KUALA LUMPUR: Hanya kerana teruja tawaran hadiah wang tunai RM500,000, dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) diperbodoh dan ditipu sindiket penipuan SMS menyebabkan mangsa kerugian RM28,000.
Malah, lebih memburukkan keadaan apabila seorang daripada pelajar terbabit turut meminjam wang daripada enam along selepas diminta membayar yuran perpindahan wang hadiah berkenaan.
Dalam kes pertama, seorang pelajar kolej berusia 21 tahun kerugian RM16,810 selepas diperdaya sindiket berkenaan yang mula menghubunginya sejak 2 Mac lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Lee mendakwa sebelum tarikh itu, dia ada dihubungi seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa kakitangan sebuah syarikat beribu pejabat di Hong Kong dan meminta mangsa datang ke pusat beli-belah di Bukit Bintang bagi menghadiri acara perasmian syarikat itu.
|
Menurutnya, dia tidak melayan jemputan itu dan beberapa hari kemudian menerima satu lagi panggilan telefon.
|
“Panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Lee itu memaklumkan saya memenangi cabutan bertuah tempat ketiga bernilai RM130,000 ketika majlis perasmian syarikat itu diadakan.
“Saya yang teruja dengan hadiah besar itu kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang menyamar sebagai akauntan syarikat itu dan meminta saya membayar RM1,300 bagi yuran pemprosesan memindahkan wang itu,” katanya.
Menurutnya, dia mengikut arahan dengan membayar wang berkenaan melalui satu akaun bank yang diberikan atas nama seorang lelaki berasal dari Hong Kong.
“Namun, pada 2 Mac lalu, seorang lelaki yang mendakwa penyelia syarikat bernama Liew menghubunginya dan memberitahu dia tidak layak menerima hadiah itu kerana tidak mendaftar sebagai ahli syarikat berkenaan.
“Dia meminta saya membayar RM8,430 sebagai bayaran menjadi ahli syarikat berkenaan terlebih dulu. Saya yang tidak mempunyai wang mendapat idea untuk membuat pinjaman dengan along,” katanya.
Menurutnya, dia sanggup menjadikan komputer ribanya sebagai cagaran kepada along untuk membuat pinjaman RM7,000.
“Saya membayar wang itu sebanyak dua kali pada 4 Mac lalu. Namun, pada 16 Mac lalu, seorang lagi lelaki lain juga bernama Liew menghubungi saya dan mendakwa saya perlu membayar RM4,650 lagi untuk cukai kerajaan.
“Saya terpaksa menggunakan semua wang simpanan yang ada untuk membayar tambahan wang diminta itu,” katanya yang mendakwa berhasrat memperoleh wang hadiah itu bagi membantu keluarga.
Menurutnya, dia bagaimanapun mula berasa sesuatu tidak kena apabila wang hadiah dijanjikan tidak sampai ke tangan pada tarikh dijanjikan.
“Tindakan bodoh saya itu akhirnya diketahui keluarga selepas rakan baik saya mengadu apa yang berlaku kepada bapa saya,” katanya.
Menurutnya, dia yang kerugian RM16,810 kemudian membuat laporan di Balai Polis Puchong.
Sementara itu, seorang pelajar universiti di utara tanah air turut menjadi mangsa apabila kerugian RM11,020 selepas diperdaya sindiket sama yang turut menawarkan hadiah ‘durian runtuh’ kepada mangsa.
Mangsa yang dikenali sebagai Ng, 20, dihubungi seorang wakil syarikat yang mendakwa dia memenangi cabutan hadiah tempat ketiga bernilai Dolar Hong Kong $450,000 (RM210,000).
Suspek turut memberikan nombor telefon pemenang sebelum ini untuk meyakinkan mangsa.
Bagaimanapun, mangsa diminta terlebih dulu membayar RM5,020 bagi proses pemindahan wang hadiah berkenaan selain RM9,600 bagi menjadi ahli pada awal Mac lalu.
Mangsa yang teruja dengan hadiah wang yang banyak membayar RM11,020 melalui sebuah bank di Sintok, Kedah.
Suspek bagaimanapun menghubungi mangsa sekali lagi dan meminta bayaran tambahan RM10,000 untuk cukai kerajaan dimasukkan ke dalam akaun.
Suspek yang menyedari ditipu selepas diberitahu rakannya membuat laporan polis pada 21 Mac lalu di Balai Polis Changlun, Kedah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: