dan gembira apabila ditawarkan Finas untuk memberikan tunjuk ajar dalam bengkel itu yang diadakan selama lima hari.
Dalam kursus itu, dia berkesempatan berkongsi pengalaman berlakon dengan 40 peserta yang menjadi anak didiknya. Menariknya, pengalaman pertama kali itu bukan hanya menyaksikan dia mengajar peserta yang berminat menjadi pelakon, tetapi terbabit dalam menyediakan sendiri silibus pembelajaran untuk kursus itu.
"Saya seronok apabila dapat peluang mengajar peserta mengenai aspek lakonan. Apa yang saya lihat, setiap peserta menunjukkan kesungguhan ketika belajar. Ada peserta yang rajin membuat rujukan apabila mendapat tugasan saya berikan.
"Sejak awal bengkel ini bermula, saya tekankan pada mereka supaya kikis sifat malu. Untuk tugasan pertama, saya meminta mereka menulis apakah yang mereka faham dengan destinasi seorang aktor. Lalu, mereka perlu buat pembentangan atas pentas dan dari situ, mereka mula berani untuk bercakap depan khalayak.
"Bagi memberi semangat kepada diri, peserta ini terlebih dulu melalui sesi memanaskan badan apabila diminta melakukan latihan vokal sebelum diberi sebarang tugasan. Sebenarnya latihan sebegini penting dalam mencetuskan mood kepada pelakon supaya tidak gementar atau lupa dialog ketika berlakon.
"Dalam silibus yang saya sediakan, mereka juga perlu menyelesaikan tugasan cara menghayati watak sebagai haiwan. Maksudnya, selepas mereka memilih seekor haiwan, mereka perlu melakonkan suara haiwan itu dan mereka dilatih membuat dialog sendiri serta berlakon secara monolog.
"Selain itu, ada juga tugasan yang memerlukan mereka menjadi wartawan. Mereka bukan hanya menjadi wartawan hiburan sebaliknya mereka perlu lakonkan wartawan bidang lain menggunakan skrip sendiri dan tonjolkan diri sebagai wartawan.
"Tugasan lain, mereka juga diminta memerhati watak manusia yang digemari dan perlu berlakon menggunakan skrip sendiri di samping kostum watak itu sendiri. Saya fikir, apa yang dilalui peserta menerusi bengkel ini adalah keseronokan yang membuatkan mereka ingin mengkaji, bereksperimen dan menggunakan imaginasi serta kreativiti sendiri secara menyeluruh untuk memahami apa itu pelakon dan lakonan," katanya.
Berdasarkan prestasi peserta dalam bengkel itu, Ogy, 46, menyatakan dia tertarik untuk mengambil tujuh anak didiknya sebagai pelakon dalam drama terbaru arahannya, Murabbi. Drama terbitan produksi sendiri, Artistik Triview itu menjalani penggambaran sejak Khamis lalu hingga Jumaat ini dan ia telefilem khas sempena Hari Guru. Pelakon lain yang turut terbabit adalah Sharifah Aleeya; penyanyi anggota kumpulan VE, Lah Ahmad, Siti Fairuz, Zulkifli Ismail dan Rosminah Tahir.
"Walaupun tujuh peserta ini yang menjadi pelakon baru drama saya tidak mempunyai pengalaman lakon sebelum ini, saya berpandangan mereka perlu diberi peluang untuk berlakon.
"Mereka perlu amalkan teori yang mereka belajar dalam bengkel lakon yang lalu.
"Saya lihat mereka berbakat dan berkebolehan untuk faham dengan watak yang perlu mereka bawa. Sebelum berlakon, mereka turut diberi kelas latihan bersama Fatimah Abu Bakar selama dua hari. Sebagai pelakon, saya mahu mereka faham dengan jelas setiap watak dan karakter yang dibawa dan hasilnya di luar jangkaan.
"Lakonan mereka meyakinkan saya sama seperti pertama kali saya berlakon dulu. Saya gembira apabila pelakon baru rajin buat rujukan sebelum berlakon dan berminat untuk hadiri Bengkel Seni Lakon.
"Pada saya, bengkel yang diadakan Finas itu amat menarik dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang supaya kita dapat mencungkil bakat baru yang akan menjadi pelapis kepada pelakon sedia ada.
"Jika ada peluang mengajar lagi selepas ini, saya tidak keberatan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada dalam diri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: