SEBAHAGIAN personaliti radio dan televisyen Media Prima serta beberapa duta Earth Hour menyalakan lilin sebagai simbolik sokongan terhadap kempen menyelamatkan bumi. |
Rangkaian Radio Media Prima, 8TV sertai kempen Earth Hour esok
MENYEDARI keadaan dan masa depan bumi yang semakin uzur, dek pencemaran dan pemanasan global, Rangkaian Radio Media Prima yang terdiri daripada Hot FM, Fly FM dan One FM bersatu tenaga untuk sama-sama menyampaikan mesej kesedaran kepada pendengar dengan menyertai kempen Earth Hour pada 28 Mac ini.
Earth Hour yang dimulakan di kota Sydney dua tahun lalu oleh World Wide Fund For Nature (WWF) sekarang menjadi agenda penting masyarakat dunia. Kini percubaan untuk mendapatkan satu bilion ikrar di seluruh dunia giat dijalankan bagi mengurangkan pemanasan global atau sekurang-kurangnya melambatkan proses berkenaan.
Di Malaysia, WWF giat berkempen memastikan lebih banyak pihak mengambil bahagian pada 28 Mac ini, apabila 1,000 bandar di dunia akan memadamkan lampu selama sejam, bermula jam 8.30 malam. Difahamkan, sehingga hari ini, angka seribu bandar sudah pun dilepasi dan semakin banyak bandar yang menyatakan sokongan menyertai kempen terbabit.
Tiga rangkaian radio Media Prima itu juga tidak ketinggalan menunjukkan komitmen mereka membantu usaha murni sejagat itu apabila mereka akan menghentikan siaran selam sejam sepanjang kempen Earth Hour berlangsung. Ketika itu, tiada siaran lagu, hebahan, komersial dan sebagainya daripada ketiga-tiga rangkaian berkenaan.
Selain tiga saluran radio terbabit, stesen televisyen 8TV juga mengambil langkah serupa dengan menghentikan siaran sejam dari jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam untuk sama-sama menunjukkan sokongan kepada kempen yang memberikan manfaat bukan saja kepada generasi sekarang, malah untuk kebaikan penduduk bumi pada masa depan juga.
Menurut Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul, ketiga-tiga saluran radio itu juga melaungkan pesanan khidmat masyarakat sebanyak lima kali sehari bermula pada 26 sehingga 28 Mac ini.
"Pesanan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, terutama pendengar Hot, Fly dan One, untuk berfikir sejenak mengenangkan keadaan bumi yang kian uzur. Dari situ, diharapkan timbul kesedaran di kalangan mereka untuk sama-sama menyumbang ke arah menyelamatkan keadaan bumi kita," katanya pada sidang akhbar mengumumkan pembabitan stesen radio dan televisyen terbabit dalam kempen itu.
Pengurus Besar Jenama 8TV, Lam Swee Kim pula berkata, bukan usaha tindakan yang mudah untuk stesen televisyen terbabit ‘mematikan’ siarannya pada waktu perdana hari berkenaan. Namun, dek tujuan murni yang ingin dicapai, mereka sanggup bersusah payah demi menyampaikan mesej penting untuk seluruh masyarakat.
"Kami hanya ingin menunjukkan contoh, sekiranya syarikat perniagaan yang besar seperti Media Prima boleh melakukannya, kenapa tidak orang perseorangan turut mengambil bahagian dalam usaha yang sungguh baik ini? Bukan sekadar suis lampu, malah pada waktu itu beberapa suis kelengkapan elektrik lain juga boleh dimatikan," kata Swee Kim.
Bermula di Sydney pada 2007, kempen Earth Hour seterusnya membabitkan 50 juta penduduk dari 35 negara pada tahun lalu. Tahun ini, WWF meletakkan sasaran 1 bilion penduduk termasuk badan kerajaan dan syarikat korporat untuk turut serta dalam kempen kesedaran global itu.
Selain membantu mempromosikan Earth Hour, 8TV mengambil inisiatif pertama dengan mengurangkan waktu siaran selama satu jam bermula 1 Mac, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran berkenaan.
Stesen televisyen 8TV dan tiga rangkaian radio terbabit dikatakan muncul saluran televisyen dan radio pertama di dunia yang menghentikan siaran selama sejam atas nama kempen ini.
Selain itu, 8TV akan mengadakan lintas langsung dari Menara KL pada 28 Mac ini, pada jam 6.30 petang, 7.30 malam dan 8.29 malam (30 saat sebelum waktu siaran dihentikan). Acara itu juga akan disiarkan dalam rancangan 8TV Quickie pada jam 11.30 malam. Ia akan dikendalikan pengacara Qi, Marion dan Owen Yap.
INFO: Kempen Earth Hour
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: